Friday, October 21, 2011

Kenali Alif sebagai penyanyi


Alif yakin akan kemunculan album kedua ini bakal memuaskan hati peminatnya.


BUKAN mudah untuk dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara dalam waktu yang sama. Namun itulah kejayaan terbesar anak muda berusia 21 tahun, Mohammad Alif Mohd. Satar, yang kini menempa nama di dalam industri hiburan negara.

Lebih dikenali sebagai Alif Satar, anak seni ini sebenarnya lebih senang jika peminat setianya mengenalinya sebagai seorang penyanyi.

Lahir dari sebuah rancangan realiti One In A Million, Alif Satar memberitahu, kerjaya seninya kini berada pada tahap ingin mencuba.

“Pada Alif tiada salahnya jika kita mencuba semua peluang yang ada di depan mata.

“Bukan mahu tangkap muat, tetapi inilah yang dikatakan merebut pengalaman sebanyak mungkin sebagai anak seni,” katanya pada majlis pradengar album terbarunya di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih sinonim dengan irama pop, Alif Satar yang dikenali melalui lagunya, Jangan Nakal kini muncul dengan sebuah lagi album baru berjudul Lelaki Seperti Aku.

Merupakan album kedua daripadanya, Alif memberitahu, album ini merupakan titik perubahan untuk menjadi lebih matang.

“Bagaimanapun, saya masih seorang lelaki yang belum matang. Perubahan yang dimaksudkan adalah cara saya untuk membuat keputusan di dalam memilih lagu untuk album kali ini.

“Walaupun masih mengekalkan elemen pop namun, album ini tetap memberi ruang kepada saya untuk menunjukkan sisi saya yang sedikit berbeza,” katanya.

Bercakap tentang kepuasan untuk album terbarunya itu, menurut Alif, dia lebih suka membawakan muzik genre jazz.

“Memang benar jazz menjadi irama kegemaran saya sejak dari dulu namun, sebenarnya saya lebih senang menurut permintaan peminat yang lebih suka jika saya sampaikan lagu berirama pop,” ujarnya.

Mempertaruhkan tujuh lagu baru, album Lelaki Seperti Aku turut memuatkan dua lagu Inggeris iaitu There We Go dan Timeless ( berduet dengan penyanyi baru, Julia Abueva berasal dari Filipina dan menetap di Sinapura).

Menurut Aliff, dia mengambil masa agak lama untuk memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album ini.

“Kombinasi komposer muda banyak memberi ruang untuk saya mendapatkan lagu yang lebih sesuai dengan jiwa saya.

“Saya harap laguLelaki Seperti Aku, Abdul dan Rapuh dapat memenuhi selera para peminat di luar sana,” kata Alif mengenai albumnya itu yang akan berada di pasaran mulai 24 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: