Wednesday, October 26, 2011

Wan Nor Azinah urus stadium




TIDAK mudah bergelar seorang Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO lebih-lebih lagi bagi seorang wanita dan harus pula bekerjasama dengan kakitangan yang rata-ratanya lelaki.

Tetapi itu semua tidak menjadi halangan kepada CEO Perbadanan Stadium Malaysia, Wan Nor Azinah Zaniby Wan Hashim untuk meneruskan kepercayaan yang diberikan kepadanya itu selepas lima tahun bertugas sebagai Pengurus Besar Perbadanan Stadium Merdeka.

''Jawatan CEO yang diberikan ini sebagai satu amanah dan ia bukannya peluang untuk saya bersenang-lenang di atas kerusi empuk, mengadakan mesyuarat dan memberi arahan kepada kakitangan semata-mata," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Malah sepanjang menjadi pegawai di bawah Kementerian Belia dan Sukan, wanita ini mengakui memang tidak pernah menjangkakan akan memegang jawatan nombor satu itu.

Lagipun penglibatannya di peringkat awal lebih menjurus kepada hal ehwal belia yang memang diminati sejak berusia 16 tahun lagi apabila ketika itu dia sudah menjadi ahli persatuan belia.

Tetapi sebagai pegawai di KBS beliau tidak dapat menolak untuk mengetahui dengan lebih lanjut aktiviti berkaitan sukan.

Cuma katanya, bakat berkaitan pengurusan stadium itu mungkin dikesan apabila diberikan peluang untuk menguruskan Kompleks Sukan di Kampung Pandan selama dua tahun.

Wan Nor Azinah Zaniby akui selama memegang jawatan CEO beliau memang jenis yang tidak suka duduk diam sebaliknya begitu aktif 'turun padang'.

''Tanyalah kakitangan saya, kebanyakan masa saya di luar pejabat termasuk meninjau stadium di bawah Perbadanan Stadium Malaysia.

"Ini termasuk Kompleks Sukan Bukit Jalil yang di situ sahaja terdapat Stadium Nasional, Stadium Putra, Pusat Squasy Nasional, Pusat Akuatik Nasional.

"Saya juga turut terbabit dalam mengawasi pengurusan Kompleks Sukan Bukit Kiara dan juga Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, ," katanya.

Bagaimanapun akui wanita ini dia senang dan jarang bermasalah untuk bertugas bersama 100 kakitangan yang hampir semuanya lelaki.

Bagi Wan Nor Azinah Zaniby yang penting dia mahukan kakitangannya bekerja sebagai satu pasukan.

''Ini penting kerana semuanya datang untuk bekerja dan kalau arahan diberikan juga berkaitan dengan kerja maka ia perlu dituruti demi memastikan kelancaran dalam apa yang dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, setiap orang perlu menjaga 'periuk nasi' masing-masing.

''Ia bukan untuk kakitangan sahaja malahan diri saya juga," ujarnya.

Jelasnya, urusan penyelenggaraan sesebuah stadium dan pusat sukan memerlukan ketelitian maka sebab itu ia perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati demi untuk memastikan semua dalam keadaan yang baik dan sempurna,".

Ditanya bagaimana dia mendapat pengalaman itu, katanya, selain kerap 'turun padang' untuk melihat sendiri penyelenggaraan dari pelbagai sudut, dia juga perlu banyak membaca.

''Apa yang penting setiap penganjur yang mengadakan acara di stadium milik Perbadanan Stadium Malaysia berpuas hati," katanya.

Jelasnya, memberikan perkhidmatan terbaik amat penting supaya stadium ini menjadi pilihan untuk mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sesuatu acara.

''Sekalipun Perbadanan Stadium Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan tetapi kami tidak mahu terlalu bergantung kepada kerajaan sebaliknya berusaha mendapatkan sumber kewangan sendiri," katanya.

Untuk cara bekerja yang lebih cekap, jelas Wan Nor Azinah Zaniby, sewaktu meninjau ke lokasi ini biasanya akan merakamkan apa yang dilihat dan akan terus emel kepada kakitangan yang terlibat.

Dengan cara itu kakitangan akan bertindak balas dengan lebih cepat bagi menyelesaikan sesuatu perkara.

Akui Wan Nor Azinah Zaniby dia sudah biasa bekerja tujuh hari seminggu kerana perlu memastikan kesemua stadium di bawah kelolaannya terurus dengan baik dari segenap sudut.

''Jangan ada yang tidak puas hati sebab itu sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan kelengkapan yang terbaik demi mengukuhkan kepercayaan pelanggan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: