‘‘Hei Amir, apa khabar.’’ Itulah ungkapan pertama sebaik sahaja saya bertemu kakak, Saadah Mansor, 57, di Terminal 2 Lapangan Terbang Sydney.
‘‘Baik... Kak Ma (panggilan saya untuknya) macam mana?” Kata saya.
‘‘Ok je... encik (ibu) dan lain-lain macam mana?,” tanya Kak Ma sambil kami berjalan menuju ke kereta.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah anaknya yang juga anak saudara saya, Monique Aisha Potter, banyak perkara berkisar ahli keluarga dan sanak-saudara ditanya oleh Kak Ma.
Malah, saya juga berkesempatan menceritakan bagaimana seorang rakannya telah membantu bagi membolehkan penulis dapat pergi ke Sydney.
‘‘Ya... ya... Kak Ma masih ingat rakan Amir itu semasa Kak Ma berada di Kuala Lumpur dulu dan masa itu kita hendak makan di sebuah restoran.
‘‘Saya terkejut kerana dia sanggup membantu Amir. Kirim salam pada dia (rakan saya),’’ kata Kak Ma.
Ketika berhijrah ke Adelaide, Saadah pada mulanya agak sukar mencari pekerjaan, namun beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Adelaide dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Antara subjek diambil bagi memiliki ijazah berkenaan ialah seni visual yang ada kaitan dengan mata pelajaran melukis seperti landskap dan sebagainya.
‘‘Ijazah itu membolehkan Kak Ma layak menjadi tenaga pengajar dalam beberapa mata pelajaran termasuk lukisan dan seni visual,’’ katanya.
Tidak puas hati dengan sekadar satu ijazah, Saadah meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pendidikan.
‘‘Sekarang Kak Ma mengajar di Willungga High School di Adelaide.
‘‘Apa yang menarik, Kak Ma mengajar mata pelajaran geografi dan sejarah Asia Tenggara.
‘‘Malaysia, subjek kegemaran Kak Ma kerana dapat mengajar banyak perkara termasuk budaya Malaysia, kesenian dan banyak lagi.
‘‘Kak Ma ajar mengenai wayang kulit, wau, seni batik, etnik kaum seperti Iban, Dayak...memang seronok,’’ katanya riang.
Walau pun gembira dapat mengajar mengenai Malaysia pada para pelajarnya, kebanyakan masa lapang Kak Ma dihabiskan di rumah dengan melukis,
Dia akan menyiapkan setiap satu lukisan dalam masa seminggu manakala lukisan bersaiz besar dalam masa sebulan.
Beratus-ratu lukisan berjaya dihasilkan sejak menetap di Australia.
Ada antaranya dijual atau diserahkan kepada rakan dan juga disumbang kepada persatuan kanak-kanak penghidap penyakit barah untuk dijual oleh persatuan berkenaan.
Setiap satu lukisan dijual antara RM100 dan RM350.
‘‘Bukan jual untuk cari untung, tetapi lebih kepada minat kerana banyak lukisan itu disumbangkan kepada persatuan,’’ katanya.
Menurut Kak Ma, lukisan yang dihasilkan banyak bercorak pemandangan alam sekitar dan semula jadi yang melibatkan pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang.
‘‘Dalam lukisan Kak Ma, jarang sekali ada gambar manusia atau haiwan,’’ katanya.
Ditanya mengapa dia menggemari corak sedemikian, Kak Ma berkata, dia melukis untuk melepaskan rasa rindu kerana berjauhan dari Malaysia.
‘‘Semasa di Malaysia lagi Kak Ma sudah banyak menghasilkan lukisan mengenai pemandangan kampung halaman.
‘‘Bila berjauhan dan berada di rantau orang, Kak Ma melukis kerana teringatkan tempat lahir. Hanya melalui lukisan Kak Ma dapat luahan hati mengenai perasaan rindu pada tanah tempat tumpah darah,’’ katanya termenung sejenak.
Meneruskan ceritanya, Kak Ma berkata, lukisan dihasilkan itu berkonsepkan ketenangan, terasing, kesunyian, alam semula jadi, keindahan dan kecantikan.
‘‘Mungkin Kak Ma tak dapat pulang ke Malaysia setiap tahun, namun semua perasaan hati digambarkan melalui luahan dalam seni lukisan,’’ katanya.
Bagi yang berminat melihat atau membeli lukisan-lukisan dihasilkan oleh Kak Ma, boleh melayari www.ebay.com.au.
Selain menjual lukisan melalui laman web, sekali-sekala apabila ada masa lapang Kak Ma akan pergi ke tempat tertentu seperti pameran dan sebagainya untuk memperkenalkan lukisannya itu.
Semasa di Sydney, saya turut berkesempatan mengikut Kak Ma, Monique dan seorang rakannya, Susan Smith ke Pelabuhan Quay yang menjadi destinasi tumpuan ramai.
Di Pelabuhan Quay, mereka bertiga nyata begitu gembira apabila dapat mempromosikan beberapa lukisan kepada pengunjung di situ.
‘‘Kalau dah berpeluang sampai di sini (Pelabuhan Quay) perlulah ambil kesempatan untuk mempromosikan lukisan.
‘‘Sebenarnya bukanlah hendak jual sangat, tapi lebih kepada mengisi masa lapang sebab Kak Ma banyak jual melalui Internet,’’ katanya.
Di Pelabuhan Quay, banyak aktiviti berlangsung termasuk oleh kalangan Orang Asli Australia (abrogines) yang mempromosikan lagu-lagu tradisional mereka menggunakan sejenis alat permainan daripada pokok diberi nama ‘didgeridoo’.
Sebelum mengakhiri perbualan, saya sempat bertanya mengenai perasaan Kak Ma setelah menyerahkan kad pengenalannya pada tahun 1984 untuk mendapatkan taraf warganegara Australia.
‘‘Sedih juga, tapi tiada siapa yang tahu. Bukan senang nak serahkan taraf warganegara Malaysia, tempat kelahiran Kak Ma.
‘‘Tapi sudah ditakdirkan hidup Kak Ma berada di sini (Australia) untuk mencari rezeki. Di sinilah tempat Kak Ma berkeluarga, namun Malaysia tetap dalam sanubari Kak Ma.
‘‘Entah bilalah Kak Ma dapat pulang ke Malaysia dengan usia sebegini (57 tahun),’’ katanya.
Seperti biasa, semasa melepaskan saya berjalan berseorangan ke dalam kawasan terminal, air mata Kak Ma tiba-tiba mengalir dan hanya lambaian sahaja menjadi tanda perpisahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: