Wednesday, October 26, 2011

Masjid Negara ziarah pesakit HKL


Berlainan agama bukan penghalang hubungan yang baik antara sesama manusia sebagaimana lawatan Masjid Negara ke HKL, baru-baru ini.


MASJID bukan hanya tempat melaksanakan ibadat khusus seperti solat berjemaah, menuntut ilmu dan sebagainya. Sebaliknya, masjid adalah tempat menyatukan umat tanpa mengira warna kulit dan usia.

Sebagai masjid utama dalam negara, Masjid Negara menganjurkan Program Lawatan Mahabbah dan Penyampaian Sumbangan kepada Pesakit-Pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Program ini adalah salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara. Ia merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di Hospital-hospital sekitar Lembah Klang.

Rombongan 15 pegawai dan kakitangan masjid diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Pengajian Dewasa Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim.

Turut serta ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Hospital Kuala Lumpur, Mohd. Nazar Ibrahim.

Semasa lawatan, rombongan menyampaikan sumbangan hamper, wang tunai dan risalah mengenai Islam kepada para pesakit di Wad Surgikal (wad pembedahan) dan Wad Medikal (wad perubatan) HKL.

Objektif utama program adalah mengeratkan lagi hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan kakitangan HKL di samping memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat.

Ia juga memberi sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital tersebut dengan adanya program lawatan sebegini.

Diharap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan orang ramai demi untuk terus mengimarahkan lagi masjid di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: