FILEM dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.”
Demikian antara kritikan pedas daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan media yang didedahkan awal bulan lalu berhubung industri filem dan televisyen negara yang tampaknya terlalu dilonggokkan dengan cerita seram.
Beliau menegaskan, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.
Susulan kenyataan Dr Mahathir, pelbagai reaksi timbul daripada segenap lapisan masyarakat. Ia turut menjadi topik hangat dalam laporan media tempatan.
Ramai pihak menghentam pengeluar filem dan drama tempatan, tidak kurang juga ada desakan supaya tiba masanya ‘pemain’ dalam industri memikirkan filem yang lebih mendidik serta mencerminkan budaya negara.
Yang jelas, berikutan timbulnya isu ini ramai pengeluar dan pengarah yang mungkin tersentak, terkejut, ‘tersentuh hati’ dan melenting, lebih-lebih lagi selepas Majlis Fatwa Kebangsaan turut tunjuk muka serta bercadang mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu.
Apapun persoalannya, apakah molek sebenarnya jika kita hanya asyik menghentam tanpa memikirkan atau menyuarakan isu ini secara pro dan kontra dalam skop lebih menyeluruh, terutama untuk industri seni itu sendiri.
Bagi menjawab persoalan ini, ikuti soal jawab antara wartawan Metro Ahad bersama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Naguib Razak terhadap isu ini.
SOALAN (S): Apa pandangan saudara terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai isu ini?
JAWAPAN (J): Saya boleh terima kenyataan Tun (Dr Mahathir), dan saya percaya filem bukan semata-mata agenda atau peralatan untuk tujuan hiburan saja, walaupun filem itu berjaya untuk (medium) hiburan masyarakat buat masa ini.
Sebenarnya, filem boleh memupuk nilai masyarakat. Tidak salah jika kita cuba menghidangkan masyarakat dengan genre yang menyentuh isu penting seperti identiti atau masa depan kita.
Filem ada potensi dan tanggungjawab lebih besar dengan menyelitkan tanggungjawab sosial. Saya tidak kata (pengeluar) filem kita tidak melakukannya, mungkin ia tenggelam disebabkan isu genre lebih menonjol.
Saya percaya, jalan terbaik ialah kita tidak patut terlalu leka. Apapun, saya ada pendekatan lain. Yang saya inginkan, daripada kita kekang filem seram, baik kita biarkan filem ini diterbitkan untuk merancakkan lagi industri kita.
Dalam masa sama, pihak Finas dan mungkin dengan kerjasama pihak lain boleh mendorong penerbit mencuba genre lain dengan harapan genre yang muncul itu berjaya dengan nilai positif.
S: Maksudnya, Finas tidak akan ambil pendekatan untuk membuat sebarang kekangan terhadap isu ini, begitu pendirian Finas?
J: Suka saya jelaskan di sini, daripada segi tanggungjawab, kami (Finas) hanya menyusun dan mencari cara untuk membangunkan industri (filem dan televisyen).
Mengenai isi dan kandungan filem atau drama dan kesannya, ia adalah tanggungjawab Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri. Mungkin dasarnya membabitkan pandangan Finas, tetapi dasar itu bukan perkara yang kita boleh memilih hala tuju dan tukar sewenang-wenangnya.
Kita perlu pertimbangkan secara mendalam dan tidak tergesa-gesa. Saya tidak mahu terlalu reaktif dan ekstrem. Kita kena ambil masa untuk mengambil pandangan pelbagai pihak bagi menimbangkan semua aspek secara rasional.
Pada saya, buat sementara ini kita tidak patut mengundang reaksi drastik terhadap pengeluaran filem seram, apa lagi perkembangan industri kita sekarang secara domestiknya sangat membanggakan.
Sebenarnya pada pokoknya kita kena sedar satu perkara, kerajaan memang ada dasar tayangan filem yang diperkenalkan tahun lalu. Antaranya ialah dikurangkan filem genre seram untuk tayangan di televisyen, tetapi di pawagam ia tidak terlalu ditekankan sebab ia membabitkan inisiatif perniagaan dengan dana persendirian.
Di pihak Finas, kita tidak mahu membawa proses yang memberikan isyarat kepada industri bahawa akan banyak tapisan atau kekangan. Genre itu tidak boleh buat, yang ini pun tidak boleh buat, sekarang bukan masanya.
Bukan masanya lagi untuk memperkenalkan peraturan yang memberi impak negatif kepada industri.
S: Jadi, Finas percaya penyelesaiannya bukan dengan menghentikan atau mengharamkan pengeluaran filem seram?
J: Ya... biarkan filem seram dikeluarkan, tetapi kita kena cari jalan supaya genre lain diangkat dengan cara positif. Ia bukan mustahil.
Kalau kita wujudkan kekangan, kita kena pertimbangkan apa kesan polisi sebegitu kepada industri secara keseluruhan. Sekarang ini kerajaan serius dalam proses transformasi negara dan meningkatkan ekonomi negara.
Media (perfileman dan drama) dikenal pasti sebagai kunci yang boleh mengangkat ekonomi negara, dengan pendapatan lebih tinggi, khususnya terhadap masyarakat umum.
Kita ada pengeluar filem yang menyahut cabaran ini seperti KRU Studio. Di peringkat antarabangsa, dua tiga karya (filem) kita diterima.
Selain pengiktirafan filem Merong Mahawangsa, terbaru filem Bunuhan dijemput ke festival filem tersohor iaitu Toronto International Film Festival.
Ia petanda jelas sumbangan pengkarya dan pengeluar filem tempatan diterima baik di peringkat antarabangsa. Kini, cuma usaha menggalakkannya perlu diteruskan.
S: Dengan timbulnya isu filem seram, ada kritikan sinis menyatakan dunia perfileman dan drama kita masih jauh ketinggalan dan kekal di takuk lama. Apa pendirian Finas dalam hal ini?
J: Jangan terlalu melihat daripada sudut negatif. Saya sudah nyatakan tadi, ada antara filem kita diterima baik di luar negara, seperti Filem Bunuhan.
Namun, saya juga ingin bersifat realis yang kita masih terbatas di peringkat domestik saja, belum banyak filem kita berjaya menembusi antarabangsa, cuma ada satu dua.
Kita akan menuju ke arah ini, dan Finas akan main peranan. Kita akan cuba menarik pengeluar filem di luar negara masuk ke negara kita.
Baru-baru ini, kita ada jalin kerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad untuk membuka Prime Work Iskandar Studio, dan itu petanda cerah untuk kita mengalu-alukan pengeluar filem antarabangsa, termasuk Hollywood, untuk mereka memikirkan negara ini sebagai rakan yang kuat dan komited bagi penerbitan filem.
Sebab itu, kita tidak mahu timbulkan isu mengenai peraturan dan kekangan tadi. Kalau kita tiba-tiba hebohkan yang kita ada polisi baru untuk menyekat perkara tertentu, ia mungkin membuatkan pihak lain tidak mahu ‘melabur’ ke negara ini untuk membikin filem atau sebaliknya.
Saya lebih suka bersikap liberal, dalam masa sama mengalukan lagi kerjasama antarabangsa bagi kebaikan industri kita sendiri.
S: Bercakap soal lain, daripada perbualan tadi Finas tampak komited untuk mengangkat filem kita ke peringkat antarabangsa.
J: Betul... saya harapkan industri kita dibangunkan lebih pesat lagi. Kerajaan sekarang pun serius untuk ke arah itu.
Daripada segi teknologi, kita juga semakin bagus. Pengeluar tempatan kini memanfaatkan teknologi pembangunan imej komputer atau computer-generated imagery (CGI) dengan meyakinkan.
Cuma ada sedikit kelemahan daripada segi pemasaran, dan kami (Finas) akan mencari jalan untuk membaiki kelemahan ini, mungkin bukan daripada segi dana tetapi melalui pengambilan pakar dari luar negara.
Di peringkat antarabangsa, jiran kita, Thailand sudah buktikan filem mereka diterima di Jepun dan Amerika Syarikat, apatah lagi di peringkat Asia secara umumnya. Kenapa tidak kita?
Saya ingin cabar pengeluar filem tempatan di negara kita dan lihat cabaran ini sebagai sesuatu yang positif, saya bukan hendak timbulkan ketegangan. Mengapa tidak hasilkan satu filem yang mampu kita banggakan dan disambut di luar negara.
Saya percaya kita sebenarnya ada kemampuan, asalkan kita boleh berganding bahu dan bekerjasama ke arah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: