
DUA jam mengikuti aktiviti si comel ini bersama ibunya di Yayasan Down Sindrom Kiwanis yang terletak di Kelana Jaya, terasa seakan tidak ada yang berbeza tentang dirinya.
Usianya sudah mencecah tiga tahun. Ahmad Syafi Ahmad Yusri sama seperti kanak-kanak lain. Dia lasak dan aktif. Berkali-kali dia memanjat gelongsor dan turun, sambil menjerit-jerit kepada saya yang rancak berbual dengan ibunya supaya melihatnya. Jika tidak menoleh, dia akan terus menjerit.
Di dalam kelas bersama rakan-rakan, Syafi tidak leka. Segala arahan guru diikuti. Kala diminta beraksi di depan lensa kamera, anak kecil ini tidak ada masalah. Ke sana sini dia menggayakan aksi bersahaja.
Seiring dengan nama yang dipilih, Syafi kata ibunya, Sakinah Ramli, membawa erti yang menyembuhkan. Bagi wanita tabah ini, dengan nama yang diberi dia berharap ia ibarat doa kepada kanak-kanak comel itu supaya mampu menjalani hidup seperti insan normal yang lain.
Sakinah sama sekali tidak menganggap kehadiran Syafi sebagai bebanan apatah lagi menyesali takdir bahawa anak ketiganya itu mengalami down sindrom.
“Kami mengetahui dia mengalami masalah hanya selepas dilahirkan. Itu pun pada mulanya doktor seakan merahsiakan perkara itu dari pengetahuan saya,” katanya.
Bagi Sakinah, bohonglah kalau dia tidak sedih. Pada peringkat awal, siang dan malam dia menangis, namun bukan disengajakan kerana kadangkala air mata jatuh tanpa dipaksa.
Sehinggakan ada saudara terdekat yang risau dengan kesihatan wanita itu kerana bimbang dia mengalami kemurungan ketika tempoh berpantang. Namun wanita ini pandai menyembunyikan keadaannya di depan orang yang datang melawat. Dia berpura-pura seperti tidak ada, masalah namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
Dua bulan selepas kelahiran Syafi, Sakinah menghadiri satu seminar mengenai down sindrom dan di situ dia memberanikan diri meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Bayangkan saya menangis sepuas hati sambil meluahkan perasaan di depan orang ramai ketika itu. Hinggakan selepas seminar itu, sama menerima panggilan daripada beberapa persatuan down sindrom yang prihatin dengan keadaan saya,” katanya.
Normal
Bermula dari situ, Sakinah tidak lagi menoleh belakang. Dia mencari maklumat sebanyak mungkin mengenai down sindrom. Dia turut mencuba rawatan alternatif bagi membolehkan Syafi menjalani hidup sama seperti kanak-kanak normal lain.
Pada usia beberapa bulan, Sakinah membawa Syafi mendapatkan rawatan refleksologi dan urutan orang buta. Bagi Sakinah peluang itu antara yang tidak akan dilupakannya.
“Melalui Syafi saya diketemukan dengan insan yang kita tidak jangka. Insan cacat penglihatan ini sebenarnya sangat sensitif. Mereka seakan boleh membaca isi hati kita. Dari situ saya berkongsi perasaan dengan mereka. Alhamdulillah, ia banyak membantu memberi motivasi kepada saya,” katanya.
Walaupun Syafi disahkan mengalami sindrom down, namun Sakinah bersyukur kerana si comel itu tidak mengalami lain-lain masalah kesihatan.
“Syafi sihat dari segi fizikal malah tumbesarannya juga sama seperti kanak-kanak normal. Dia juga sudah memahami arahan dan mula bertutur menggunakan bahasa isyarat seperti yang dipelajari di Kiwanis,” katanya.
Pujian patut diberi kepada Sakinah kerana dia sanggup melepaskan kariernya buat sementara demi memberi rawatan dan pendidikan terbaik buat Syafi.
Kini, tiga kali seminggu dia menemani Syafi di Kiwanis. Jika ada urusan lain, dia tidak bimbang meninggalkan Syafi kerana guru di sana sangat berpengalaman dan yakin mampu menjaga anak itu.
Sakinah turut mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan dia berkomunikasi dengan anak bongsunya itu.
“Bukan sahaja saya dan bapanya, malah abangnya, Ahmad Khairunnas, yang berusia lapan tahun, dan kakaknya, Nur Husnina (6 tahun) juga diajar supaya dapat membantu perkembangan sosial Syafi,” katanya.
Wanita berkelulusan luar negara itu juga melayan Syafi seperti anak-anaknya yang lain. Dia sama sekali tidak menyisihkan Syafi atau berasa malu membawa anak istimewa itu di khalayak. Bagi Sakinah, kanak-kanak down sindrom merupakan golongan yang sentiasa mahukan kasih-sayang dan perhatian dari orang sekeliling mereka. Terutama orang yang terdekat, mereka patut memberi sokongan tidak berbelah bagi dalam membantu tumbesaran kanak-kanak seperti Syafi.
Apa yang Sakinah mahukan dari anak bongsunya itu bukan setakat mampu berdikari malah berjaya di dalam hidupnya dan membanggakan semua orang.
“Saya tidak sesekali rasa terbeban menjaga Syafi. Ini adalah anugerah Allah yang paling indah buat saya. Mereka ini golongan ahli syurga. Dialah tiket mama untuk ke syurga,” katanya.
Sakinah turut menyarankan kepada mereka yang mempunyai anak seperti Syafi agar tidak menyisihkan diri.
“Di luar sana, ramai yang senasib dengan kita. Jangan sesekali memencil diri. Bergaul dengan ramai orang kerana dari situ kita akan memperoleh pelbagai maklumat dan kemudahan seperti apa yang terdapat Kiwanis ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: