CUBA...bot perlu dicuba dulu sebelum memulakan perlumbaan.
SEBUAH kenderaan pacuan empat roda bergerak mengundur dengan sebuah bot laju berkuasa tinggi (powerboat) diikat kemas di belakangnya. Berhati-hati pemandu mengundur menuruni tebing tasik di Pusat Maritim berhampiran Pullman Lakeside, Putrajaya.
Sejurus ia menghampiri gigi tasik, powerboat itu ditolak ke tengah tasik sebelum pemandu (pilot) yang terlebih dulu memasukinya menghidupkan enjin bot dan terus memecut laju membelah ketenangan tasik.
Deruman enjin bot membingitkan telinga, namun ia sedikit pun tidak membuatkan penonton berganjak dari tempat duduk, malah asyik memerhati pergerakan bot.
Biarpun bukan perlumbaan membabitkan penyertaan peserta dalam skala besar, ia tetap menarik perhatian orang ramai di sekitar kawasan itu.
Kelihatan 10 bot pelbagai warna bersusun di tepi jeti menunggu giliran untuk memulakan perlumbaan dengan satu persatu bot dilepaskan.
Perlumbaan itu ibarat pemanas badan bagi pasukan Fernandez Racing (Formula 3000 Powerboat) yang dijangka menyertai perlumbaan powerboat F1 Nation Cup Singapore, bulan depan.
Menariknya, pasukan itu mengadakan perlumbaan dengan sebuah pasukan dari Singapura yang akan turut menyertai perlumbaan bertaraf dunia itu.
Pasukan Fernandez Racing diketuai pengurusnya, Robert Michael Fernandez dan mempertaruhkan dua pilot muda iaitu Kane Fernandez, 23, dan Mohd Haniff Borhan, 25.
Perlumbaan dilangsungkan persis perlumbaan sebenar dengan kedua-dua pasukan sedaya upaya menampilkan prestasi dan skil tertinggi untuk memenangi perlumbaan.
Sukan powerboat mungkin tidak asing di negara kita, apatah lagi Putrajaya pernah muncul sebagai penganjur terbaik bagi Kejuaraan F1 Powerboat sedikit masa lalu.
Bagaimanapun, penyertaan orang ramai dalam sukan itu masih kurang, sebaliknya mereka lebih senang menjadi penonton.
Kane berkata, antara faktor utama menyebabkan sukan ini tidak berkembang luas adalah kosnya mahal dan bukan semua mampu membiayainya.
“Memang diakui sukan ini tinggi kosnya iaitu RM200,000 diperlukan bagi mendapatkan sebuah bot dan ia tidak termasuk kos penyelenggaraannya.
“Namun kini ada kelab menawarkan perkhidmatan pinjaman bot bagi mereka yang berminat dan ia sedikit sebanyak menggalakkan lebih ramai orang menyertainya,” katanya.
Mengenai spesifikasi bot, badannya diperbuat daripada campuran gentian karbon, vinylester resins, S-glass dan core-mat yang mempunyai berat sekurang-kurangnya 400 kilogram.
Menggunakan enjin dua lejang dan minyak petrol sebagai bahan bakarnya, ia mampu mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam.
Katanya, tidak sukar belajar membawa powerboat kerana mudah mengendalikannya, namun sebagai permulaan seseorang itu perlu tahu cara membawa bot.
“Mana-mana sukan mempunyai peraturan dan garis panduannya, jadi pemandu perlu mengikutinya kerana jika gagal mungkin perkara tidak diingini berlaku.
“Powerboat sebenarnya sukan ‘universal’ kerana baik lelaki mahupun wanita, muda atau tua boleh mencuba asalkan ada kesungguhan dan disiplin tinggi,” katanya.
Bagi Mohd Haniff, walaupun masih baru dalam sukan powerboat, dia diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab dalam perlumbaan hujung tahun ini.
Katanya, tiada peraturan khusus untuk menceburi sukan ini asalkan usia melebihi 16 tahun (F3000) dan paling penting mempunyai tubuh badan yang sihat.
“Cara pengendaliannya pula teknikal, di mana pilot perlu ‘menerbangkan’ bot atau bergerak dengan menggunakan kusyen udara (cushion in the air) di mana badan bot tidak terlalu hampir dengan air.
“Bagaimanapun, ruang antara badan bot dan air tidaklah terlalu besar kerana ia meningkatkan risiko terbalik, namun jika terlalu rapat dengan air, pergerakan bot menjadi perlahan,” katanya.
Yang penting adalah latihan kerap bagi memahirkan seseorang mengendalikan bot selain menguasai tekniknya.
Katanya, ketika berlumba, pilot tidak berseorangan kerana dibantu ‘radio man’ yang akan ‘membaca’ keadaan untuk panduan pilot.
Jadi, radio man akan memberitahu apa yang patut dan tidak dilakukan kerana penglihatan pilot dalam bot tidak seluas mereka yang di luar.
Menurutnya, masyarakat perlu mengikis tanggapan bahawa sukan ini hanya untuk orang kaya kerana kini ada kelab yang mampu membantu mereka yang meminati sukan ini dengan kos berpatutan.
“Kami sebenarnya memerlukan pelapis kerana dalam sukan ini, kebanyakan acara disertai orang sama saja, jadi jika ramai menyertainya mungkin sukan ini lebih pantas berkembang.
“Walaupun negara kita mempunyai pelumba kanak-kanak yang bertanding dalam Formula Future, kami masih mengharapkan pembabitan lebih ramai pelumba dalam sukan ini,” katanya.
Mengulas penyertaan mereka dalam F1 Nation Cup Singapore, katanya, dia bersama pasukannya kini giat melakukan latihan. Mereka juga berharap ada pihak sudi menyumbangkan tajaan.
INFO
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: