MUNGKIN ramai di kalangan kita tertanya mengenai Hospis Malaysia. Ia merupakan sebuah badan amal menawarkan perkhidmatan penjagaan dan perubatan paliatif dengan memenuhi keperluan pesakit di sekitar Lembah Klang tidak mengira bangsa, agama warganegara, jantina atau umur.
Ia tidak bergabung dengan mana-mana badan politik, keagamaan atau kerajaan atau pihak swasta, ia diurus oleh sukarelawan profesional dan doktor sepenuh masa.
Hospis Malaysia merupakan penyokong kuat bidang penjagaan paliatif di negara ini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan menawarkan pendidikan, sokongan latihan bagi institusi-institusi pendidikan dan hospital.
Perubatan paliatif diiktiraf di semua kebanyakan negara di dunia dan bidang ini diiktiraf di negara ini sejak tahun 2005 lalu sebagai bidang perubatan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan dalam pelaksanaan penjagaan paliatif ialah perubatan dan penjagaan paliatif di rumah yang mana pihak doktor dan jururawat akan mengambil giliran untuk bertugas 24 jam sehari untuk membekalkan rawatan dan penjagaan paliatif di rumah para pesakit.
Hospis Malaysia juga menyediakan pusat jagaan harian (day care) untuk kegunaan pesakit yang diuruskan oleh doktor, jururawat dan sukarelawan. Ia memberi peluang kepada pesakit untuk belajar, bergaul, mencurahkan perasaan dan berhibur.
Keperluan seperti bekalan makanan, kemudahan pengangkutan terapi diberikan secara percuma. Pusat jagaan ini beroperasi di Hospis Malaysia setiap Selasa dan Khamis.
Pinjaman peralatan perubatan seperti katil, kerusi roda dan sebagainya juga disediakan di sini untuk kemudahan para pesakit yang memerlukan.
Hospis Malaysia dibiayai secara derma yang disumbangkan oleh orang awam dan sektor korporat. Ia memerlukan sekurang-kurangnya RM1.6 juta setiap tahun untuk beroperasi. Angka ini merangkumi kos peralatan perubatan, kos latihan dan kos gaji.
Selain daripada sumbangan daripada orang awam dan sektor korporat, ahli keluarga pesakit juga turut menderma kepada Hospis Malaysia dan badan ini tidak akan membenarkan pungutan derma daripada para pesakit.
Banyak yang perlu dilakukan sebagai langkah memperkembangkan perubatan paliatif di negara ini.
Selain menjaga kebajikan pesakit dan ahli keluarga mereka, Hospis Malaysia juga berusaha mempertingkatkan kesedaran paliatif dan mengumpul dana untuk membiayai operasi Hospis Malaysia.
Walaupun kadar pertumbuhan pesakit khususnya pesakit kanser semakin meningkat, namun ramai masih tidak sedar akan kewujudan bidang paliatif serta kepentingannya.
Hospis Malaysia terletak di Taman Sri Bahtera, Cheras. Sesiapa yang berminat untuk melawat kemudahan yang disediakan atau mahu menyampaikan sumbangan bagi kepentingan operasi penjagaan paliatif di Hospis Malaysia boleh menelefon talian 03-91333936.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: