SETIAP yang hidup pasti akan mati, itu adalah janji Tuhan kepada setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini.
Namun ramai di kalangan kita yang tidak sanggup atau mengelakkan diri untuk membicarakan soal kematian khususnya bagi mereka yang dijangkakan meninggal dunia akibat mengalami kompilasi pelbagai penyakit yang boleh membawa maut.
Justeru, apabila seseorang itu menderita sakit, contohnya akibat kanser pada tahap yang parah dan tidak boleh diubati lagi, apa yang selalu diberikan kepada pesakit berkenaan ialah harapan kesembuhan buat mereka sedangkan pesakit sendiri mengetahui mereka tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi.
Malah, kempen-kempen kesihatan yang selalunya diadakan juga memberi kefahaman bahawa setiap manusia ini seolah-olah akan hidup selama-lamanya. Realitinya ialah tidak semua penyakit itu akan sembuh biarpun dengan kemajuan bidang perubatan membolehkan jangka hayat bagi golongan lelaki setakat ini menjangkau sehingga 72 tahun manakala wanita pula 76 tahun.
''Keadaan ini berlaku akibat ketidaksanggupan ahli keluarga mahupun pihak doktor yang merawat pesakit mengakui atau menerima hakikat bahawa sudah tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyembuhkan pesakit kecuali menunggu maut.
''Ini mengundang pelbagai kaedah rawatan diberikan terhadap pesakit berkenaan dalam usaha untuk menyembuhkan mereka pada hal semua itu sudah tidak berguna lagi. Pesakit hanya membuang masa dengan menunggu harapan demi harapan sedangkan pada masa itu mereka boleh melakukan perkara lain yang lebih berfaedah untuk mengisi masa hayat mereka yang tinggal sedikit," jelas Dr. Ednin Hamzah, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Perubatan Hospis Malaysia.
Jelas Dr. Ednin, kebanyakan daripada pengamal bidang perubatan selalunya banyak memfokus terhadap rawatan penggunaan ubat-ubatan tanpa mengutamakan kualiti kehidupan pesakit berkenaan selepas tiada apa yang boleh dilakukan dalam proses penyembuhan pesakit.
Menurut beliau, di sini pentingnya perubatan paliatif diberikan kepada pesakit-pesakit yang dijangka hayat mereka tidak panjang setelah pelbagai kaedah rawatan dilakukan untuk menyelamatkan mereka akibat penyakit yang dideritai.
''Kematian adalah proses normal yang akan berlaku kepada kita semua. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinasikan perubatan atau penjagaan paliatif merupakan satu pendekatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan pesakit dan keluarga mereka yang berhadapan dengan masalah berkaitan penyakit yang tiada kuasa penyembuhan, menerusi langkah membendung dan kelegaan daripada penderitaan dengan mengenal pasti tiada cara rawatan untuk mengurangkan kesakitan dan masalah-masalah lain cara fizikal, psikologikal dan spritual," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Dr. Ednin, perubatan paliatif adalah rawatan dan penjagaan pesakit yang menghidap penyakit dan tidak dapat disembuhkan seperti kanser, AIDS, alzheimer, dementia dan sebagainya.
Bidang ini kini diiktiraf sebagai bidang perubatan dan diterima di semua negara di peringkat antarabangsa.
Kira-kira 100 juta pesakit telah mendapat faedah daripada hospis dan penjagaan paliatif di negara masing-masing setiap tahun.
Justeru jelasnya, misi Hospis Malaysia adalah untuk memastikan setiap rakyat di negara ini menyedari akan kepentingan penjagaan dan perubatan paliatif serta diberi peluang untuk mendapatkan penjagaan ini dengan sewajarnya semasa diperlukan ketika masih ada hayat.
Di Hospis Malaysia sendiri, pihaknya menjaga lebih dari 1,000 penyakit setahun dan telah memberi penjagaan paliatif kepada 12,000 pesakit sejak Hospis Malaysia beroperasi pada tahun 1991.
Berbicara lebih lanjut mengenai perubatan paliatif, Dr. Ednin menambah, bidang dan rawatan ini menyediakan rasa kelegaan kepada pesakit yang menderita kesakitan akibat penyakit tertentu dengan jangka masa hayat yang terhad.
Katanya, perubatan paliatif bukanlah bermakna sama ada untuk menghalang atau 'membekukan' mahupun menunda kematian. Tujuannya bukanlah untuk menyembuhkan tetapi menyediakan keselesaan dan menguruskan masa dengan sebaik mungkin bagi pesakit dengan kehidupan yang penuh berkualiti selagi hayat pesakit itu masih ada.
Jelasnya, penjagaan paliatif boleh dilakukan sama ada di rumah mahupun di hospital-hospital yang menyediakan penjagaan ini.
Setidak-tidaknya ada cara rawatan perubatan tertentu bagi pesakit yang masih boleh diubati, tetapi bagaimana pula dengan rawatan bagi pesakit yang tiada harapan lagi. Cara ini sekurang-kurangnya memberi 'suara' kepada pesakit pada tahap akhir.
''Di Hospis Malaysia perubatan dan perkhidmatan paliatif diberikan secara percuma. Ia dilakukan dengan memberi rawatan dari beberapa aspek perubatan, psikologi, spritual dan kawalan emosi agar pesakit sendiri bersedia menerima kenyataan kehidupan mereka.
''Rawatan perubatan juga diberikan secara percuma sekiranya perlu di bawah penyeliaan sewajarnya. Bantuan emosi dan psikologi juga disediakan untuk ahli keluarga pesakit.
''Sasarannya sama iaitu untuk memberikan nilai dan kualiti kepada kehidupan seseorang pesakit. Sekiranya pesakit dirujuk kepada Hospis Malaysia sama ada dilakukan di rumah mahupun di premis berkenaan, ia bukanlah lawatan mahupun rujukan 'temu janji' biasa yang hanya memberikan kaunseling untuk pesakit," katanya.
Namun jelas Dr. Ednin, rawatan paliatif memberikan kelegaan pesakit dengan cara tersendiri secara berkomunikasi terbuka, meluahkan perasaan, membangkitkan rasa spritual dan kerohanian, memberikan rasa dihargai secara psikologikal, membantu menyelesaikan masalah psikologikal dan sekiranya perlu mereka tetap juga diberikan ubat-ubatan sewajarnya bagi meringankan kesakitan yang ditanggung.
Malah kajian yang dijalankan pada tahun 2010 di Amerika Syarikat menunjukkan pesakit yang menerima rawatan cara ini dapat hidup lebih lama.
Pun begitu menurut Dr. Ednin, di negara ini belum lagi ramai doktor mahupun jururawat yang berkemahiran dalam bidang ini. Untuk mempunyai kemahiran dalam bidang paliatif memerlukan empat tahun latihan dan penyelidikan di luar negara.
Malah ada sebahagian besar para doktor sendiri yang tidak mengetahui mengenai penjagaan paliatif sebagai rawatan alternatif kepada pesakitnya.
Selalunya hospital yang mengetahui mengenai penjagaan paliatif ini akan merujuk pesakit mereka kepada Hospis Malaysia.
''Kita akan jaga sampai ke akhir hayat pesakit berkenaan, melihatkan keadaan fizikal mereka, buat temu janji susulan dan setelah pesakit itu meninggal dunia, pihak Hospis Malaysia akan bertanya pula mengenai keluarga pesakit sama ada mereka perlukan sebarang bantuan selepas kehilangan insan tersayang itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: