Thursday, October 27, 2011

Elegan di puncak kejayaan


DALAM usianya 45 tahun, Ruth Sahanaya masih lagi kekal cantik dan menawan.


UNTUK menjadi seorang penghibur yang disegani dan dikagumi ramai seperti mana hari ini, sememangnya bukan mudah untuk Ruth Sahanaya.

Barangkali akan ada yang tidak percaya apabila Ruth dengan penuh terbuka memberitahu dia seorang pemalu dan memiliki tahap keyakinan diri yang sangat rendah ketika awal pembabitannya sebagai penyanyi.

Namun, kata Ruth, sepanjang 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, dia harus melawan segala-galanya kerana sebagai seorang penghibur, dia perlu berhadapan dengan masyarakat.

“Memang benar, saya seorang yang pemalu dan orang yang tidak percaya pada diri sendiri. Walaupun saya sedar untuk menjadi seorang penyanyi, semua perkara itu harus dilempar jauh.

“Apa yang saya mahukan hanyalah untuk menyanyi dan menghiburkan peminat sahaja tanpa saya sedari bahawa saya perlu menanamkan sifat positif jika mahu berjaya.

“Perlahan-lahan saya kikis sifat negatif itu dan inilah Ruth Sahanaya yang semua peminat dan pengagum saya dapat lihat hari ini. Saya bersyukur kerana Tuhan telah memberikan peluang dan rezeki untuk saya bertahan sehingga ke hari ini,” ucapnya berulang-kali penuh rendah diri ketika ditemui pada sesi fotografi di ibu negara, baru-baru ini.

Kehadiran Ruth ke negara ini adalah untuk mempromosikan konsert ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Disember ini.

Sokongan

Menyambung bicara, apa yang dimilikinya hari ini juga adalah berkat sokongan daripada suaminya, Jeffrey Waworuntu yang dikahwininya sejak tahun 1994.

Kata penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kaulah Segalanya itu, suaminya memang sentiasa menyokong kerjaya seninya biarpun selepas berkahwin kerana cukup sedar akan minat Ruth yang mendalam terhadap dunia nyanyian.

Tanpa selindung juga, Ruth memberitahu Jeffrey sendiri menawarkan peluang kepadanya untuk menjalani pembedahan payu dara pada tahun 2005.

“Seperti mana yang sudah saya katakan sebelum ini, pembedahan yang saya lakukan bukanlah mahu menunjuk-nunjuk atau sengaja mencari publisiti murahan.

“Semuanya adalah demi kerjaya selain mahu meningkatkan tahap keyakinan saya sebagai seorang penyanyi yang perlu tampil hebat di atas pentas.

“Menjadi seorang penyanyi sememangnya memerlukan kita kelihatan cantik dan menawan. Ada kalanya, busana yang membaluti tubuh saya tidak terletak cantik seperti mana yang saya mahukan.

“Lalu, apabila sudah melakukan pembedahan tersebut, saya menjadi semakin yakin dan dapat memakai pakaian yang mungkin sebelum ini tidak mampu saya pakai,” jelasnya yang memberitahu telah menggunakan khidmat pakar bedah plastik dari Brazil untuk pembedahan payu daranya itu.

Meskipun melakukan pembedahan plastik, Ruth dengan tegas memberitahu dia sama sekali tidak akan menyuntik botox ke wajahnya untuk mengekalkan kecantikannya.

Bagi Ruth, dalam usianya 45 tahun sekarang ini, dia belum memikirkan ke arah tersebut tetapi, dia tidak mampu menolak jika dia memerlukannya di masa akan datang.

“Kita tidak tahu apa yang menanti kita waktu mendatang. Saya memang selesa dengan apa yang dikurniakan kepada saya setakat ini. Tetapi, mana tahu kalau di masa depan, mungkin saya akan memikirkannya,” jelas penyanyi yang mula menempa nama pada tahun 1987 menerusi album Seputih Kasih ini lagi.

Tolak gelaran diva

Melihat kepada perjalanan seninya selama ini, memang tidak syak lagi Ruth atau lebih mesra disapa Uthe itu layak digelar sebagai diva.

Dengan pelbagai kejayaan dan rekod yang sudah dilakar oleh wanita kelahiran Bandung, Indonesia ini selain mampu bertahan selama 25 tahun, Ruth wajar dikategorikan dalam kelompok tersebut.

Tetapi, dengan penuh rendah diri Ruth memberitahu dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang diva.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada pihak media dan peminat yang memberikan saya gelaran itu. Tetapi, jujurnya, saya kurang selesa dengan konotasi diva itu yang boleh membawa banyak maksud yang tersurat mahupun tersirat.

“Untuk sampai ke tahap hari ini, ia merupakan satu perjalanan yang penuh liku dan mencabar sekali. Lalu, ia membuatkan saya sentiasa sedar akan kedudukan saya di mana saya telah menempuh kepayahan serta rintangan yang bukan kecil.

“Atas alasan itu jugalah, saya sentiasa berpijak di bumi nyata dan sama sekali tidak menjadikan populariti mahupun kejayaan yang saya perolehi sebagai satu tiket untuk berubah,” jelas Ruth yang merupakan anak ketiga daripada empat bersaudara ini penuh maksud.

Tambah penyanyi yang juga popular dengan lagu Keliru dan Astaga, seseorang itu layak diangkat sebagai diva bukan hanya kepada kehebatannya di atas pentas semata-mata.

Tetapi, juga bagaimana seseorang itu membawa dirinya dalam masyarakat selain memiliki disiplin serta sikap positif yang membuatkan orang di sekeliling selesa berdampingan dengannya.

Belum puas

Sempat juga ibu kepada dua cahaya mata perempuan, Nadine Emanuella Waworuntu, 16 dan Amabel Odelia Waworuntu, 11, ditanya apakah dia sudah berasa puas dengan kejayaannya selama ini.

Sambil melemparkan senyuman manis, Ruth seraya berkata: “Saya bukan seorang yang bercita-cita tinggi. Cukup sekadar menyanyi di khalayak dan memastikan peminat serta penggemar lagu-lagu saya menikmatinya dengan penuh indah.

“Saya akan terus menyanyi selagi saya mampu melakukannya. Saya percaya waktunya akan tiba satu hari nanti untuk saya mengibarkan bendera putih sebagai tanda persaraan saya.

“Dalam konteks ini, saya cukup senang sekali untuk mengikut jejak langkah seniwati legenda, Titiek Puspa yang masih lagi aktif biarpun usianya sudah melewati 70 tahun.”

Seperkara yang cukup menarik tentang Ruth yang barangkali dipersetujui banyak pihak apabila dia merupakan salah seorang artis di republik itu yang bersih daripada segala gosip dan cerita kurang enak.

Berkali-kali mengucapkan syukur, Ruth menjelaskan semuanya harus datang dari diri sendiri kerana baginya, masakan cerita yang tidak elok boleh dijaja pihak media jika bukan dari diri sendiri.

“Prinsip yang saya amalkan cukup mudah. Saya begitu terbuka dan tidak berselindung dalam apa jua aspek kerana saya bukan seorang yang berpura-pura.

“Dari hari pertama saya menjadi penyanyi, saya sudah tanamkan dalam diri bahawa saya hanya mahu menjual bakat dan karya saya sahaja,” ujar Ruth yang begitu mengagumi semua penyanyi senior termasuk Vina Panduwinata dan Harvey Malaihollo yang menjadi idolanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: