Sunday, October 23, 2011

Tamrin bangga jadi anak Ibrahim Pendek

Jika sekali pandang, susuk badan dan ketinggiannya lebih kurang sama dengan arwah bapanya, Seniman Ibrahim Pendek, yang popular di era kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas, dulu.

Menjadikan bapanya sebagai idola, Mohd Tamrin, 48, turut mencuba nasib dalam industri seni. Akui minatnya itu banyak dipengaruhi bapanya, Tamrin berkata, dia bangga menjadi anak Ibrahim Pendek.

Bapanya bukan sahaja berbakat dalam lakonan, tetapi juga sangat istimewa kerana dikurniakan tubuh badan kerdil dengan ketinggian 130 sentimeter. Punya karakter tersendiri, lakonannya dalam filem ‘Anakku Sazali’, ‘Kipas Hikmat’, ‘Pusaka Pontianak’, ‘Siti Muslihat’ dan beberapa filem arahan P. Ramlee seperti ‘Ali Baba Bujang Lapok’ serta ‘Nasib Labu-Labi’, dikenang ramai sehingga kini.

Melihat kejayaan bapanya, Tamrin, tidak teragak-agak untuk mengikut jejak. Namun kebolehan bapanya sukar ditandingi, meskipun dia cuba menjelma sebagai Ibrahim Pendek.

“Saya memang suka tengok bapa saya berlakon. Lebih-lebih lagi, semua lakonan bapa saya amat menghiburkan.

“Saya juga suka bawa karakter bapa saya dalam setiap persembahan kerana itulah yang penonton mahukan. Saya percaya, peminat bapa masih ada dan kemunculan saya sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan pada suara dan karakter bapa.

“Secara tidak langsung, saya dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan bapa saya. Dalam masa sama, nama Ibrahim Pendek tidak akan hilang dek zaman,” katanya yang pernah membintangi filem Tak Ori Tapi OK, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Salah Bapak dan Aniaya Jenayah.


Tidak harap lakonan semata-mata

Walaupun masih aktif berlakon, Tamrin tidak mengharapkan tawaran lakonan semata-mata. Sebaliknya, dia mempunyai pekerjaan tetap yang mampu dibanggakan. Menurut Tamrin, dia sudah lama berkhidmat sebagai anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Industri seni ada masa pasang surutnya. Kalau saya hanya bergantung pada tawaran lakonan, saya bakal berhadapan dengan kesempitan hidup.

“Saya tidak mahu mengharap, sedangkan saya mampu bekerja menyara hidup.

“Kalau ada lakonan dan persembahan, saya akan terima tanpa mengganggu kerja,” katanya yang bakal muncul dalam filem, Baik Giler.

Mengimbau sejarah penglibatan awalnya dalam bidang seni, Tamrin memberitahu, niatnya untuk berlakon sudah bercambah sejak di bangku sekolah lagi.

Tetapi, ketika itu, bapanya menghalang dan memintanya menamatkan pelajaran terlebih dahulu.

“Masa darjah satu, saya sekolah di Singapura. Apabila bapa dan ibu bercerai, saya ikut ibu ke Kelantan.

“Masa tingkatan satu, bapa ambil saya kembali dan tinggal di Johor bersamanya. Dan selepas empat tahun, kami berpindah ke Kuala Lumpur.

“Selepas tamat persekolahan, barulah saya cuba berjinak-jinak dalam bidang seni. Saya menyertai persembahan pentas dan pada tahun 2004, saya menyertai kumpulan sketsa Isketambola bersama Musly Ramli, Rahim Dalmia dan S Azli,” katanya yang pernah mengikuti persembahan, Datuk Aziz Sattar, di Singapura.


Rakam single 'Anda Aku Hero'

Bukan sahaja berlakon, Tamrin juga berbakat dalam bidang nyanyian. Bukan omongan kosong, Tamrin membuktikan bakatnya menerusi single pertama, Andai Aku Hero. Menurut Tamrin, lagu ini menunjukkan kesungguhannya dalam bidang seni.

“Saya rancang buat single ni dah lama. Lagu ini dah dihantar ke beberapa stesen radio untuk diputarkan. Saya harap, ia mendapat sambutan daripada pendengar.

“Terdapat dua versi dalam single ini, rock dan juga balada. Saya cuba untuk membuat dua versi kerana pendengar boleh buat pilihan sendiri untuk mendengar lagu yang mana satu,” katanya.

Tidak gentar bersaing dengan penyanyi sedia ada, Tamrin percaya, lagunya punya kekuatan tersendiri memikat hati pendengar. Malah menyeru orang ramai agar menilai lagunya terlebih dahulu.

Menyentuh mengenai kehidupannya, sehingga kini Tamrin masih single. Menurut Tamrin, dia lebih selesa hidup seorang diri. Bunyinya mungkin agak janggal, namun itulah pilihan Tamrin.

"Saya tak pernah ada kekasih dan saya memang selesa hidup macam ini. Saya tak kisah apa orang nak kata, saya suka hidup seorang," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: