|
ADA sisi maskulin terpancar daripada lincah tingkahnya. Sesekali sifat keanak-anakannya muncul, itu mengiakan hayat dan fizikalnya yang baru menginjak usia 18 tahun pada 28 Ogos lalu.
Sebagai pembuka kalimah, tiba sahaja ke sesi fotografi di Studio Utusan kelmarin, dia membawa cerita trauma.
"Tengoklah gambar kereta saya ini. Remuk terlanggar kereta bapa sendiri. Walaupun berasap-asap, nasib baiklah saya dan adik saya yang berada dalam kereta yang saya pandu, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang hanya mengalami sakit-sakit leher akibat kemalangan jalan raya sewaktu hendak ke lokasi penggambaran babak terakhir drama lakonannya, Cendana, pada Rabu lalu.
Mujur juga dia tidak mendapat kecederaan, jika tidak, pasti kekasih Shahz Jaszle itu menjadi penghias ruangan Portfolio minggu ini.
|
|
Dihambat kontroversi
Dia Miera Liyana, wanita muda yang memamah satu-persatu cerita sensasi yang mendadak datang. Bermula dengan kisah terpacul 'perhiasan' kewanitaannya di khalayak umum gara-gara salah percaturan mengenakan gaun yang terlampau seksi, senggang beberapa bulan kemudian, Miera terjebak pula episod tidak bermoral apabila dikatakan mabuk di sebuah pusat hiburan.
Meredakan kontroversi dengan berkampung di lokasi penggambaran, tiba-tiba namanya kembali menjadi panas apabila si bintang Asmara, Shahz Jaszle mengakui bahawa mereka sedang menganyam cinta. Membuka selembar lagi sisi peribadi Miera, dia dituduh curang kerana mempermain-mainkan cinta si pelakon Lash Mokhtar yang pernah intim dengannya.
"Saya tahu, lepas Shahz buat pengakuan depan media bahawa kami sedang bercinta, ramai orang akan fikir macam-macam, kata saya perampas kekasih orang dan tukar teman lelaki sesuka hati.
"Tapi semua itu sudah dijelaskan. Saya pun sudah penat dengan kontroversi yang bukan sengaja saya cari. Bila Shahz mengaku tentang hubungan kami, saya pun terkejut tapi fikir-fikir, kalau nak sorok pun orang tetap akan buat gosip, lebih baik kami bersikap terbuka," getus bintang Apokalips itu bersuluh dalam terang.
Mengulang kenyataan terdahulu, benar sekali wanita muda itu sedang dilamun cinta. Sepanjang perbualan, beberapa kali nama si jantung hati terpacul dari bibirnya. Kebetulan, mereka merancang untuk sama-sama bergerak ke lokasi fotografi kedua pada hari berkenaan.
Baru muncul dengan kenyataan mahu segera disatukan, sengaja hatinya diduga. Sanggupkah dia melepaskan zaman mudanya jika Shahz menyuntingnya sebagai suri.
"Mulanya ia semacam cinta lokasi. Saya kenal sangat Shahz itu, tapi saya pun macam gadis remaja lain juga nak rasa indahnya bercinta. Sejauh mana hubungan ini akan berterusan kami tidak tahu. Cakap-cakap dan rancang kalau boleh nak kahwin itu memang ada, sebab saya jenis yang suka merancang, kalau ada jodoh, ada.
|
|
Saya tahu, tak semua cinta akan berakhir dengan perkahwinan. Kami pun masih muda, inilah masa untuk kukuhkan dan stabilkan nama dalam bidang lakonan dulu," berbunyi mudah hipotesis Miera tentang hubungannya.
Menutup soal kontroversi, akui Miera, baik atau buruk kontroversi yang terjadi, dia percaya kontroversi tetap satu publisiti yang baik untuk dirinya.
"Sejak tiga tahun berlakon, sudah enam drama saya bintangi bawah arahan pengarah popular, Aziz M. Osman. Tapi hanya lepas kena hentam teruk dengan kontroversi yang memalukan diri, barulah orang mula kenal saya.
"Mulanya saya rasa macam kena kejutan budaya. Tapi sekarang, saya fikir kontroversi akan datang dan pergi. Artis-artis terdahulu pun terpaksa lalui macam-macam kontroversi. Cuma untuk bertahan lama dalam industri, ia bergantung kepada cara seseorang artis itu menanganinya.
"Saya tak mahu dicop sebagai muka kontroversi semata-mata, saya nak buktikan bakat saya, sebenarnya saya rela dikeji jika berlakon macam kayu daripada orang keji kerana perangai," katanya jujur.
Tidak sabar menunggu projek-projek besar lakonannya. Kata Miera, antaranya Psikik sebuah drama yang menuntut satu lakonan sangat mencabar. Membawakan watak Sukma yang tersedar selepas 10 tahun koma ternyata menuntut imaginasi yang luar dari batas akalnya.
Dapat kepercayaan nama besar
Memiliki keluarga yang teguh kewangan sebagai benteng pertahanan, dalam hati cinta membunga bahkan lapangan seni yang diceburi semakin bersemi berbaja tawaran yang bertali-arus, Miera sedang mengecapi apa yang didambakan oleh gadis-gadis seusianya. Dia sedang galak melewati hari-hari yang indah tanpa perlu terlalu serius memikirkan masalah.
|
|
"Syukur sebab keluarga sangat menyokong karier saya. Dalam hati memang nak sambung belajar tapi bila tengah ada peluang berlakon saya jadi seronok semakin berminat untuk mendalami bidang lakonan. Apatah lagi bila dapat peluang bekerja dengan nama-nama besar," katanya yang mendapat kepercayaan berlakon bawah arahan Mamat Khalid untuk filem Rentaz dan Apokalips serta Ahmad Idham (Jangan Pandang-Pandang).
Mengagumi Cameron Diaz sebagai bintang pujaan, Miera berlakon sebagai anak kepada Deanna Yusoff dalam drama Cendana itu menambah:
"Dalam soal lakonan, saya mahu mencari ruang eksklusif untuk saya simpan, untuk saya pegang sehingga sampai ketika yang benar-benar sesuai untuk ditonjolkan.
"Saya mahu jadikan kejayaan aktres-aktres tersohor seperti Maya Karin, Nasha Aziz, Erra Fazira serta Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai teladan. Mereka selalu beri kejutan dalam karya, dan orang selalu mahu tahu tentang mereka, saya mahu jadi seperti mereka."
Ada impian bersarang di hati, ada visi untuk tidak sekadar menjadi pelakon sepanjang usia, Miera yang menguruskan perniagaan bersama ibunya, meluahkan hasrat untuk bergelar penerbit filem suatu hari nanti. Itu ceritanya, cita-cita seorang pelakon muda yang mengakui dirinya ikhlas 'memberi' dalam setiap kerja yang diberi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: