Monday, October 3, 2011

Tambang AirAsia kekal murah

AirAsia memberi jaminan untuk terus kekal sebagai syarikat penerbangan tambang murah dan mengekalkan struktur tambangnya meskipun menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes menegaskan tambang AirAsia tidak akan dinaikkan atau akan berlaku situasi kurang persaingan.

“AirAsia bermula sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang murah dan kami akan kekal sebagai syarikat penerbangan tambang murah. Tidak akan ada faedah bagi kami (AirAsia) sekiranya tambang dinaikkan,” katanya selepas menyampaikan taklimat di Kolej Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur.

Tony berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan bahawa AirAsia akan menaikkan tambang, yang sekali gus mengurangkan persaingan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Menurutnya, AirAsia adalah syarikat penerbangan berkisar tentang tambang murah, untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan, mereka perlu menawarkan tambang murah.

“Anda ada pilihan, jika anda tidak suka dengan tambang kami (AirAsia), anda tidak akan menggunakan perkhidmatan penerbangan kami,” katanya sambil menambah AirAsia sendiri perlu bersaing untuk mendapatkan perniagaan.

Katanya, rakyat Malaysia perlu meletakkan keyakinan terhadap kerjasama (antara MAS dan AirAsia) yang bukan sahaja akan memberi faedah kepada industri tetapi juga negara.

“Biasanya, rakyat Malaysia hanya dapat diyakinkan selepas mereka melihat kejayaan, mereka kemudiannya akan menyesal dengan kesilapan mereka.

“Oleh itu, berilah kami sedikit masa dan kami akan membuktikan kepada anda yang janji niaga ini akan menguntungkan,” kata Tony, sambil menambah beliau mengalu-alukan pihak-pihak yang mengkritik AirAsia, MAS atau perjanjian pertukaran saham itu dan mendengar segala pandangan dan pendapat :mereka.

Sementara itu, Tony berharap Malaysia Airports akan menyedari faedah perjalanan tambang murah dengan memberikan lebih banyak terminal tambang murah di lapangan terbang Malaysia.

“Kami mempunyai sebuah terminal di Kota Kinabalu dan kami berharap mempunyai sebuah di Pulau Pinang dan di Kuching, Sarawak, kerana kami merasakan perjalanan tambang murah adalah satu perniagaan berasingan daripada premium,” katanya.

AirAsia juga dijangka meningkatkan operasi AirAsia Japan, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Katanya, keadaan semasa kelihatan baik kerana Air Asia terus mencatatkan lebih banyak laluan dengan lebih banyak kekerapan dalam 12 bulan lalu.

“Dari segi kewangan, suku ketiga kami nampaknya menggalakkan, saya harap suku keempat juga akan sangat baik dan saya tidak bimbang dengan kemelesetan sekiranya berlaku.

“Secara realitinya, sekarang masa gemilang MAS dan AirAsia kerana kami boleh mendahului dalam perniagaan dan trafik penumpang manakala yang lain (syarikat penerbangan) masih bergelut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: