Monday, October 3, 2011

Sukimi tembusi pasaran di Eropah

Jenama minyak pelincir Bumiputera, Sukimi mulai mendapat tempat dan kepercayaan di pasaran antarabangsa, khususnya Eropah berikutan penyertaannya atas tiket Malaysia ke Pameran Offshore Europe 2011 di Aberdeen, United Kingdom, awal September lalu.

Sambutan hangat itu terus diperkuatkan dengan tukaran nilai mata wang ringgit Malaysia (RM) dengan Euro, sekali gus menjadikan harga produk keluaran syarikat Sukimi Lube (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Shah Alam, amat berdaya saing.

Maklum balas hasil kunjungan ramai wakil syarikat asing ke gerai Sukimi sempena Offshore Europe, turut menggambarkan minat mereka terhadap mutu perkhidmatan Sukimi Lube dari segi ketepatan penghantaran dan cara pembungkusan minyak pelincir berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhazli Muhammad berkata, penerimaan pengunjung di Eropah terhadap produk berjenama Sukimi sangat memuaskan dan meyakinkan mereka untuk menjalinkan usaha sama perniagaan.

“Gerai Sukimi di Aberdeen juga menjadi antara tarikan utama Offshore Europe. Antara syarikat yang berminat bekerjasama dengan Sukimi Lube ialah Saudi Aramco (Arab Saudi), Ben More Energy Limited dan Northern Oils serta Internet AGE (United Kingdom),” katanya.

Muhazli berkata, di pasaran baru itu nanti Sukimi Lube cuba menempatkan produknya dalam industri petrokimia, pembuatan dan perkhidma-tan yang menggunakan minyak pelincir industri selain membuat produk pengeluar perkakasan asal (OEM) yang dikeluarkan atas jenama yang dimohon syarikat di sana.

Setakat ini, Sukimi Lube turut membekalkan minyak pelincir kepada agensi kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan, Jabatan Kerja Raya, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: