Monday, October 3, 2011

Lembaran baru dalam pentas teater

Hebat dan bertenaga! Itulah gambaran yang paling tepat untuk The Secret Life Of Nora The Musical (TSLN) berjaya membuktikan kelainan dijanjikan dalam lima persembahan yang bermula 29 September lalu, di Istana Budaya.

Siapa sahaja yang menontonnya pasti kagum dengan setiap aspek yang dijalinkan, termasuk pelakon bertaraf antarabangsa dan persembahan audio visual yang memukau.

TSLN berjaya menambat perhatian penonton melalui persembahan yang dibarisi bintang terkenal seperti Datin Seri Tiara Jacquelina (Nora), Ryan Silverman (Roger Foss), Aznil Nawawi (Mr J), Adibah Noor (Khatijah), Tony Eusoff (Farouk), Stephanie Van Driesen (Betty) dan Aaron Khaled (Sharif).

Teater muzikal terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) yang berlatarkan era fantasi 1960an ini membawa penonton menyelami kisah hidup seorang primadona yang bernama Nora.

Tanpa disedari kehidupan glamornya di kelab malam bertukar kepada agen perisik bagi menyelamatkan ribuan wanita yang menjadi mangsa kejahatan Mr J.

Nora yang akhirnya bersetuju menjadi ejen risikan Roger Foss memulakan tugasan intipannya di bangunan miliki Mr J dengan membawa bersama alat hubungan tersembunyi yang dibekalkan bagi menyampaikan maklumat kepada Roger dan Farouk di pangkalan.

Sorakan penonton ketika ini juga menggamatkan panggung berprestij Istana Budaya apabila melihat beberapa aksi terbang yang dilakukan Nora.

Bukan setakat aksi bertenaga serta nyanyian mantap yang disampaikan, malah penangan Mamat Khalid melalui dialog komedi yang ditulisnya dalam skrip turut membantu menghidupkan watak-watak dalam TSLN arahan pengarah antarabangsa, Steven Dexter.

Persembahan TSLN lebih mengujakan apabila rekaan set setinggi lebih kurang 10 meter, sentuhan Raja Maliq berjaya mengiringi setiap babak mengikut jalan cerita yang mempunyai suasana berlainan.

Sebuah teater muzikal sudah pasti tidak akan lengkap tanpa persembahan muzik yang menjadi tunggak utamanya. Oleh itu, Roslan Aziz menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengarah muzik dengan mencurahkan karya kreatifnya dalam TSLN.

Persembahan muzikal pada lima malam itu juga tampak lebih hebat setelah elemen muzik, kostum, jalan cerita, watak, rekaan set, penataan cahaya digabungkan dan bakat Pat Ibrahim selaku koreografer TSLN turut mengagumkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: