Wednesday, October 26, 2011

Shawn belajar daripada pengalaman


Tanpa pendidikan formal dalam bidang fesyen Abu Hassan Mohd. Nordin atau Shawn mampu menghasilkan rekaan-rekaan yang mengagumkan.


SEJAK kebelakangan ini, rekaannya sering jadi pilihan golongan artis untuk digayakan pada sesi fotografi baik di akhbar mahupun majalah.

Bukan itu sahaja rekaannya turut memenuhi dada-dada majalah pengantin untuk tatapan bakal-bakal pengantin.

Melihat rekaan-rekaan tersebut pasti ramai yang bertanggapan ia dihasilkan pereka profesional berpengalaman atau sekurang-kurangnya mendapat pendidikan formal di sekolah-sekolah fesyen terkenal dalam mahu pun luar negara.

Bagaimanapun, setelah bersua muka dengan pemilik label Shawn Sinar Sutera, Abu Hassan Mohd. Nordin, 33, apa yang mengejutkan anak kelahiran Kampung Gajah, Perak, ini tidak pernah mendapat sebarang pendidikan dalam bidang rekaan mahupun fesyen.

Tetapi disebabkan minat yang begitu mendalam selain suka melihat wanita lain kelihatan cantik akhirnya dengan bermodalkan RM10,000, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Shawn, memberanikan diri membuka butik pengantin.

Walaupun Butik Shawn Sinar Sutera menawarkan pelbagai jenis rekaan baju pengantin, beliau turut membuat rekaan untuk pakaian gaun malam, dres, baju kurung, baju Melayu dan sebagainya.

Menurut Shawn, kebanyakan rekaan yang dihasilkan pasti disertakan dengan manik dan kain renda Perancis.

"Boleh dikatakan, kesemua rekaan Shawn Sinar Sutera mempunyai manik dan itu juga merupakan tanda dagang rekaan saya.

"Walaupun saya tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen, ini tidak bermakna saya tidak tahu menjahit malah manik-manik yang terdapat pada setiap rekaan adalah hasil jahitan dan reka bentuk saya sendiri.

"Yang pasti saya akan berikan yang terbaik buat para pelanggan," ujarnya ketika ditemui di butiknya yang terletak di No. 15, Jalan Puchong Permai 2, Taman Puchong Permai, Puchong, Selangor.

Berbicara lanjut mengenai rekaan yang dihasilkan, ulas anak kelapan daripada sembilan beradik ini lagi, kesemua rekaan yang dihasilkan adalah ideanya sendiri dan dia memperoleh ilham daripada pembacaan majalah selain Internet.

Suka menggunakan fabrik satin polos, kata Shawn, fabrik tersebut nampak eksklusif di samping mudah untuk ditampal kain renda mahupun dijahit manik.

Berbicara lanjut mengenai dunia rekaannya, beliau berkata, jika orang lain gemar menggunakan warna-warna senada dan lembut bagi penggunaan manik mahupun kain renda untuk disuai padankan dengan fabrik baju tetapi berlainan pula dengan dirinya.

Ini kerana dia lebih gemar menggabungkan warna-warna yang kontra untuk disuai padankan dengan kain.

Maka tidak hairanlah sekiranya baju-baju yang dihasilkan pasti dikontrakan warnanya untuk penggunaan manik dan juga kain renda.

Begitupun, percubaan Shawn tidak sia-sia apabila kesemua rekaannya nampak begitu cantik dan menarik untuk digayakan.

Disebabkan itulah hari ini butiknya menjadi pilihan bakal pengantin mahupun individu-individu yang ingin menghadiri majlis-majlis rasmi mendapatkan baju yang bersesuaian.

"Tahun 2008 merupakan kemuncak untuk saya merealisasikan impian mempunyai butik andaman yang berkonsepkan pusat sehenti.

"Sebelum itu saya pernah membuka kedai perniagaan aksesori dan pakaian wanita ketika masih berkhidmat dengan Tesco (2008), namun komitmen kerja semakin tinggi memaksa saya menutup kedai tersebut yang hanya sempat beroperasi selama enam bulan di pusat beli belah di Puchong.

"Walaupun ia gagal tetapi ilmu serta pengalaman daripada kegagalan tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi dan hari ini saya semakin matang membuat keputusan dan merancang perkembangan perniagaan dengan lebih baik," katanya.

Shawn yang menyifatkan perniagaan adalah pelaburan jangka panjang yang memberikan pulangan yang amat menguntungkan jika diurus dengan bijak memanjatkan kesyukuran kerana butiknya kini meniti di bibir bakal pasangan raja sehari.

Kini dengan mempunyai lebih daripada 35 pasang baju perkahwinan dengan pelbagai tema, Shawn sedang merancang menambah koleksi pakaian perkahwinan untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Shawn, anda boleh hubungi talian 012-6778961 atau email di shawn_ahn@hotmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: