MENYELUSURI kedai-kedai yang terdapat di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur, pasti anda akan 'dihidangkan' dengan baru harum terhasil daripada setanggi yang dibakar.
Bukan itu sahaja telinga juga turut 'disajikan' dengan irama muzik lagu Tamil dan Hindustan yang dipasang peniaga.
Tidak cukup dengan senario tersebut, terlihat juga kelibat peniaga lelaki dan wanita yang sudah lanjut usia menjual segala kelengkapan bagi menyambut perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya.
Seperti perayaan-perayaan lain, Deepavali turut disambut meriah di kalangan penganut agama Hindu.
Yang pasti, segala kelengkapan untuk menyambut Deepavali semuanya boleh diperoleh di Little India, Brickfields.
Apabila berbicara mengenai hari-hari perayaan yang dirayakan masyarakat di Malaysia sudah pasti ia amat menyeronokkan kerana pelbagai topik boleh dibualkan.
Sebagai contoh, pakaian tradisional. Jika baju kurung serta baju Melayu sinonim dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam, Cheong Sam dan Samfu pula untuk masyarakat Cina, masyarakat India yang beragama Hindu pula terkenal dengan sari dan kurtanya.
Sudah pasti di pagi Deepavali, sari dan kurtha menjadi pilihan untuk digayakan selain pakaian lain berkonsepkan Hindustan yang berpotongan moden seperti sut Punjabi.
Yang pasti gaya fesyen tradisional dan moden turut mewarnai Deepavali bersesuaian dengan majlis yang dihadiri.
Lazimnya, sari sesuai digayakan untuk majlis tradisi keluarga terutamanya pada pagi hari, pakaian moden sesuai pula dipakai ketika menghadiri rumah terbuka.
Kesemua pakaian ini didatangkan khas dari India yang menampilkan rekaan daripada pelbagai fabrik.
Menurut seorang peniaga di situ, Parvathy Kasban, 52, lazimnya sari dipakai oleh orang dewasa manakala bagi kanak-kanak dan remaja mereka lebih senang menggayakan sut punjabi ataupun gaun tanpa lengan beserta seluar.
"Selalunya sari dipakai oleh orang dewasa dan mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas.
"Ini kerana kain sari terlalu panjang untuk kanak-kanak dan mereka lebih suka memakai sut punjabi atau baju T dan seluar," katanya.
Tambahnya lagi, sari yang dijual semuanya diimport dari India.
Dalam masa yang sama, sari selain boleh diperoleh dalam pelbagai warna dan corak, fabriknya juga boleh didapati daripada pelbagai jenis seperti kain kapas, sifon, gorget, sutera dan sebagainya.
Begitupun, bagi yang inginkan sedikit keselesaan, mereka boleh memilih blaus labuh yang dipadankan dengan seluar.
Ia tidaklah membataskan pergerakan tetapi sari tetap berada di hati masyarakat dan sudah pasti ia memenuhi cita rasa setiap wanita.
Dalam pada itu, bagi Sujatha Krishnan, 30, pula, pemakaian sari tidak sempurna sekiranya tidak disuai padankan dengan aksesori seperti gelang tangan, anting-anting atau rantai leher.
Apa yang menariknya, menurut Sujatha wanita India tidak akan memakai gelang tangan dalam kuantiti yang sedikit dan kebiasaannya jumlah gelang akan mencecah hingga ke paras siku.
Lantaran itulah, di pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis, corak dan warna untuk gelang tangan yang sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama menjelang sambutan perayaan Deepavali.
Tidak lengkap rasanya apabila tidak membicarakan juadah yang menjadi pilihan di pagi Deepavali.
Ini kerana selain muruku, biskut dan manisan biasanya tosei, capati dan kuah kari menjadi menu utama.
Selain itu sudah pasti biskut-biskut moden turut menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada setiap tetamu yang hadir.
Apa-apa pun Little India di Brickfields mempunyai keunikannya yang tersendiri malah ia akan dikunjungi pelbagai lapisan bangsa dan agama sejak mula dibuka seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: