Wednesday, October 26, 2011

Sembelihan penentu halal


Abd. Fatah Yusof menunjukkan cara-cara yang betul memegang pisau sebelum peserta membuat praktikal menyembelih ayam di Masjid as-Syafie, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Semua kita tahu bahawa mencari yang halal itu adalah wajib bagi umat Islam. Lebih-lebih lagi dalam aspek pemakanan kerana ia akan menjadi darah daging kita.

Bagi orang mukmin, bab halal haram makanan diberi perhatian utama kerana antara kriteria makbulnya doa seseorang itu adalah mereka yang menjaga soal halal haram dalam hidupnya.

Untuk itu, adalah fardu kifayah bagi umat Islam mempelajari hal ehwal berkaitan sembelihan. Sebabnya, selain menyembelih binatang ternakan untuk dijadikan lauk keluarga sendiri, menyembelih juga sebagai sumber makanan umat Islam amnya.

Binatang yang halal dimakan sekali pun jika tidak disembelih secara syarak, dagingnya haram dimakan kerana dianggap menjadi bangkai sedangkan bangkai adalah haram dimakan.

Hal ini menjadi lebih penting dalam kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha yang mana antara ibadat di dalamnya adalah menyembelih binatang korban.

Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak.

Dalam segi bahasa, penyembelihan membawa maksud memotong atau membelah bahagian tertentu yang boleh menghilangkan nyawa.

Adapun mengikut syarak, penyembelihan bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan cara memutuskan urat halkum, urat marih dan dua urat darah di kiri dan kanan leher binatang (saluran makan dan minuman) menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah.

Penolong Pengarah Penyelidikan, Cawangan Kajian Syariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Abd. Fatah Yusof berkata, persoalan niat adalah amat penting terutama apabila umat Islam mengambil bahagian dalam korban.

"Kalau kita masuk satu atau dua bahagian korban, kita kena niat masuk sebahagian daripada seekor lembu korban semasa membuat akad.

"Bagi wakil yang diamanahkan membeli lembu pula janganlah dia berniat lembu korban itu untuk dirinya sebab dia hanya wakil kepada masjid atau surau," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Sembelihan halal dalam Islam' pada Kursus Halal Surau-surau Zon 3 di Masjid Asy-Syafie, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kursus setengah hari anjuran Jawi itu disertai oleh lebih 80 peserta. Turut serta adalah tujuh penghuni Asrama Darul Falah (Asdaf) di Jalan Travers, Kuala Lumpur.

Asdaf ditubuhkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk membolehkan kanak-kanak dari kalangan masyarakat Asli bersekolah di bandar.

Selain pembentangan kertas kerja, peserta turut membuat amali menyembelih ayam dengan pemantauan para fasilitator Jawi.

Menurut Abd. Fatah, proses menyembelih terbahagi dua iaitu penyembelihan ke atas haiwan yang boleh dikawal dan ke atas haiwan yang tidak boleh dikawal.

Beliau berkata, bagi kategori pertama, sembelihan dilakukan di leher (tempat yang diisyaratkan).

Bagi kategori haiwan yang tidak boleh dikawal, contohnya binatang pemburuan atau lembu yang terjatuh dalam perigi, adalah dengan melukakan mana-mana bahagian tubuh dengan alat yang diharuskan.

"Setiap benda yang boleh memotong urat-urat leher dan mengalirkan darah sama ada besi, batu, kaca atau seumpamanya boleh digunakan untuk menyembelih.

"Bagaimanapun, kuku, tulang dan gigi bukan alat menyembelih kerana ia sebahagian daripada anggota manusia yang dihormati selain tidak diakui sebagai alat menyembelih," jelasnya.

Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah alat penyembelihan hendaklah dipastikan sentiasa bersih daripada berlumuran darah.

"Darah yang mengalir adalah najis dan jika terkena pada ayam, ia menjadi bangkai," jelas Abd. Fatah.

Berhati-hati dengan GM Food

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Khalis Mohd. Aroff pula mengingatkan para peserta supaya berhati-hati apabila memilih makanan terutama dalam kategori Makanan Terubahsuai Genetik (GM Food).

Katanya, jika sesuatu makanan itu dihasilkan menggunakan asid deoksiribonukleik (DNA) haiwan halal maka ia halal dimakan oleh orang Islam, begitulah sebaliknya.

Contohnya, pengunaan DNA ikan salmon di dalam tomato supaya ia tahan lama adalah dibolehkan oleh syarak.

Adapun, penggunaan sumber bahan ramuan yang haram merangkumi bahan-bahan yang jelas dan bahan-bahan yang berpotensi menjadi haram.

Antaranya, bangkai yang merujuk kepada haiwan yang mati bukan disembelih, darah, babi dan anjing.

"Dalam bab makan, apabila berkumpul yang halal dan haram, maka yang haram akan menang," tegas Mohd. Khalis.

Mengenai tanduk rusa, beliau memberitahu, jika tanduk itu dipotong semasa haiwan itu masih hidup maka ia dikira bangkai.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang diambil daripada binatang yang masih hidup maka ia dikira bangkai," katanya.

Mohd. Khalis juga menasihati umat Islam agar menyemak status halal sesuatu produk seperti bebola ikan sebelum membelinya.

Sebabnya, kata beliau, kajian Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapati 60 peratus daripada bebola ikan di negara ini dicampur plasma darah haiwan.

"Ia bagi mencantikkan bebola ikan itu selain menjadikannya lebih kenyal dan gebu," tambahnya.

Mengenai ikan yang diternak dan sengaja diberi makan berasaskan sumber tidak halal seperti daging atau najis babi, Mohd. Khalis berkata, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada April 2006 memutuskan ikan begini haram dimakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: