Wednesday, October 5, 2011

Rupa paras tanpa disiplin tak ke mana - Ika



Walaupun baru menjengah dalam bidang lakonan, pemilik nama Haza Zulaika Aziz, 25, ini amat menitik beratkan disiplin dalam dirinya.

Pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Ika, ini berkata, jika mahu berjaya dan berada lebih lama dalam industri, sikap tersebut wajar dijadikan ikutan muka-muka baru yang mahu menempa nama sepertinya.

Katanya, bukan sahaja dalam industri seni, malah sikap tersebut adalah salah satu pegangan hidup yang wajar diamalkan.

“Saya memang mengutamakan disiplin kerana ramai yang memberitahu, jika kita tidak berdisiplin, kehadiran kita dalam industri tidak bertahan lama kerana orang muak dengan sikap kita.

“Bagi muka baru seperti saya, harus menunjukkan sikap baik agar tidak mengundang masalah kepada orang lain.

“Bagi saya, rupa cantik, tetapi tidak berdisiplin, tak boleh juga. Rupa adalah satu bonus untuk kita. Jika diterapkan sikap tersebut, ianya lagi elok,” katanya yang pernah menjayakan drama Kekasihku Puyu di TV3.

Selain itu, Ika juga turut berlakon dalam drama bersiri Yang Tulus, Mat Dan Ginseng, Pintu Mistik, Siapa Tipu Siapa, Gerak Khas dan juga Kisah Benar.



Pernah cuba nasib menyanyi

Mengenali gadis manis ini dengan lebih dekat, Ika sebenarnya berbakat dalam bidang muzik malah merupakan bekas pelajar Yamaha Music School.

Dia juga pernah menghadiri uji bakat dalam realiti televisyen Akademi Fantasia (AF), namun gagal untuk melayakkan diri dalam program itu.

Memandangkan peluangnya tipis sebagai penyanyi, maka Ika mencuba nasib dalam lakonan.

Katanya, disebabkan kegagalan itu, dia mula patah hati untuk menghadiri uji bakat yang lain dan nekad untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

“Saya pernah menyertai World Championship of Performance Art dan berjaya ke peringkat finalis sahaja. Saya memang minat menyanyi dan sampai sekarang saya masih mengintai peluang untuk menyanyi.

“Kalau ada rezeki dan kesempatan, saya nak hasilkan single sendiri. Saya rindu nak menyanyi balik kerana tidak semestinya saya bergelar pelakon, saya harus kuburkan minat untuk menyanyi,” katanya yang turut meminati bidang pengacaraan.



Idam watak antagonis

Tidak mahu berada di takuk sama, Ika optimis untuk menjayakan watak yang lebih mencabar sekiranya diberi peluang.

Menurut anak jati Kuala Pilah ini, dia mengidamkan watak antagonis untuk lakonan seterusnya bagi menguji tahap kemampuannya.

Malah dia mahu mempelbagaikan wataknya agar tidak kelihatan sama pada setiap drama yang dilakonkan.

“Saya nak watak jahat kerana watak sebegini lebih mencabar. Walaupun sukar dihayati, saya akan cuba kerana dalam bidang lakonan, kita harus berani mencuba.

“Selain watak antagonis, saya juga teringin nak lakonkan watak komedi. Namun, saya tidak pasti adakah komedi saya boleh diterima atau tidak.

“Tidak salah jika kita mahu mencuba pelbagai watak kerana di situlah kita tahu tahap lakonan kita yang sebenar,” katanya yang yakin mampu pergi jauh dalam industri seni.

Ika berkata, dia tidak gentar bersaing dengan lambakan muka-muka sedia ada dalam bidang lakonan. Bagi Ika, persaingan secara positif perlu ada sesama pelakon dan secara tidak langsung dapat memperbaiki kelemahan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: