Wednesday, October 5, 2011

Terpinggir sebagai penyany, Zarina masih laku di layar lebar



Sudah hampir lapan tahun Zarina menjadi anak seni. Masih segar di awal kemunculan Zarina sebagai pelajar program Akademi Fantasia musim kedua. Ketika itu perang asmara dia dan penyanyi Khai menjadi topik hangat sehingga saat putusnya cinta pasangan ini heboh menjadi bualan ramai.

Tersingkir daripada program itu, Zarina menjadi buruan media dan peminat untuk mengetahui kisah percintaan mereka yang akhirnya terputus dek orang ketiga iaitu Rosma yang kini menjadi suri hidup Khai bersama anak mereka.

Begitu hangat kisah mereka ketika itu. Biarpun masih baru ketika itu, Zarina sudah menampakkan kematangan dirinya apabila tidak pernah lari dan sentiasa berdepan dengan apa jua kontroversi yang melanda dirinya.

Sikapnya itu dibawa hingga ke hari ini. Kini, Zarina lebih dikenali sebagai pelakon berbanding bidang nyanyian yang menjadi minatnya sejak kecil lagi. Dia antara bintang realiti berjaya sebagai pelakon.

Mula berlakon filem Cinta Fotokopi yang menggandingkannya bersama Khai, langkahnya terus mara apabila tawaran demi tawaran diterimanya. Muncul menerusi filem Pontianak Menjerit, Gol & Gincu dan Jangan Pandang Belakang Congkak, Zarina terus menjadi buruan penerbit dan pengarah.

Tidak hanya di layar lebar, malah Zarina antara pelakon drama yang berjaya. Antara drama yang menjadi siulan ramai adalah seperti Ayu suraya, Berselindung Di Sebalik Kaabah dan Syurgamu Ramadan.

Bakat lakonannya begitu terserlah hingga menyebabkan ada yang terlupa, Zarina sebenarnya mahu lebih dikenali sebagai penyanyi. Pernah muncul dengan lagu Mahkota Jiwa, Zarina tidak pernah berputus asa untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

"Saya masih minat menyanyi, tapi banyak tawaran berlakon yang saya terima. Itulah rezeki. Saya tidak pernah menolak. Mungkin orang nampak bakat saya lebih kepada bidang lakonan.

"Saya masih mencuba untuk menyanyi kerana sejak berusia 10 tahun saya sudah menyanyi. Saya anggap kegagalan saya sebelum ini sebagai nadi untuk saya terus melangkah maju.

"Saya akan terus berusaha di samping mengembangkan sayap sebagai pelakon," katanya kepada Zass.

Mengakui dirinya seakan terpinggir dek lambakan penyanyi baru sedia ada, Zarina mohon dirinya diberi ruang untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang penyanyi.

Tidak mahu menumpukan kepada satu bidang, Zarina kini dalam proses mencari material untuk menghasilkan single untuk tatapan peminatnya.

"Janganlah ketepikan saya. Jika bukan tahun ini, saya akan mencuba lagi pada tahun depan. Saya sedang mencari lagu yang sesuai dengan vokal saya. Saya suka pada lagu-lagu yang catchy dan sedikit moden ditambah dengan irama dangdut.

"Tapi dangdut moden. Saya harap sangat dapat muncul dengan sebuah lagu baru," katanya bertambah semangat kembali ke pentas nyanyian selepas memenangi Juara untuk Konsert Afnil beberapa bulan lalu.



Tidak serik bercinta


Tidak pernah sunyi dengan cerita cinta, Zarina dilihat antara selebriti yang belum menemui titik noktah dalam percintaannya. Sudah berkali-kali hatinya dirobek, anak kelahiran Johor ini sebenarnya tidak pernah berasa serik malah menganggap semua itu sudah ditentukan buat dirinya.

"Siapa tak mahu kahwin. saya pernah meletakkan sasaran pada usia 25 untuk berkahwin. Tapi, apakan daya saya. Sebagai manusia, saya hanya boleh merancang.

"Saya cuba mencari keserasian dalam perhubungan. Namun sudah beberapa kali hampa. Terus terang, bukan harta atau rupa paras menjadi ukuran buat saya. Saya mahu seorang lelaki yang benar-benar ikhlas menerima diri saya dan keluarga.

"Sudah ramai yang saya jumpa dan cuba mengenali lebih dekat. Kata sahaja, yang botak atau berambut panjang, saya tidak pernah serik. Bagi saya mencari cinta sejati perlukan masa dan pengorbanan," katanya yang mengakui sudah ada seseorang yang istimewa, Zarina hanya berserah pada ketentuan.

Tempoh perkenalan sejak lima tahun lalu masih di peringkat permulaan kerana komitmen Zarina kini hanya pada kerjayanya.

"Orang dengar macam lama, tapi tak banyak masa kami luangkan bersama, Dia sibuk dengan kerjanya begitu juga saya. Jadi kami jarang dapat berjumpa.

"Saya tidak pernah memilih status, yang penting keikhlasan dirinya menerima diri saya. Saya berharap akan ada pengakhiran yang baik dalam hubungan ini," katanya.



Habiskan masa dengan bercuti

Minat dan hobinya mungkin kedengaran sama dengan wanita lain yang gemar bercuti. Namun di sebalik percutian itu, Zarina sebenarnya lebih suka menghabiskan masa bercuti seorang diri tanpa ditemani sesiapa.

Gemarkan aktiviti lasak, Zarina berasa lebih tenang apabila seorang diri.

"Saya suka bercuti. Kalau ada kelapangan, saya akan pergi dan kadang-kadang tak ada perancangan. Beli tiket terus jalan sahaja. Saya suka mengembara seorang diri. Cukup dengan satu beg sandang, saya sudah boleh mengembara.

"Bila di tempat orang, pandai-pandailah kita bawa diri. Saya suka melihat negara orang dan budaya masyarakat mereka. Untuk tahun ini, saya sudah bercuti hampir empat kali. Biasanya saya akan ke Bali atau Thailand.

"Selepas ini, saya akan cuba ke tempat yang lebih jauh. Saya rasa tenang dan dapat melepaskan segala masalah apabila bercuti. Saya akan memilih lokasi yang ada pulau kerana saya nak menyelam. Rasa seronok dapat tengok keindahan dasar laut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: