Wednesday, October 5, 2011

10 kakitangan Karangkraf berpeluang tunai haji



SHAH ALAM - Kumpulan Media Karangkraf menghantar 10 kakitangan bertuah untuk menunaikan rukun Islam kelima tahun ini.

Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Karangkraf, Ahmad Nazri Mohd Noor berkata, ini adalah pengiktirafan syarikat kepada pekerja yang lama berkhidmat di Karangkraf.

“Ia adalah penghargaan kepada kesetiaan kakitangan yang sudah lama berkhidmat di syarikat ini. Kami berharap mereka mendapat ketenangan serta kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata, syarikat juga merancangan menambah jumlah kakitangan menunaikan haji pada setiap tahun.

Penghantaran ini adalah ketiga, di mana pada 2009 Karangkraf menghantar lima staf dan 2010, meningkat kepada enam orang.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Jualan dan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Sharah Ibrahim mengucapkan penghargaan kepada pengurusan kerana memberikan beliau peluang menunaikan ibadah haji.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ini, apabila mengetahui syarikat memberi peluang kepada kami,” katanya.

Sharah berkhidmat sejak 21 tahun lalu bersama Media Karangkraf.

Bagi, Editor Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Elana Khamis berkata, hadiah haji ini adalah pengiktirafan sangat bernilai kepada beliau.

“Saya berharap kepada keluarga dan rakan-rakan doakan kami sihat sejahtera, selamat, dipermudahkan segala urusan dan dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Selain Sharah dan Elana, Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang; Penolong Editor Majalah Midi, Siti Arfah Abdul; Pereka Bentuk Grafik, Abdul Rahman Majid dan wartawan majalah Midi, Ruzian Mohd Jan turut menyertai kumpulan itu.

Turut mendapat peluang sama, Penolong Pengurus Jualan Pencetakan, Rabiah Sulaiman; Eksekutif Muda Jualan Iklan, Maizurawati Othman; Eksekutif Operasi Dasar Cetak, Haris Abd Salam dan Penyelia Pra Cetak Dasar Cetak, Roslim Alip.

Kesemua mereka dijadualkan berlepas pada 7 Oktober dan kembali ke tanah air pada 21 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: