Wednesday, October 5, 2011

Raja Lawak 6 berpindah ke saluran Warna

Program realiti popular, Raja Lawak Astro kini kembali di musim terbaru, selepas berjaya menobatkan Abdul Rahman Kassim atau Man sebagai juara Raja Lawak Astro musim yang lepas.

Melangkah ke musim yang keenam selepas berjaya melahirkan ramai pelawak, kini program yang sebelum ini disiarkan di Astro Prima telah melakukan beberapa pembaharuan untuk musim terbaru ini, bagi membekalkan kandungan komedi yang berterusan.

Khairul Anuar Salleh, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro

Untuk program Raja Lawak Astro musim keenam ini, para peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh tiga orang pelawak tanah air yang digelar sebagai ‘Cif Kecik’.

‘Cif Kecik’ ditugaskan menjadi penasihat untuk peserta-peserta yang berada di bawah perhatian mereka sebelum mereka bersedia untuk membuat persembahan mingguan.

Manakala seorang ‘Cif Besar’ pula akan dilantik untuk memantau kesemua ‘Cik Kecik’ dan barisan peserta yang terlibat di bawah pengawasan mereka.

Selain pertukaran dari segi konsep, program ini juga telah dipindahkan salurannya daripada Astro Prima ke Astro Warna, bagi menyelaraskan Astro Warna sebagai satu saluran komedi di Astro.

“Melihat pada asal Warna diterbitkan, destinasinya adalah komedi, jadi perancangan untuk pemindahan ini memang sudah ada sejak awal lagi. Kami sedia maklum bahawa penonton akan berkurangan mengikut langganan Warna, namun jika dilihat secara positif, perpindahan program Raja Lawak Astro ini akan memberi ruang kepada Prima untuk mengakan program realiti yang lebih besar.

“Tentang perubahan konsep pula, apabila sudah berpindah rumah, sudah tentu sajiannya turut berubah sedikit. Kami mahu menaikkan program ini ke satu tempat yang lebih gah. Dengan meletakkan ‘Cif Kecik’ dan ‘Cif Besar’ untuk membantu mereka dalam membina idea, ia juga sebenarnya bertujuan untuk membimbing pelawak baru mengenal dunia lawak yang sebenarnya,”jelas Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Saleh.

Zizan dan Johan sebagai Pengacara

Sekali lagi memberi kepercayaan pada Zizan dan Johan, mereka berdua ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara untuk program Raja Lawak Astro Musim Keenam ini.

“Kami sudah menilai daripada musim kedua dan telah membuat kajian sama ada kami akan ambil wajah lain untuk mengacarakan program ini ataupun tidak, ternyata program ini masih baik dengan mereka,”jelas Bob Azrai selaku wakil Astro Prima.

Program ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat yang berusia 18 tahun ke atas dan haruslah mempunyai bakat dan minat dalam bidang komedi.

Mereka perlu membuat persembahan pentas secara spontan dan menarik perhatian juri dalam tempoh maksimum tiga minit, selain ia terbuka kepada peserta solo dan berkumpulan yang tidak melebihi tiga orang.

Sesi uji bakat akan dimulakan pada setiap Sabtu dan Ahad jam 10 pagi hingga 6 petang di enam lokasi iaitu pada 8 & 9 Oktober di Godown Ampitheater, Kuching Waterfront, Sarawak, 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah (15 & 16 Oktober), Prangin Mall, Pulau Pinang (22 & 23 Oktober), Mega Mall, Kuantan, Pahang (29 & 30 Oktober), SACC Mall, Shah Alam, Selangor (12 & 13 Oktober) dan Plaza Angsana, Johor Bahru (19 & 20 November).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: