PREMIS niaga di tepi jalan Pekan Bukit Bunga terletak terlalu dekat dengan bahu jalan.
TANAH MERAH: Segelintir peniaga di Pekan Bukit Bunga, dekat sini, seolah-olah tidak menghiraukan faktor keselamatan apabila bertindak berani memperbesarkan perniagaan sehingga menghampiri bahu jalan.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai berikutan jalan berkenaan adalah laluan utama menghubungkan antara pekan itu dengan Jalan Timur Barat dan Buketa, Selatan Thailand menerusi Jambatan Muhibah.
Tinjauan Berita Harian di kawasan berkenaan mendapati, peniaga terdedah kepada risiko dirempuh kenderaan bertali arus kerana jarak gerai hanya terletak beberapa meter dari kiri kanan bahu jalan.
Pengunjung, Omar Solihan, 52, berkata kemungkinan kejadian itu boleh berlaku bila-bila masa jika peniaga leka.
“Jangan terlampau ghairah berniaga sehingga tidak sedar kita sebenarnya mungkin menempah maut.
“Jalan berkenaan adalah laluan utama dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, siapa yang akan dipersalahkan, sama ada peniaga terbabit atau pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan awal,” katanya.
Pengunjung, Nur Susilawatie Abdul Jalil, 46, turut mendakwa kesesakan lalu lintas sering berlaku kerana beberapa gerai yang menjual pelbagai barangan terletak di pinggir bahu jalan.
Katanya, jika pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan, dibimbangi masalah aliran trafik akan terus membelenggu terutama ketika musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Kita percaya tindakan diambil bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi memberi kebaikan bersama bagi mengelak nyawa terancam, kemusnahan harta benda, sekali gus menjamin lalu lintas lancar,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: