CYBERJAYA bakal melangkah setapak lagi ke arah menjadi antara bandar raya pintar terkemuka di dunia apabila bermulanya pembangunan pusat bandarnya yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion tahun depan.
Pemaju dan pemilik bandaraya pintar di bawah Inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) itu, Cyberview Sdn Bhd sudah pun mengeluarkan tender bagi pembangunan pusat bandar itu 16 September lalu dan menjangka dapat mengumumkan syarikat yang dipilih dalam tempoh enam bulan selepas tarikh tutupnya 21 Disember ini.
“Pusat bandar ini adalah sebahagian perancangan asal Cyberjaya yang dibuat pada 1997 dan kami yakin pembangunannya akan membawa Cyberjaya ke tahap baru,” kata beliau pada sidang media bagi mengumumkan prestasi Cyberjaya 2011 di Cyberjaya, semalam.
Hafidz menjelaskan, pusat bandar yang bakal menjadikan aktiviti di Cyberjaya lebih rancak itu akan dibangunkan di tapak seluas 57.06 hektar antara Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dan stesen transit KLIA Putrajaya & Cyberjaya.
Beliau berkata, projek yang akan mengandungi pelbagai jenis hartanah komersial dan enterpris itu akan dibangunkan sebaik semua keputusan pelaburan serta pelan pembangunannya dimuktamadkan dan diluluskan semua pihak berkuasa berkaitan.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah pelaburan di Cyberjaya menyusut kepada RM3.04 bilion tahun ini berbanding RM3.1 bilion pada 2010 susulan penurunan jumlah pelaburan komersial.
Namun, katanya, penurunan itu diimbangkan dengan peningkatan dalam pelaburan projek kediaman yang menjadi penyumbang utama jumlah pelaburan Cyberjaya tahun ini.
“Bagi tahun depan, kami yakin nilai pelaburan ini akan meningkat lebih tinggi kepada RM3.73 bilion berdasarkan jumlah pelaburan serta komitmen yang sudah kami terima setakat ini,” katanya.
Sepanjang tahun ini, Cyberjaya mencatatkan nilai pembangunan RM2.42 bilion meningkat 40 peratus berbanding RM1.6 bilion tahun lalu dipacu pembangunan unit kediaman, diikuti jualan tanah enterpris, komersial dan institusi.
Jumlah keluasan tanah yang belum dibangunkan telah berkurangan kepada 29 peratus tahun ini berbanding 50.6 peratus pada 2010, manakala jumlah pembangunan Cyberjaya yang selesai meningkat kepada 27 peratus daripada 23.7 peratus tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: