Wednesday, October 19, 2011

Pierre kecewa Al Hijab gagal capai sasaran

Entah mana silapnya, filem genre seram, Al Hijab, gagal mencapai kutipan yang memberangsangkan, walaupun mendapat pujian menggunung daripada pencinta filem.

Sejak ditayangkan pada 6 Oktober sehingga Ahad lalu, Al Hijab hanya berjaya mengutip RM2 juta dan jumlah itu jauh ketinggalan berbanding filem Hantu Bonceng yang meraih RM8.5 juta.

Pengarahnya, Pierre yang dihubungi semalam, tidak menyembunyikan rasa kecewanya kerana filem itu adalah hasil garapan terbaiknya.

“Saya memang kecewa kerana Al Hijab tidak mencapai sasaran saya iaitu RM4 juta. Namun, saya masih bersyukur kerana kutipan itu tidak merugikan saya.

“Mungkin rezeki saya kurang baik dalam karya kali ini.

"Kutipan sesebuah filem bergantung kepada rezeki dan nasib. Walaupun jalan cerita bagus, kalau nasib tidak menyebelahi, filem itu mampu setakat itu sahaja," luah Pierre.

Bagaimanapun, anak teruna pelakon veteran, Khatijah Tan ini berharap filem terbitan, Empat Semudra, itu dapat meraih keuntungan menerusi Astro First.

“Saya mengharapkan tayangan di Astro First dapat membantu menaikkan lagi kutipan tersebut. Lagipun, kini baru hampir dua minggu tayangan. Jika masih ada penonton selepas ini, mungkin tayangan di panggung akan disambung ke satu atau dua minggu lagi,” katanya yang menafikan lambakan filem seram menjadi punca kegagalan filemnya.

Tidak mudah berputus asa, Pierre bakal muncul dengan dua filem cinta, Aku Kau Dia dan Chantek.

"Saya juga bakal mengarahkan filem aksi pertama bersama Metrowealth. Ia masih dalam perbincangan dan Insya-Allah akan menjalani penggambaran tidak lama lagi," kata Pierre.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: