Wednesday, October 19, 2011

Tidak mahu dibayangi Stacy

Sekali pandang, pakej yang dimiliki pendatang baru ini tidak ubah seperti juara Akademi Fantasia (AF6) yang kini popular dengan lagu Kisah Dongeng, Stacy.

Namun, apabila Zass bertanyakan hal itu, pemilik nama, Brenda Anura Lundo Jamin, atau lebih mesra disapa Brenda, 18, ini dengan pantasnya menafikannya. Malah anak jati negeri di bawah bayu ini, tidak mahu disamakan dengan Stacy.

“Kalau dari segi fizikal, kami tak sama langsung. Tapi kalau dari segi konsep muzik yang diperjuangkan, mungkin sama kerana saya memang berminat dengan muzik Pop Dance.

“Apa pun saya harap janganlah samakan saya dengan Stacy. Saya mahukan identiti saya sendiri. Kalau dari awal lagi saya dilabelkan sepertinya, sudah pasti pendengar tidak berminat untuk mendengar lagu saya," katanya bakal muncul dengan single pertama, Mulut Longkang.

Mengenai single terbaru, Brenda di bawah Erama Production, memberitahu, walaupun tajuk lagu itu agak daring, namun banyak unsur nasihat yang diselitkan untuk pendengar.

"Kami memang sengaja pilih tajuk lagu yang unik agar mudah menarik perhatian peminat. Lagu ini dicipta Syeikh Qalam dan Jasnie Mohd Yaakob sangat serasi dengan jiwa saya. Lagu ini sudah pun dimainkan di radio dan menerima sambutan baik di kalangan peminat," kata Brenda yang sebelum ini pernah memiliki album duet bersama S Welly.



Menyanyi di sekolah

Sejak di bangku sekolah lagi, Brenda sudah cenderung dengan nyanyian, malah turut mendapat sokongan padu daripada ibu bapanya.

Dia juga banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan juga negeri. Lebih membanggakan Brenda merupakan juara Suara Emas Peringkat Negeri Sabah, tahun lalu.

"Saya menerima tawaran daripada Erama Production dan terpaksa menangguhkan dulu pelajaran.

"Kami sekeluarga dah berbincang. Saya akan fokus dulu dalam nyanyian dan barulah sambung belajar," katanya yang terpaksa menolak tawaran belajar di Kolej Matrikulasi, Sabah.

Bagi merealisasikan cita-citanya, Brenda bertekad untuk kerja keras dalam nyanyian dan berharap kemunculannya diterima peminat muzik.

"Saya tidak sangka, impian untuk menjadi penyanyi akhirnya muncul dengan cepat sekali. Ia seperti mimpi indah untuk saya. Tapi saya tetap perlukan sokongan peminat,” katanya yang pernah membintangi drama kenegerian Sabah, Ongkukus as Keningau.



Ingin cipta nama di luar negara

Jika sebelum ini namanya sudah dikenali di Sabah, kini Brenda optimis mencipta nama di seluruh negara.

Enam bulan di Kuala Lumpur, Brenda berharap dirinya diterima secara baik untuk mewarnai industri muzik bersama penyanyi yang sedia ada.

"Ramai rakan-rakan dari sini (Sabah), berjaya mencipta nama setelah ke Kuala Lumpur. Lagipun di sinilah tempat karyawan muzik berkumpul.

"Fokus saya bukan sahaja di Malaysia, kalau boleh saya nak melangkah ke luar negara.

"Ia adalah impian saya. Apa yang penting, saya harus pikat hati pendengar sebelum melangkah ke negara lain," katanya yang turut aktif berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: