Friday, October 21, 2011

Photomarathon membidik foto terbaik

SEMANGAT para peserta Fotomarathon dapat dilihat dalam rakaman gambar ini.


SUASANA pada pagi Sabtu lalu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur sangat berbeza daripada hari-hari biasa. Lautan orang ramai yang berpakaian warna merah sambil memegang kamera mendominasi ruang legar dan siar kaki serta di ruang pintu masuk menghadap Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mereka ialah sebahagian daripada lebih 1,300 orang peserta acara Photomarathon Canon Malaysia kali kelima yang sejak pukul 7 pagi sudahpun menunggu untuk memulakan lumba maraton unik itu.

Tidak perlu berlari sehingga puluhan kilometer, Photomarathon dibahagikan kepada tiga bahagian dengan tema yang berbeza. Para peserta wajib menghasilkan foto yang tepat, sesuai dan berkualiti dalam masa yang ditetapkan.

Tema adalah rahsia dan hanya diberitahu saat pelepasan peserta iaitu pukul 9 pagi, 2 petang serta 4 petang. Pertandingan tersebut berakhir pada pukul 6 petang dengan setiap peserta harus menghantar sendiri foto penyertaan mereka.

Para peserta terdiri daripada pengguna kamera daripada pelbagai tahap kemahiran iaitu daripada jurugambar profesional sehingga kepada individu-individu yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang fotografi.

Kumpul pengalaman

Bagi jurugambar amatur, langkah menyertai pertandingan seumpama itu bukan semata-mata untuk mendapatkan hadiah apatah lagi mahu menyaingi jurugambar profesional.

Menurut Zulkarnain Hafiz, 26, dia menganggap pertandingan sebegitu sebagai sebuah platform untuk dia mengembangkan ilmu pengetahuan dan rangkaian kenalan dalam bidang fotografi.

“Ia bermula sebagai hobi untuk melegakan tekanan bekerja tetapi lama-kelamaan menjadi pekerjaan sampingan pula. Paling sukar adalah belajar seting kamera secara manual,” ujarnya yang memiliki kamera Canon model EOS 50D.

Disebabkan oleh perkara tersebut, Zulkarnain yang pertama kali menyertai Photomarathon itu berharap dapat menajamkan skil membidik foto daripada peserta lain sepanjang pertandingan berlangsung.

Sementara itu, jejaka dari Klang, Selangor, Chan Kok Beng pula sanggup bangun awal pagi hanya untuk menyertai Photomarathon tersebut. Baru lebih kurang setahun serius dalam mendalami ilmu fotografi, dia hadir berseorangan ke perlumbaan tersebut.

“Hanya minat yang mendorong saya datang ke sini. Ia akan memberi pendedahan yang luas kepada saya kerana pertandingan ini melibatkan jurugambar profesional sama ada sebagai peserta atau hakim,” katanya ketika ditemui sedang menunggu saat pelepasan peserta.


ANTARA gelagat peserta acara yang menghangatkan ibu negara baru-baru ini.


Dia yang meminati foto-foto berbentuk landskap dan potret mengakui bahawa bidang fotografi sangat mahal kerana menggunakan peralatan yang moden dan terkini bagi hasil yang baik.

Jadi, Kok Beng ada membuat kerja-kerja sampingan seperti mengambil foto perkahwinan dan potret sama ada luar rumah atau dalam studio.

Lain pula kisahnya dengan seorang eksekutif jualan, Defney Chong Yu Wan, 33, yang juga pada mulanya berjinak-jinak dengan hobi mengambil gambar selepas sering mengikuti suaminya.

Suaminya, Clavenn Choo Chin Kiat, 34, sudah tujuh tahun terlibat dengan hobi tersebut dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan seperti itu, cuma bagi Photomarathon Canon pada tahun ini, dia menyertainya buat kali pertama.

“Pertandingan seperti ini amat bagus kerana dapat merapatkan hubungan sesama kami selain bagi pendedahan kepada individu seperti saya,” ujarnya ringkas ketika ditemui di samping suaminya.

Amal

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Photomarathon Canon kali ini lebih bermakna apabila pihak Canon diwakili oleh Presiden Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Melvyn Ho menyerahkan sekeping cek bernilai RM25,960 kepada Yayasan Penyelidikan Barah Payudara Kebangsaan (NBCRF).

“Bersempena bulan kesedaran kanser payudara pada bulan Oktober ini, pihak Canon mengambil keputusan untuk menyerahkan semua bayaran penyertaan sebanyak RM20 kepada pihak persatuan sebagai tanda sokongan,” kata Melvyn.

Pada acara tersebut, cek telah diserahkan kepada Penaung NBCRF, Datin Seri Akmal Abdul Salam sebelum acara pelepasan peserta dilakukan.

Tambah Melvyn, aktiviti kemasyarakatan seperti yang dilakukan pada tahun ini pasti akan berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, gerai-gerai mencetak gambar dengan menggunakan pencetak Pixma Canon turut diadakan dan setiap keping foto akan dikenakan bayaran sebanyak RM10. Hasil kutipan akan terus didermakan kepada NBCRF.

Sebuah pameran foto bertajuk Canon Signature Gallery turut diadakan dari 19 hingga 23 Oktober di ruang legar Pavilion. Antara foto-foto yang dipamerkan adalah hasil kerja Zainal Abdul Halim, Peter Tan, Harry Woo dan Ng Kok Leong selain 10 keping gambar terbaik daripada peserta Photomarathon.

Seramai 10 orang pengadil akan mengadili peserta Photomarathon Canon pada tahun ini seperti jurugambar Reuter, Zainal Abdul Halim, bekas Ketua Jurugambar Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar dan Editor Foto The Star Publications, Ng Kok Leong.

Pemenang hanya akan diketahui pada 22 Oktober ini di Laman Tengah Pavilion pada pukul 11 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: