
WAJAH-WAJAH kanak-kanak kecil disleksia serta-merta kelihatan berseri-seri penuh keriangan apabila kakitangan Procter & Gamble Malaysia (P&G) melawat mereka dengan membawa pelbagai buah tangan yang enak dan menarik.
Sebagai sebahagian dari inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, kakitangan P&G telah mengadakan lawatan ke pusat pemulihan Persatuan Disleksia Malaysia yang terletak di Titiwangsa.
Pusat tersebut menyediakan khidmat pembelajaran pemulihan kepada lebih 30 orang kanak-kanak disleksia berumur di antara enam tahun hingga 15 tahun.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk membolehkan kakitangan P&G mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masalah disleksia yang dialami oleh berjuta-juta kanak-kanak dan keluarga mereka di seluruh dunia.
Mereka juga turut sama-sama berkongsi kegembiraan dengan kanak-kanak dan tenaga pengajar dengan pelbagai aktiviti selain memberikan sumbangan berupa wang ringgit.
"Sejak lebih sedekad yang lalu, P&G melalui program tanggungjawab sosial korporatnya Open Minds, telah menyentuh kehidupan lebih 7,000 kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.
"Hari ini, terbukti bahawa kami sangat komited untuk membantu meningkatkan mutu kehidupan kanak-kanak ini. Kami komited untuk meneruskan usaha ini pada masa hadapan," kata Pengarah Jualan P&G Malaysia, Swadheen Sharma.
Swadheen turut sama melawat pusat tersebut berserta 20 lagi kakitangan P&G yang lain. Mereka disambut mesra oleh tenaga pengajar dan kanak-kanak di pusat tersebut.
Acara lawatan itu turut dimuatkan dengan pelbagai permainan untuk kanak-kanak dan juga jamuan sarapan pagi yang enak dan sihat, sesi bercerita, serta aktiviti menanam pokok untuk mencantikkan kawasan pusat tersebut.

Interaksi
Setiap daripada mereka sangat gembira kerana dapat menjalankan pelbagai aktiviti bersama-sama sambil berinteraksi dengan orang baharu.
"Selain daripada pembelajaran holistik di pusat tersebut, kanak-kanak ini turut dididik dari aspek kerohanian dan psikologi untuk membantu kanak-kanak ini, seiring moto Live, Learn and Thrive.
"Sumbangan kami tidaklah seberapa tetapi kami harap kunjungan kami dapat membantu kanak-kanak ini memulakan kehidupan yang lebih bermakna," kata Swadheen.
Presiden Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), Sariah Amirin melahirkan rasa bersyukur dan penghargaan beliau kepada P&G atas segala sumbangan untuk mencantikkan pusat tersebut dengan bunga-bungaan pelbagai warna.
"Kanak-kanak ini sememangnya sangat gembira dan ia boleh dilihat daripada senyuman di wajah mereka.
"Saya gembira kerana ada organisasi korporat seperti P&G yang mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak ini. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang tidak bermotifkan keuntungan, kami amat memerlukan sokongan dan ihsan orang ramai serta badan korporat," kata Sariah.
Dalam usaha mewujudkan kesedaran tentang pentingnya intervensi awal di dalam disleksia, P&G juga telah berkolaborasi dengan pasar raya besar Giant dan Guardian di seluruh negara melalui kempen pelanggan The Gift of Learning sepanjang bulan Mei.
Kempen tersebut telah berjaya meraih dana melalui jualan produk-produk terpilih P&G yang bertujuan untuk menyediakan pembelajaran pemulihan percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat-pusat Persatuan Disleksia Malaysia di seluruh negara.
Pada 22 Julai lalu, kempen tersebut telah mengumumkan kejayaan mengumpulkan sebanyak RM161,167.87 pada tahun ini untuk PDM. Sumbangan tersebut telah diterima pihak PDM daripada Swadheen dan Pengarah Pemasaran, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., yang merupakan pemilik Giant, Ho Mun Hao.

"Giant senantiasa berusaha untuk menjadikan pasar raya kami sebahagian daripada masyarakat sejak 67 tahun beroperasi.
"Sesungguhnya, rangkaian kami bukan sahaja mampu untuk menyediakan pilihan yang banyak, nilai hebat dan harga rendah, malah turut menyokong dan membantu usaha murni yang dilakukan seperti kempen The Gift of Learning," kata Mun Hao.
Tambahnya, pihak Giant berbangga kerana dapat turut sama dalam kempen yang sangat bermakna bagi meraih dana bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.
Sama seperti Giant, farmasi Guardian iaitu rangkaian kedai kesihatan dan kecantikan turut menyertai kempen tersebut.
Guardian telah lama terlibat dalam aktiviti yang menyokong kasih sayang, pembangunan dan kebajikan komuniti tempatan. Ia juga menyokong program yang membantu golongan yang memerlukan bantuan terutama wanita dan kanak-kanak.
Program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat global P&G yang memberi fokus terhadap usaha kemanusiaan jenama P&G, kakitangan dan asas korporat dalam meningkatkan taraf hidup kanak-kanak istimewa yang memerlukan bantuan semenjak bayi sehingga berumur 13 tahun.
Di Malaysia, Open Minds meneruskan fokus untuk membantu dan meningkatkan kualiti masa depan kanak-kanak istimewa ini dengan menyediakan pembelajaran khusus dan kemudahan yang diperlukan agar mereka dapat menjalani hidup, belajar dan meraih kejayaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: