PERLUMBAAN mencari harta karun teksi bertema Having Fun With Sunlight yang dianjurkan oleh Sunlight Taxi berakhir dengan kejayaan apabila lebih 300 pemandu teksi dan orang ramai mengambil bahagian.
Malah, mereka sanggup meredah hujan di sekitar Lembah Klang semata-mata untuk mengumpul harta karun demi keseronokan dan misi kebajikan di samping mahu merebut hadiah utama bernilai RM2,000.
Bagaimanapun, di sebalik semangat dan kesungguhan yang dipamerkan setiap peserta, akhirnya pasukan Don't Know Much dimahkotakan sebagai juara pencarian tersebut.
Secara umum, terdapat 49 pasukan yang telah mengambil bahagian dalam acara julung-julung kali diadakan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.
Ketika ditemui sambil bergurau, pasukan Don't Know Much berkata, mereka mungkin tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai selok-belok pencarian harta karun tetapi, mereka sedar pentingnya setia kawan dan semangat kerja berpasukan.
Tiga kawan lama, Mohd. Md. Taib, Ahmad Zarmilan Mohamad dan Ahmad Iznie, masing-masing pernah menyertai dan memenangi perlumbaan mencari harta karun sebelum ini, tetapi ini adalah kali pertama mereka mengambil bahagian bersama-sama sebagai satu pasukan untuk memenangi hadiah utama.
"Daripada pengalaman lalu, kami memang menduga akan menduduki tempat dalam lima kumpulan teratas, tetapi kami terkejut apabila diumumkan sebagai juara.
"Perlumbaan ini memang menyeronokkan, unik dan meninggalkan kenangan manis. Buat pertama kali, kami tidak perlu memandu dalam perlumbaan mencari harta karun, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pemandu teksi untuk membawa kami.
"Malah, kami menghabiskan banyak masa berkomunikasi dengan pemandu teksi kami. Pengalaman ini membuka mata dan menyedarkan kami betapa mencabarnya tugas sebagai seorang pemandu teksi yang terpaksa dilalui setiap hari," kata Mohd. sambil tersenyum.
Niat murni
Perlumbaan mencari harta karun itu juga bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sunlight Taxi dan Magnum sebagai penaja utama, KK Supermart sebagai penaja perak dan Fotokem sebagai penaja gangsa, melawat Rumah Hope iaitu rumah perlindungan untuk kanak-kanak terabai dan teraniaya selepas perlumbaan untuk mendermakan semua harta karun yang dikumpulkan kepada rumah tersebut.
Tidak ketinggalan, Sunlight Taxi juga menyumbangkan RM500 setiap bulan kepada Rumah Hope untuk kos petrol mereka.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Azhar Ahmad yang melepaskan peserta, menyifatkan perlumbaan mencari harta karun teksi yang julung-julung kali diadakan itu sebagai satu usaha yang menyeronokkan dan bermakna untuk merapatkan jurang antara pemandu teksi dan orang ramai.
Teknologi canggih
Malah, ia juga merupakan satu cara untuk menaikkan semangat pemandu teksi yang sentiasa berusaha menambah pendapatan untuk hidup yang lebih selesa.
"Hingga kini terdapat 37,000 pemandu teksi berdaftar di Lembah Klang. Nisbah ini adalah 3.5 kali lebih tinggi berbanding pemandu teksi di New York.
"Bagaimanapun, pendapatan pemandu teksi di New York adalah lebih tinggi daripada pemandu tempatan yang mendapat 30 peratus daripada hasil mereka bagi masa yang dihabiskan di jalan raya, manakala pemandu teksi di New York meraih lebih daripada 60 peratus daripada hasil pendapatan mereka.
"Bila kita meneliti perbandingan ini, kita akan dapati perbezaannya terletak pada teknologi canggih. Di New York, pemandu teksi menggunakan perkhidmatan GPS untuk membolehkan orang ramai membuat panggilan ke pusat panggilan untuk mendapatkan khidmat teksi.
"Ini membolehkan waktu 'pusing balik' yang lebih singkat dan menjana lebih pendapatan untuk pemandu teksi," kata Azhar sambil melahirkan rasa gembira apabila mengetahui bahawa Sunlight Taxi telah mengambil langkah untuk menggunakan sistem GPS dalam teksi mereka bagi menambah pendapatan pemandu teksi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sunlight, Choi Wei Yee berkata, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak program pendidikan dan latihan untuk pemandu mereka pada tahun hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sunlight Taxi boleh menghubungi talian 1300-800-222 (CAB) atau buat tempahan dalam talian melalui laman web www.sunlighttaxi.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: