Peserta Takaful perlu melabur dalam teknologi, tenaga kerja dan saluran pengedaran sebagai strategi meningkatkan keupayaan mereka bagi memanfaatkan perniagaan takaful rentas sempadan.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Bakarudin Ishak berkata, aliran pertumbuhan sumbangan takaful kasar global pada purata kira-kira 31 peratus, di unjur mencecah AS$12 bilion (AS$1=RM3.11) pada akhir tahun daripada AS$7 bilion pada 2009.
“Ini menunjukkan potensi pertumbuhan positif bagi tahun akan datang, terutamanya dengan kadar penembusan pasaran takaful yang sangat rendah ketika ini,” katanya di Takaful Rendezvous 2011, di Kuala Lumpur, semalam.
Bakarudin berkata, potensi pasaran takaful dan takaful semula disedari peserta konvensional utama seperti yang dibuktikan dengan penubuhan syarikat takaful atau syarikat takaful semula dalam banyak kumpulan konvensional besar dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Beliau berkata, pengendali takaful, yang bilangannya lebih 150, dijangka meningkat, seterusnya mengukuhkan elemen kompetitif dalam perniagaan takaful.
Sebagai pasaran takaful terbesar dunia, Malaysia ada kedudukan kukuh dalam pasaran takaful global dengan jumlah aset bernilai AS$3.2 bilion, menguasai 26 peratus daripada jumlah aset takaful global pada 2009.
Pertumbuhan kukuh dan prestasi baik industri takaful domestik dengan gabungan purata pertumbuhan 27 peratus dari segi sumbangan bersih antara 2005 dan 2010 menunjukkan peningkatan perlindungan takaful sebagai pilihan utama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: