
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada bulan berkenaan, eksport meningkat 10.9 peratus (RM58.56 bilion) manakala import naik 6.9 peratus kepada RM47.58 bilion.
Katanya, jumlah dagangan pada Ogos berkembang 9.1 peratus, berbanding setahun lalu kepada RM106.14 bilion.
Berbanding Julai 2011, Mustapa berkata, eksport dan import pada Ogos 2011 masing-masing turun 1.2 peratus dan 4.4 peratus, manakala jumlah dagangan mengurang kepada 2.7 peratus.
"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2011, jumlah dagangan meningkat 7.9 peratus kepada RM830.23 bilion berbanding tempoh sama pada 2010," katanya.
Eksport naik 7.4 peratus kepada RM454.91 bilion, manakala import berkembang 8.5 peratus kepada RM375.33 bilion, menyebabkan lebihan dagangan RM79.58 bilion semasa tempoh yang sama.
Kenaikan dalam eksport pada Ogos 2011 daripada setahun lalu disumbangkan terutamanya oleh peningkatan eksport minyak sawit, kimia dan bahan kimia, gas asli cecair, keluaran getah, getah mentah, jentera, perkakasan dan peralatan serta barangan perkilangan logam.
"China, Singapura, Jepun, AS dan Thailand adalah lima destinasi eksport utama, menguasai 51.7 peratus jumlah eksport negara pada Ogos 2011," katanya.
Menurutnya, eksport ke Asean bernilai RM14.37 bilion, menyumbang 24.5 peratus jumlah eksport Malaysia pada Ogos 2011.
Jumlah eksport ke Asean naik 10.7 peratus daripada setahun lepas terutamanya eksport barangan petroleum bertapis lebih tinggi, barangan kimia dan bahan kimia serta minyak sawit.
Jumlah import pada Ogos 2011 meningkat 6.9 peratus kepada RM47.58 bilion daripada Ogos 2010, terutamanya import barangan perantara dan modal yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: