Friday, October 7, 2011

Perodua, Yayasan Melaka meterai janji

Perodua memperuntukkan RM22.7 juta untuk membangunkan pusat jualan, servis dan alat ganti (3s) di Ayer Keroh, Melaka dengan pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2012 dan siap menjelang akhir 2013.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya menjalin usaha sama dengan Yayasan Melaka untuk memperoleh tanah seluas 1.77 hektar di Kota Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka, dengan pembelian tanah kira-kira RM7.7 juta bagi membina pusat 3s.

Menurutnya, Perodua turut memperuntukkan sehingga RM15 juta bagi tujuan membangunkan pusat 3s itu, sekali gus bakal dijadikan pejabat serantau dan pusat latihan kakitangan wilayah selatan serta wakil penjual Perodua.:

“Kami berasakan lokasi pusat 3s baru ini strategik di mana ia dapat memenuhi permintaan semakin meningkat untuk produk Perodua dan servisnya di Melaka.

“Selain itu, kami juga akan berbincang dengan Yayasan Melaka untuk memasukkan dan menerapkan ciri-ciri kebudayaan, tradisi dan sejarah Melaka di pusat baru 3s ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Perodua Sales Sdn Bhd dan Yayasan Melaka di Rawang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Yayasan Melaka, Datuk Tahir Hasan; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Melaka, Zaleha Bujang dan Pengurus Besar Yayasan Melaka, Sharabuddin Kudus.

Setakat ini, Perodua ada sebuah pusat 3s di dua cawangan dan dua pusat 3s di lima wakil penjual di Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: