Friday, October 7, 2011

Rock Islamik terus dapat perhatian

Melihat imej mereka berserban dan islamik, pasti ramai yang tidak menyangka Al Farabi membawakan konsep rock dalam perjuangan muzik mereka.

Bagi Al Farabi, apa yang diperjuangkan mereka itu adalah sebagai jihad ke jalan ALLAh SWT. Membawa konsep rock Islamik, lagu-lagu mereka sarat dengan unsur ketuhanan, kemanusiaan dan perjuangan yang dapat memberi wadah berguna buat pendengarnya.

Bukan sekadar mencipta gimik semata-mata, Al Farabi yang ditubuhkan pada Mac 2009, kini punya peminat tersendiri.

Terdiri daripada lima anggota, Mohd Nazri Alias, 37, selaku vokalis dan pemain gitar utama, Ahmad Nasie Mohd Nawawi, 24, (vokalis), Amirul Mustafa Al- Rieza Dzulkifli, 17, (drum), Abdul Razaque Samuel Fakhr Dzukifli, 20, (keyboard 1), dan satu-satunya bunga dalam kumpulan itu, Fazrina Ghazali, 36, (gitar 2), Al Farabi kini semakin optimis dengan perjuangan.

"Konsep band Al Farabi bertunjangkan kepada tiga elemen, muzik, mesej dan penampilan sesuai dengan konsep kami yang lebih terarah kepada keagamaan.

“Malah, kami asalnya bukanlah daripada kalangan individu yang mempunyai asas muzik. Tetapi minat dan semangat kami untuk memperjuangkan agama melalui medium berbeza antara pendorong utama keteguhan Al Farabi sehingga kini,” kata Nazri, selaku ketua kumpulan.


Tidak pinggirkan wanita

Memilih nama kumpulan sempena nama ilmuwan Islam dan muzik terkenal, Al Farabi atau nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan, band ini juga turut memecah tradisi dalam dunia muzik tempatan.

Jika selama ini lagu berunsur ketuhanan dan nasihat diterajui kumpulan nasyid, namun kini trend itu sudah berubah. Apatah lagi Al Farabi turut memperkenalkan anggota wanita, Fazrina dalam band mereka. Malah wanita itu adalah isteri ketua kumpulan mereka, Nazri.

“Al Farabi memiliki keunikan tersendiri. Kami menampilkan Rina, sebagai pemain gitar bass wanita Muslimah bagi menunjukkan, ia bukanlah penghalang seseorang itu untuk bermuzik selagi pandai menjaga batas dan syariat agama," kata Nazri.

Sementara, Rina berkata, pada awalnya, kemunculannya sebagai ahli kumpulan itu turut mendapat kritikan hebat segelintir pihak. Bagi mereka, wanita sepertinya tidak harus menyertai muzik.

“Apa jua pandangan orang, saya tidak mampu mengubahnya. Cukuplah saya tahu batasan adab dan pergaulan antara kami. Lagi pun tak ada masalah kerana ketua kumpulan ini adalah suami saya. Sebagai isteri, saya harus menyokong apa juga perjuangannya," kata Fazrina yang sememangnya meminati bidang muzik.


Bermula dengan jamming

Sebelum terlibat dalam bidang muzik, Al Farabi, bergerak dalam satu kumpulan produksi multimedia, To Create, yang diketuai Nazri sendiri.

Lebih membanggakan mereka mengendalikan kerja-kerja multimedia dan pembangunan sistem simulasi kapal terbang milik negara secara profesional.

Ilham ingin menubuhkan kumpulan muzik timbul apabila, mereka sering menyertai jamming secara suka-suka di studio syarikat itu.

"Pada mulanya, kami hanya suka-suka main muzik dan merakamkan aktiviti nyanyian dalam Internet. Tapi tak sangka pula, kami mendapat perhatian dan muzik kami digemari pelayar Internet," kata Nazri.

Lama-kelamaan, mereka semakin cenderung bermain muzik dan akhirnya membuat keputusan menubuhkan band Al Farabi sambil menguruskan syarikat.

“Saya tidak sangka juga beberapa kakitangan saya mempunyai bakat dalam bidang muzik. Daripada basic drum hinggalah ke seni vokal. Setelah berbincang dengan isteri, kami nekad membawa muzik nasyid dengan konsep rock.

“Alhamdulillah, sebelum hujung 2008, saya mendapat persetujuan Sameul dan Nasie. Ameerul pula mula melibatkan diri dalam Al Farabi setelah diperkenalkan adiknya, Sameul.

“Kini Al Farabi bergerak secara sambilan selain kami memberi tumpuan kepada tugas dalam syarikat,” katanya yang berbangga dengan komitmen yang diberikan semua ahli.


Tuah Evolusi

Al Farabi mula mencipta nama dengan lagu Evolusi, yang dimuat naik ke laman YouTube. Apabila lagu itu menerima sambutan menggalakkan daripada peminat, semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan.

Pada 2009, Al Farabi tampil dengan album EP (Extra Ordinary Preview) yang terdiri daripada lima lagu. Setahun kemudian, mereka muncul pula dengan album rasmi pertama, The Album, yang memuatkan 14 lagu.

“Semakin hari, kami semakin diterima. Buktinya, kami banyak menerima tawaran persembahan untuk karnival, majlis amal dan juga makan malam bersama badan-badan korporat.

“Al Farabi juga tidak pernah kering persembahan apabila kami turut memenuhi undangan rancangan televisyen seperti Al Hidayah, Al Kuliyyah, Haiwan Teladan dan beberapa lagi,” kata Nazri.

Dia juga bersyukur sehingga kini, lagu-lagu Al Farabi, sering berkumandang di corong-corong radio.

“Sebagai langkah promosi, Al Farabi menganjurkan Persembahan Live In Person di studio sendiri untuk peminat-peminat yang ingin mengenali dan melihat 'mini show' secara eksklusif bersama kami, tahun lalu.

“Pada tahun sama, kami dengan kerjasama Nasyeed.com menganjurkan dua program Battle of The Band dan ia nyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada band-band tempatan yang sedang menapak naik.

“Daripada kejayaan dua program yang dianjurkan itu, jelas bahawa Al Farabi berjaya bergerak dalam industri ini dengan imej sendiri,” katanya.


Konsert di negara jiran

Walaupun jadual mereka tidaklah sepadat band lain, namun Al Farabi masih punya agendanya tersendiri. Selepas terlibat dengan konsert, Dua Raksasa anjuran Netzah Production yang menampilkan Sweet Charity & Blues Gang pada 1 Oktober lalu, Al Farabi kini sibuk dengan pembikinan album baru.

“Album kedua kami berjudul, Radiasi 1,400 dan dijangkakan siap pada November ini.

“Album ini akan memuatkan sembilan lagu seperti Seruan Itu, Sunnatullah, Simfoni Evolusi, Inilah Dia, 313i, Mencari Kebenaran, Pahlawanku, Orang berjuang dan 3 Level Leaders,” kata Nazri.

Dalam pada itu, Nazri memberitahu, Al Farabi turut diberi kepercayaan oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Maznah Hamid untuk mencipta lagu bagi album Motivasi Rahsia 3K yang bakal digunakan dalam program motivasinya.

"Selain itu, kami juga merencana untuk mengadakan persembahan bersama tiga band antarabangsa pada hujung tahun ini. Kami ingin berkolaborasi dengan Kumpulan Debu (Indonesia) dan Kagan Tayanc (Turki) yang cukup popular di negara masing-masing.

"Seorang lagi artis luar negara masih dalam proses perbincangan. Insya-ALLAH konsert ini dijadualkan berlangsung di empat buah negara, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: