Sunday, October 9, 2011

Pencetus revolusi IT

pix_middle

KHAMIS lalu, seluruh dunia bersedih sebaik mendapat tahu pengasas Apple Computer, Steve Jobs, menghembuskan nafas terakhir selepas ‘tewas’ dalam pertarungan melawan kanser pankreas.

Daripada ahli politik, tokoh korporat - malah pesaing Apple - turut tampil memberikan penghormatan kepada si genius yang menjadi watak utama mengubah dunia teknologi itu.


Meninggalkan - antara lain - iPhone dan iPad sebagai legasinya, Jobs meninggal dunia ketika berusia 56 tahun di depan isteri dan anak-anaknya.

  • Foto

    GEMAR RAHSIA... Jobs lebih senang wajah isterinya, Laurene Powell dan anak-anaknya tidak diberikan publisiti.

  • Foto

    UZUR... Jobs terpaksa dibantu kawan di luar rumahnya pada 26 Ogos lalu.

  • Foto

    PESAING DAN RAKAN... Jobs (kiri) bersama pengasas Microsoft, Bill Gates, pada 1984.

Di pusat jualan Apple di seluruh dunia serta ibu pejabat syarikat itu, peminat berkerumun dan bersama-sama mengenang lelaki yang mereka anggap hero itu.


Penghargaan, dimulakan Presiden AS, Barack Obama, mula mencurah-curah masuk hanya beberapa minit selepas Apple mengesahkan kematian pereka cipta agung itu.


Laman sesawang rasmi Apple pula memaparkan imej Jobs dengan diiringi teks: “Steve Jobs 1955 - 2011”.

Apabila pelayar mengklik imej berkenaan, teks tambahan muncul dengan ayat: Apple kehilangan seorang genius yang kreatif dan berwawasan, manakala dunia kehilangan seorang manusia hebat.


“Sesiapa yang pernah bekerja dengan kami kehilangan seorang sahabat dan mentor yang banyak memberi inspirasi.” Jobs meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.

Menurut kenyataan saudara-maranya, Jobs ‘meninggal dengan tenang dikelilingi ahli keluarga’.


Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, mengumumkan kematian Jobs kepada kakitangan firma gergasi itu melalui e-mel: “Saya ada berita sedih untuk dikongsikan bersama anda. Steve meninggal dunia pagi ini.” Kata Cook, tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan mereka atas kematian Jobs.


“Kita akan mengenang Jobs dengan meneruskan kerja-kerja yang sangat digemarinya,” katanya.


Kesan berita kematian Jobs, saham Apple merosot 1.2 peratus kepada AS$373.73 (RM1,188.09) dalam dagangan awal pagi Khamis di AS.


Ucapan takziah Obama muncul hanya beberapa minit selepas kematian Jobs disahkan.


Melalui Twitter, Obama mencatat: “Berehat dengan aman, Steve Jobs. Daripada kami semua di #Obama2012, terima kasih atas jasa anda yang menjadikan setiap sesuatu tidak mustahil setiap hari.” Dalam kenyataan berikutnya, Obama berkata, Jobs seorang tokoh berwawasan dan ‘cukup berani mempercayai dia mampu mengubah dunia, dan dia cukup berbakat melakukannya’.


“Dunia kehilangan seorang tokoh berwawasan. Mungkin tiada penghargaan lebih besar untuk kejayaan Jobs selain hakikat bahawa dunia mengetahui kematiannya itu melalui pelbagai alat ciptaannya.


Kata Obama, Jobs gemar berkata, dia menjalani kehidupan seharian seolah- olah ia adalah hari terakhir dalam hidupnya.


“Justeru, dia mengubah hidup kita dan mencapai satu daripada kejayaan paling sukar dalam sejarah manusia. Jobs mengubah cara setiap seorang daripada kita melihat dunia,” katanya.


Sahabat Jobs yang sama-sama menubuhkan Apple pada 1976, Steve Wozniak, berkata dia akan merindui pencipta unggul itu sama seperti orang lain.


“Kita kehilangan seseorang yang tak mungkin diganti,” katanya.


Wozniak berkata, berdasarkan reaksi orang ramai yang menggemari produk diilhamkan Jobs, dia yakin rakannya itu memberi makna besar kepada seluruh dunia.


Bermula dengan sebuah garaj buruk di California utara, Apple berkembang pesat menjadi firma gergasi dunia dengan pelbagai ciptaan baru.


Apabila Jobs meninggalkan Apple selama 11 tahun akibat pertikaian mengenai hala tuju syarikat itu, keuntungan firma berkenaan merudum.


Jobs kembali kepada Apple menandakan permulaan fasa baru yang membolehkan syarikat itu menjadi antara paling besar dan amat berjaya di dunia.


Kematian Jobs terjadi hanya enam minggu selepas masalah kesihatan memaksanya melepaskan jawatan sebagai CEO Apple.


Pengganti Jobs, Tim Cook, baru saja memperkenalkan produk terbaru Apple sehari sebelum dia menghembus nafas terakhir di rumahnya.


Hakikat bahawa Apple tetap kukuh berkembang banyak disumbangkan teknik pemasaran Jobs yang inovatif - hampir sama seperti pelbagai alat yang dihasilkannya.


Walaupun mengumumkan mengambil cuti sakit selama dua tahun, Jobs masih memegang jawatan CEO, seperti pernah dilakukannya dua kali dalam tempoh tujuh tahun lalu.


Ketika itu, imej Jobs yang sempat dirakam kamera menunjukkan dia sukar berjalan serta lemah, mencetuskan gosip bahawa dia hanya ada beberapa minggu saja lagi untuk hidup.


Namun, Jobs gigih melawan penyakitnya dan berjaya membuktikan bahawa tanggapan orang lain terhadapnya salah.


Di sebalik khabar bahawa dia sakit tenat, Jobs memperkenalkan iPad generasi kedua, selain sempat bertemu Obama untuk membincangkan masa depan industri teknologi sedunia.


Selain kemunculan dirancang rapi untuk memperkenalkan produk terbaru Apple, Jobs sering merahsiakan kehidupan peribadinya.


Dia pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pankreas berbahaya pada 2004, selain melalui pemindahan hati pada 2009.


Sebagai CEO, Jobs menerima bayaran hanya AS$1 setahun, tetapi pada masa sama, dia menguasai 5.4 bilion saham Apple, selain 138 juta saham Disney.


Kekayaan Jobs dianggarkan bernilai lebih AS$5 bilion (RM15.9 bilion).


Lahir di San Francisco, Jobs diambil sebagai anak angkat oleh pasangan Paul dan Clara Jobs.


Jobs tersingkir daripada pengajian di universiti hanya selepas satu semester dan mengenali komputer sekadar mencari wang untuk melakukan pencarian spiritual ke India.


Dia menganut Buddha dan pernah mengambil dadah LSD dan menganggap pengalaman itu sebagai ‘satu daripada dua atau tiga perkara paling penting’ pernah dilakukannya dalam hidup.


Kembali ke California utara, Jobs mula bekerja untuk firma komputer Atari sebelum mengasaskan Apple di dalam garajnya bersama Wozniak, Ronald Wayne dan Mike Makkula.


Di Apple, Jobs pernah mewujudkan suasana kerja yang mesra, tetapi pada masa sama, dia menuntut hanya yang terbaik daripada kakitangannya.


Ketika pekerja Apple menganggap Jobs seperti seorang ‘wali’ pada masa sama, mereka juga sering diselubungi ketakutan kepadanya.


Khabar angin mendakwa, Jobs pernah memecat petugasnya ketika di dalam lif, selain mengetepikan pembantu selepas hanya tersilap memberikan dia air mineral yang berbeza daripada label dikehendaki.


Namun, tahap kepuasan bekerja di kalangan kakitangan Apple dikatakan berada di tahap tertinggi di dalam industri teknologi.


Jobs juga begitu tegas melindungi privasi dan menolak untuk ditemu bual, selain melindungi isteri dan anaknya daripada perhatian umum.


Malah, ketika melepaskan jawatan enam minggu lalu, Jobs hanya memberi sedikit bayangan bahawa ia berpunca daripada masalah kanser dialaminya.


Dalam surat peletakan jawatannya, Jobs menulis: “Saya sering berkata, jika tiba satu hari saya tidak lagi mampu memenuhi tugas dan harapan sebagai CEO Apple, saya menjadi orang pertama memaklumkannya. Malangnya, hari yang dimaksudkan itu telah tiba.” Sementara itu, penganalisis industri, Tim Bajarin, berkata Jobs hanya membenarkan dia ditemubual jika ia memberikan keuntungan kepada Apple.


“Anda tidak pernah melihat dia bercakap mengenai kehidupan peribadinya,” katanya.


Jobs mengahwini Laurene Powell dalam majlis ringkas di Taman Negara Yosemite pada 1991 dan menetap di Woodside, California.


Jobs dan Laurene dikurniakan tiga anak - Reed Paul, Erin Sienna dan Eve.


Dia mengaku mempunyai anak luar nikah ketika berusia 23 tahun hasil hubungan intim dengan kekasih zaman persekolahannya, Chris Ann Brennan. Anak mereka, Lisa Brennan Jobs, lahir pada 1978.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: