PERADA emas atau dalam bahasa Inggerisnya Goldleaf lazimnya digunakan untuk menyepuh perabot, barangan kemas malah dijadikan bahan hiasan makanan mewah seperti minuman, pencuci mulut dan manisan termasuk coklat dan manisan India, mithai.
Industri tekstil tradisional sejak dahulu lagi mengaplikasikan penggunaan perada emas untuk menambah nilai dan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.
Terkini, evolusi industri fabrik global memungkinkan potensi lebih besar bagi kategori kain kasual seperti kapas dan linen apabila ia turut disuntik elemen mewah itu.
Pemilik bersama butik Airis Aisha, Zalina Md Yusof berkata, perada emas merupakan habuan paling berharga bagi ‘pemburu kapas’ seperti dia dan rakan kongsinya, Razilawati Senin yang menjelajah ke segenap rantau Asia untuk mendapatkan koleksi fabrik berasaskan kapas terkini dan berkualiti tinggi.
Menurutnya, nyata kunjungan mereka ke Amritsar di utara India yang terletak 465 kilometer atau kira-kira lapan jam permanduan dari New Delhi baru-baru ini amat berbaloi apabila menemui koleksi kapas bersulam perada emas selain himpunan jenis-jenis kapas unik bernilai tinggi.
“Tidak ramai faham nilai dan kualiti tinggi fabrik kapas dari Amritsar ini sehinggalah anda membandingkannya dengan fabrik lain seumpamanya dari Vietnam atau China. Selain kapas perada emas yang tinggi nilai estetikanya, kami turut menemui jenis kapas ‘eyelet’, lengkap berjemeki dan manik selain kemasan bordir terkini dengan rona-rona tradisi yang unik dan luar biasa.
“Selain itu kami dimanjakan dengan kepelbagaian kapas bergaris, teknik tampalan dan motif kontemporari moden,” katanya kepada Mingguan mStar.
Airis Aisha merupakan perniagaan dalam talian yang khusus menawarkan fabrik berasaskan kapas yang diperoleh menerusi jaringan pembekal antarabangsa termasuk Pakistan, Dubai, Jepun dan Vietnam.
Ia turut menghasilkan rekaan eksklusif baju kurung, jubah dan blaus kapas yang menarik untuk dewasa dan kanak-kanak.
Selain boleh dikunjungi di butiknya di Jalan Tun Mohd Fuad 1, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, koleksi eksklusif Airis Aisha turut menjadi pilihan beberapa buah butik sekitar kawasan berkenaan.
Untuk maklumat lanjut, layari http://airisaishacollection.blogspot.com/ atau www.facebook.com/AirisAishaCollection.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: