HIKAYAT cinta mereka mungkin tidak sehebat Shah Jehan dan Mumtaz, apabila sebuah mahligai indah dibina demi bukti sebuah kasih abadi. Mereka juga bukanlah seperti Romeo dan Juliet yang tergamak meneguk racun atas nama cinta sejati.
"Sebagai pengurus kumpulan MUH, saya sering melihat sesuatu perkara itu dari sudut perniagaan. Manakala Taja pula lebih mengutamakan karya seni mereka dan tidak akan berkompromi dalam hal sebegitu. Apabila berlaku pertembungan idea, kami masing-masing akan cuba mempertahankan pandangan dan pendapat kami sendiri.
"Sudahnya, daripada berbincang akhirnya bertukar menjadi pertengkaran. Memandangkan kedua-duanya panas baran, jadi tak ada sesiapa pun yang mengalah. Lazimnya, yang akan menjadi orang tengah dan juga penyampai mesej ialah pemain bes kami, Gfat," dedah Kimmy ketika ditemui selepas majlis resepsi perkahwinan mereka yang diadakan di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, kelmarin.
Pelayaran cinta mereka tidaklah semudah yang disangka. Bukan kerana soal cemburu, cuma kata Kimmy, perasaan skeptikal pelbagai pihak terutama selepas mengetahui dia dan Taja adalah pasangan kekasih membuatkan perasaannya terguris dan kecewa.
"Selama setahun percintaan kami, segala-galanya berjalan dengan lancar. Tapi selepas tempoh itu, saya akui saya makan hati. Bukannya disebabkan perasaan cemburu dengan peminat wanita kumpulan MUH, tetapi saya terkilan dengan sikap sesetengah pihak termasuk anggota kumpulan MUH yang mula memandang serong apabila mengetahui kami bercinta.
"Mereka beranggapan sebagai kekasih merangkap pengurus MUH, saya akan melebihkan Taja daripada pelbagai segi seperti pakaian untuk persembahan dan sebagainya. Namun lama kelamaan, barulah mereka memahami," ujarnya.
Sewaktu sahabat baiknya memberi ucapan pada malam resepsinya itu, manik-manik jernih kelihatan berguguran di pipi gadis berusia 28 tahun ni. Ketika ditanya apa yang membuatnya sebak, Kimmy berkata, segala rangkuman mengenai suka-duka serta jatuh bangunnya percintaan mereka yang diselitkan dalam ucapan sahabatnya itu cukup menyentuh hatinya.
"Seperti yang saya katakan tadi, bukan mudah untuk kami melayari cinta ini. Alhamdulillah, selepas empat tahun bercinta dan melalui segala peristiwa pahit manis, akhirnya kami berjaya juga disatukan sebagai pasangan suami isteri," ujar Kimmy sambil memandang Taja di sebelahnya.
Kimmy sah bergelar isteri Taja hanya dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di kediaman isterinya itu di Taman Tun Dr Ismail, di ibu negara, Sabtu lalu.
Pasangan mempelai itu dinikahkan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Azubir Razali.
Pada majlis itu, Kimmy turut menerima mas kahwin berupa seutas rantai emas dan sembilan dulang hantaran termasuk wang hantaran RM10,000, kamera digital, set alat solek, haruman, iPad2, cincin berlian, al-Quran, buah-buahan, coklat dan beg tangan.
Pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada set permainan PS3, kamera DSLR, haruman, al-Quran, jam tangan dan sirih junjung.
Ditanya ke manakah destinasi bulan madu yang akan mereka tuju, Taja berkata, dia akan membawa isterinya berbulan madu di pulau peranginan dalam Malaysia dalam masa terdekat sebelum dijangka ke Bali, Indonesia, Februari depan, untuk menyaksikan konsert U2.
Mengenai cahaya mata pula, kedua-dua pasangan ini sepakat untuk mendapatkan anak secepat mungkin.
"Dengan usia sebegini, kalau boleh biarlah kami mendapat cahaya mata secepat mungkin. Lelaki atau perempuan, kami tak kisah. Kalau boleh saya mahu 12 orang anak," ujar Taja seraya mengusik isterinya itu.
Cipta lagu khas untuk isteri
SEWAKTU majlis resepsi berlangsung, tetamu yang hadir dipertontonkan dengan sebuah klip video di sebalik tabir majlis perkahwinan mereka. Klip video yang memakan masa hampir 10 minit itu turut dilatari sebuah lagu yang berjudul Dikau Rembulan.
Mengulas pembikinan lagu itu, Taja berkata, ia memang dicipta khas untuk isterinya sempena hari bersejarah mereka.
"Kimmy mempunyai satu sifat iaitu kalau dia tak suka sesuatu hadiah itu, walau macam mana mahal sekali pun, dia akan buat tak tahu saja. Disebabkan itulah saya ciptakan lagu Dikau Rembulan ini untuknya kerana saya tahu dia suka lagu," katanya yang mencipta lagu itu seminggu sebelum mereka diijabkabulkan.
Mengulas lirik lagu berkenaan, Taja memberitahu, ia dihasilkan berdasarkan kata-kata yang pernah diucapkan isterinya itu sewaktu mereka sedang berpacaran.
"Kimmy selalu bertanyakan saya sebesar manakah cinta saya padanya, dan saya menjadikan bulan sebagai metafora. Orang perempuan kan suka dengan kata-kata romantis seperti itu. Jadi saya abadikan perkataan cinta saya sebesar bulan itu dalam bait-bait lirik lagu ini," jelasnya.
Sementara itu, ketika kali pertama mendengar lagu itu, Kimmy mengakui begitu teruja dengan hasil sentuhan suami kesayangannya.
"Saya dengar lagu itupun secara tak sengaja. Waktu itu saya berkunjung ke studionya untuk menyelesaikan beberapa perkara. Selepas mendengar lagu asalnya yang dirakamkan dengan suara chipmunk, saya dapati lagu itu memang sedap dan saya amat menyukainya," katanya yang tidak menolak untuk mengkomersialkan lagu yang dinyanyikan sendiri oleh Taja itu.
Pada malam itu tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan Tilu. Antara rakan artis yang turut memeriahkan acara itu ialah anggota kumpulan MUH, Nanu, Ezlynn, Farah Asyikin, Black, Along Cham dan Zila.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: