AGAK mencabar untuk merangka konsep dekorasi bagi sebuah kondominium berkeluasan kira-kira 106 meter persegi.
Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan tema mewah dengan sentuhan keanggunan tanpa terlalu sarat dengan hiasan dan perabot berona emas atau tembaga.
Bagaimanapun kesepakatan dan persamaan citarasa antara pasangan suami isteri pemilik kondominium mewah di Casa Damansara 2, Petaling Jaya, Saraswati Shirke dan Raschpal Deo berjaya menghidupkan konsep mewah sambil mengekalkan kesederhanaan dalam penataan ruang.
“Saya sangat beruntung kerana kami berdua mempunyai ‘gelombang’ sama apabila memilih konsep dekorasi termasuk dalam aspek pemilihan perabot dan barangan perhiasan serta tema warna.
“Walaupun ada beberapa benda yang terpaksa disimpan atau diberi kepada rakan-rakan dan keluarga sebagai hadiah tetapi secara keseluruhannya saya mampu mengawal keinginan untuk membawa pulang lebih banyak barangan dan perabot bernilai kesenian tinggi dari India,” kata perunding guaman, Saraswati, 35, kepada Mingguan mStar.
Sekembalinya mereka ke tanah air setelah menetap hampir lima tahun di Delhi, India atas urusan perniagaan dan tuntutan kerjaya, kedua-duanya membawa pulang bukan sekadar kenangan manis dan jaringan perniagaan antarabangsa malah keindahan budaya etnik dan seni warisan negara nenek moyang mereka itu.
Sebahagian besar koleksi perabot seperti set sofa panjang ala cleopatra, kabinet televisyen, rak hiasan dan meja hiasan yang menjadi tarikan ruang santai di kediaman tiga bilik itu dibeli dari pelbagai destinasi termasuk Kashmir, Srinagar, Rajasthan, Jaipur dan Agra.
“Kami sedikit terkilan kerana meja makan marmar bulat yang ditempah khas pecah apabila sampai di sini. Tetapi kami bernasib baik kerana barangan lain yang dibawa pulang dengan kapal tiba dengan selamat,” katanya sambil memberitahu, mereka membelanjakan kurang RM10,000 untuk kesemua hiasan seperti pemegang lilin marmar, kotak hiasan kayu jati dan cendana, sitar, pasu bersadur perada emas selain set-set perabot.
Saraswati dan suami yang memiliki kediaman di Delhi juga berkesempatan menemui koloni artisan di Pahalgam, kelompok seni terdiri daripada para pengukir dan tukang kayu berkemahiran tinggi menerima tempahan perabot diperbuat 100 peratus menggunakan tangan.
Selain menempah khas set perabot kayu jati yang siap ditempah dalam tempoh seminggu, satu lagi tarikan istimewa yang menghidupkan kesederhanaan penataan dekorasi kediaman tersebut adalah meja hiasan berukir halus diperbuat daripada kayu walnut.
Ditempah khas sewaktu mengunjungi Kashmir, meja setinggi kira-kira satu meter itu cukup mengagumkan kerana memaparkan ketelitian seni ukiran halus oleh pengukir handalan dengan kepadatan motif dedaun ‘chinar’ (mapel) sehinggalah ke hujung kaki meja.
Di tengah-tengahnya, bentuk daun teratai menjadi inspirasi hiasan utama, mengingatkan pengunjung Kashmir tentang keindahan wilayah berkenaan yang terkenal dengan banyak kolam indah dihiasi bunga teratai.
Menariknya, agama Islam yang menjadi pegangan majoriti masyarakat di Kashmir juga tergambar jelas apabila kebanyakan motif rekaan hanya berkonsepkan tumbuh-tumbuhan tanpa banyak pilihan motif haiwan, kecuali ikan hiasan.
“Sebagai pemain sitar juga, tidak cocok rasanya jika tidak membawa pulang sitar buatan tangan sebagai kenang-kenangan dan ia menjadi pelengkap ‘zen’ ruang utama yang menjadi tempat kami bersantai dan menonton televisyen,” ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: