Monday, October 24, 2011

Penamat kontroversi Johan dan Izreen

Dua pelakon ini sama-sama melonjak menerusi drama Juvana. Tidak hanya drama itu mendapat sambutan hangat, malah nama kedua-duanya terus meniti di bibir peminat kerana bakat dan kesungguhan mereka dalam melayari bahtera sebagai insan seni.

Mendaki anak tangga sebagai pelakon, mereka berjaya meletakkan diri sebagai pelakon baru yang berbakat besar. Tawaran demi tawaran diraih, dan tanpa mereka sedari mereka sudah berada di satu platform begitu selesa. Itulah kelebihan yang dimiliki Johan Asa'ari dan juga Izreen Azminda.

Bagaimanapun, mungkin kerana terlalu ghairah dalam bidang ini, menyebabkan kedua-duanya hampir jatuh dek kesilapan dan kelemahan sendiri.

Namun, tidak hanya bakat mereka menjadi perhatian, malah kisah peribadi mereka turut menjadi bualan hangat. Semuanya bermula dengan kenyataan awal Izreen menerusi sebuah akhbar mingguan pada awal bulan ini, yang berkecil hati dengan sikap Johan yang dilihat semakin lupa diri. Tidak hanya itu, Izreen turut mengakui sikap dan perubahan itu menjejaskan hubungan baik mereka berdua.

Hampir sebulan, kisah mereka menjadi tatapan pembaca. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi, apa sahaja aktiviti yang sentiasa dikemas kini di laman sosial milik mereka, mahupun ada peminat yang prihatin terhadap mereka.

Natijahnya, wujud perasaan cemburu dan akhirnya membuka rahsia peribadi. Izreen yang sebelum ini begitu lantang menunjukkan bukti hubungan mereka lebih dari sekadar kawan baik telah dikecam hebat di beberapa laman blog.

Izreen dikatakan tidak dapat menerima tindakan Johan yang sentiasa mengemas kini akaun Twitternya dengan memuat naik gambar bersama heroinnya Fasha Sandha dengan tujuan mempromosikan drama Cinta Ellysa.

Malah, Izreen juga dianggap sebagai cemburu tidak bertempat, sedangkan antara dia dan Johan tiada apa-apa hubungan istimewa.

Namun menurut Izreen, apa yang dilakukannya adalah wajar memandangkan sebelum ini dia dan Johan tidak hanya sekadar kawan biasa. Berikutan itu, Izreen tampil memberi penjelasan untuk tidak lagi dipersalahkan.

Bertemu media dalam majlis ramah mesra bersama calon-calon Anugerah Skrin 2011 kelmarin, Izreen menunjukkan bukti sebuah rakaman video yang dirakam Johan menyatakan kasih dan cintanya terhadap Izreen. Pasangan ini juga dikatakan hampir bertunang.

Namun, sikap Johan tidak mengakui perkara itu merumitkan keadaan dan akhirnya Izreen menjadi mangsa tohmahan segelintir masyarakat yang kini memandang serong terhadapnya.


Nilailah sendiri: Izreen

Bagi pelakon drama Keimanan Cinta ini, apa yang berlaku sudah terlalu menggores hatinya. Tidak mahu memanjangkan perkara itu, Izreen berharap agar Johan mengakui perkara itu sebagaimana janjinya sebelum ini.

"Tindakan saya ini hanya ingin menjelaskan perkara sebenar. Mungkin ada orang luar yang tidak mengetahui kisah sebenar, tetapi ia penting kerana saya tidak mahu terus dicemuh kerana bukan salah saya.

"Nilailah sendiri video itu. Adakah saya menipu atau siapa yang tipu sebenarnya? Bagi saya, cukuplah sampai di sini. Saya harap perkara ini berhenti di sini," katanya kepada Zass.

Ditanya mengenai kesahihan hubungan antara dia dan Johan, Izreen mengakui sebelum ini dia dan Johan pernah berbincang mengenai hubungan mereka hingga ke satu tahap untuk bertunang.

"Hubungan kami bukan sekadar kawan biasa, tapi kami sangat rapat. Dia juga sudah bertemu keluarga saya. Bahkan, dia pernah berbincang untuk lebih serius dengan saya dan kami hampir bertunang.

"Jika hanya kawan rapat, buat apa perlu bercerita hingga kepada perkara sebegitu. Walaupun saya tidak percaya pada awalnya, tetapi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kata-kata dia menunjukkan dia benar-benar serius dengan saya. Sekarang, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Saya terkejut dan kerana itu saya tidak boleh duduk diam sahaja. Saya rasa dipermainkan," katanya yang mengakui mula rapat dengan Johan sejak Mei lalu.

Mengakui drama Juvana adalah permulaan perkenalan mereka, Izreen berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah pengalaman pahit buatnya. Namun, sebagai manusia biasa, Izreen mengakui antara mereka berdua ada membuat kesalahan.


Tiada orang ketiga, boleh kerjasama

Satu persatu perkara terbongkar mengenai hubungan mereka hingga mencetuskan 'perang senyap' antara kedua-dua pelakon ini. Saat ditanya mengenai orang ketiga yang hadir dalam hidup Johan menyebabkan perkara ini semakin rumit, Izreen menafikan perkara tersebut.

"Saya berkawan baik dengan Fasha. Dia bukanlah punca perkara ini berlaku. Apa yang berlaku adalah berpunca daripada dirinya sendiri. Saya mohon tiada pihak yang menganggap Fasha sebagai orang ketiga.

"Perkara ini tidak melibatkan orang lain, sebaliknya hanya kami berdua sahaja. Setelah apa yang berlaku, saya penat untuk menempuhinya lagi dan berharap sangat isu ini berakhir di sini," katanya lagi.

Ditanya mengenai kesediaan Izreen sekiranya menerima tawaran untuk digandingkan bersama Johan, Izreen mengakui tidak punya sebarang masalah.

"Saya tidak ada masalah jika kami ditawarkan dalam satu drama yang sama. Bagi saya kerja adalah kerja. Saya tidak akan mencampuradukkan masalah peribadi ketika bekerja. Kalau ada tawaran begitu, saya tidak akan menolak.

"Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja kerana selama saya dalam bidang ini, saya belajar banyak perkara. Pengalaman yang saya kutip itulah saya gunakan dalam setiap kerja saya.

"Insya-ALLAH perkara ini tidak akan sesekali timbul dalam kerja saya. Inilah punca rezeki saya. Saya akan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja," katanya.


Ini hanya remeh-temeh: Johan

Tidak hanya mahu mendengar cerita sebelah pihak, Zass mendapatkan Johan yang hadir pada majlis sama. Johan sudah menduga isu ini akan ditanyakan kepadanya, namun dia seakan tidak mahu memberi kerjasama pada awalnya. Setiap soalan dijawab dengan jawapan lain dan akhirnya mengakui tidak mahu berbicara mengenai hal itu lagi.

"Ini hal remeh-temeh. Saya tak tahu apa masalah sebenarnya cuma berharap perkara ini dapat dihentikan di sini. Mungkin hari ini (semalam) adalah masa saya menjawab segala masalah ini dan tidak mahu lagi berbicara mengenainya.

"Banyak perkara yang perlu saya ambil berat. Saya sudah menerima beberapa tawaran berlakon, jadi jika perkara ini mengganggu emosi saya, bagaimana saya nak beri yang terbaik.

"Niat asal saya hanya untuk memeriahkan industri dan menunjukkan bakat seni yang saya ada. Saya tidak mahu mengekar kontroversi jauh sekali publisiti seperti ini. Saya mahu orang melihat bakat saya sebagai pelakon," katanya.

Disogok dengan pertanyaan mengenai video yang dimaksudkan Izreen, Johan hanya menjawab tidak tahu mengenai video tersebut.

"Saya tidak tahu video mana yang dimaksudkan. Seperti yang saya katakan, perkara remeh begini hanya memenatkan saya. Saya harap sangat isu ini tidak dibesarkan lagi. Jika benarlah ada video itu, biarlah, saya malas nak ulas," katanya yang kini popular dengan drama Cinta Elysa.


Baik dengan semua orang

Berbicara mengenai gambar-gambarnya yang dimuat naik sebagai promosi untuk drama Cinta Elysa sehingga mencetuskan ketegangan hubungannya dengan Izreen, Johan tidak menganggap perbuatan itu salah.

"Di mana salahnya saya memuat naik gambar itu? Itu adalah tujuan promosi sahaja. Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai pelakon yang berharap lakonan saya ditonton masyarakat.

"Jika dengan gambar itu mencetuskan ketegangan, saya tak tahu mengapa. Apa salah saya," katanya.

Johan juga menafikan hubungan baiknya dengan Fasha menyebabkan hubungan cintanya bersama Izreen retak.

"Saya dan Izree berkawan rapat kerana dia adalah teman artis wanita pertama saya. Namun, kami belum ke tahap bercinta lagi. Bagi saya cinta itu terlalu agung. Sepanjang tempoh saya mengenalinya, belum ada perasaan cinta antara kami. Saya mengaku rapat tetapi tidak sampai bercinta.

"Sebab itu saya pelik dan kerana ini juga saya rasa tidak mahu mengulas panjang. Saya juga sudah mendapatkan pandangan keluarga saya mengenai hal ini. Mereka lebih suka saya mendiamkan diri. Saya juga lebih suka bercerita mengenai hal kerja berbanding peribadi.

"Saya memang baik dengan semua orang. Bagi saya, semua kenalan adalah istimewa, sama seperti Izreen dan terbaru Fasha Sandha heroin saya. Saya sayang kedua-duanya sebagai sahabat saya yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai dunia lakonan.

"Saya juga sayang Izreen melebihi Fasha kerana kami memang rapat dan selalu berbincang mengenai skrip. Tetapi sekali lagi saya tegaskan kami belum sampai ke tahap bercinta. Saya sangat hairan dan keliru," katanya.


Cukup sampai di sini

Pengakhiran yang boleh dikatakan tragis apabila masing-masing tidak mahu mengalah dan sering dilihat menyalahkan antara satu sama lain. Namun, dalam pertemuan bersama kelmarin, mereka berdua akhirnya mengaku mahu menutup kisah itu dan membuka buku baru sebagai seorang pelakon. Tersedar kisah itu tidak membawa apa-apa makna terhadap mereka, Johan mahupun Izreen nekad membuka langkah baru.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Satu saja saya nak tekankan, saya tidak tergamak untuk malukan orang. Cukuplah... saya benar-benar berharap isu ini tamat di sini. Saya masih baru dan perlukan pendedahan mengenai dunia lakonan, bukan kontroversi seperti ini.

"Saya tak pernah terfikir akan terjebak dalam kontroversi seperti ini. Tapi, saya tidak lari malah cuba selesaikan. Kalau boleh biarlah ini yang pertama dan terakhir dalam hidup saya," katanya.

Bagi Johan, perjalanan dalam dunia seni masih jauh dan dia mahu membuktikan dirinya mampu menjadi pelakon pelapis terbaik.

Johan yang bakal terlibat dengan beberapa drama dan filem berasa gembira apabila diberi kepercayaan berada di samping nama-nama hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Dira Abu Zahar, Fasha Sandha dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: