Maxis Broadband Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd memeterai perjanjian dalam perkongsian rangkaian akses radio (RAN) 3G, menjadikan usaha sama perjanjian perkongsian RAN3G aktif yang pertama dilaksanakan di Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata, perjanjian itu adalah bagi tempoh permulaan selama 10 tahun, meliputi perkongsian teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE) apabila spektrum itu tersedia dan teknologi ditawarkan, yang memberi manfaat yang lebih baik kepada pelanggan.
Usaha sama itu adalah satu lagi kejayaan dalam industri telekomunikasi di Malaysia, memandangkan ia berkongsi sistem telekomunikasi aktif dan spektrum frekuensi operasi dan melepasi perkongsian infrastruktur fizikal (pasif), yang sudah lama digunakan oleh operator industri.
Usaha sama itu juga akan memberikan Maxis sumber perolehan baru dan meningkatkan penggunaan rangkaiannya dalam bidang yang kurang digunakan ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, perkongsian aktif itu menyumbang kepada penjimatan kos yang meningkatkan perolehan langsung kedua-dua syarikat.
“Sebagai penyokong perkongsian rangkaian yang kukuh, ia akan menyumbang kepada inisiatif pengurangan kesan karbon sedia ada. Setakat ini, lebih 54 peratus tapak stesen asas kami dikongsi dengan operator lain,” katanya.
Beliau berkata, usaha sama itu akan meningkatkan penebusan jalur lebar dalam negara, sekali gus membuka ruang untuk merealisasikan aspirasi Digital Malaysia.
Perjanjian itu membolehkan U Mobile meningkatkan kelajuan rangkaian 3Gnya sebanyak empat hingga lima kali dan pada masa sama menyumbang kepada penjimatan kos menerusi perkongsian itu.
Lokasi perkongsian tidak termasuk pusat pasaran bandar seperti Lembah Klang, Pulau Pidang, Johor Bahru dan Ipoh.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Dr Kaizad Heerjee berkata, usaha sama itu juga akan meningkatkan peluasan kesan 3G U Mobile kepada lebih 4,000 tapak 3G di Malaysia menjelang awal 2013.
“Penjimatan besar hasil perjanjian itu akan membolehkan U Mobile memperkenal lebih banyak produk dan inovasi perkhidmatan untuk pelanggan kami, sekali gus membantu dalam inisiatif kerajaan ‘Jalur lebar untuk semua,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: