
PZD yang kini sedang dalam pembikinan, menjadi rebutan banyak stesen TV berikutan kejayaan Upin & Ipin menjadi fenomena dalam siri animasi di rantau ini sejak tiga tahun lalu.
Pengarahnya, Mohd Shafiq Mohd Isa tidak menafikan jalan cerita kisah-kisah haiwan yang dipaparkan dalam siri animasi itu umumnya sudah diketahui ramai kerana ia telah diceritakan secara turun temurun.
Menurutnya, kisah penglipur lara dalam PZD dipelbagaikan dengan idea baru yang sarat dengan mesej untuk diserapkan kepada penonton, terutamanya golongan kanak-kanak.
“Empat kisah penglipur lara melibatkan sang kancil diambil secara dasar daripada latar cerita asalnya saja. Kemudian penceritaannya diolah semula seperti dialog dan mesej. Kami juga lakukan beberapa perubahan untuk menjadikan cerita ini lebih menarik.
“Watak-watak haiwan seperti buaya, kancil, kerbau dan monyet yang popular dalam ceritaa penglipur lara dipilih bagi menarik golongan kanak-kanak. Dalam masa sama, kami gunakan pendekatan sendiri dengan menyuntik nafas baru yang penuh dengan nilai pengajaran.
“Bagi membezakannya dengan Upin & Ipin, PZD menampilkan tiga watak utama iaitu Aki, Ara dan Aris. Kami yakin siri animasi ini mampu menarik perhatian penonton yang lebih sukakan suasana desa,” katanya ketika ditemui di studio LCPSB, baru-baru ini.
Proses penggambaran animasi PZD akan mula bersiaran pada 27 November ini di saluran Al Hijrah. Sebagai permulaan, 12 episod (mingguan) akan ditayangkan terlebih dahulu dengan durasi selama tujuh minit bermula 3 Disember, jam 8.30 malam.
“Selepas enam bulan siarannya, PZD akan ditayangkan pula di saluran Astro Ceria dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama serta menggunakan sepenuhnya suara latar pelakon baru,” katanya yang merancang membawa PZD ke luar negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: