Wednesday, October 5, 2011

Penaklukan 2 Raksasa


RAMLI SARIP berjaya merealisasikan kegemilangan Konsert 2 Raksasa.


MALAM Sabtu lalu, di dada langit metropolitan Kuala Lumpur hampir tiada bintang. Namun jauh di tengah Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, di atas pentas, cahaya gemerlapan sudah cukup membuat seluruh isi stadium terang-benderang.

Ia juga bukan cahaya biasa-biasa, tetapi ia merupakan pancaran ‘sinaran’ dari 'dua butir bintang' terkenal tanah air, Sweet Charity dan Blues Gang.

Mereka sedang berkongsi pentas mengisi dahaga dan membangkit nostalgia 27 tahun lampau - melagukan untaian lagu malar segar mereka dalam konsert yang dinamakan Konsert 2 Raksasa.

Benar, saya tidak lahir dalam era kegemilangan dua buah band yang mengusung nuansa rock n roll dan blues ini. Lebih parah waktu album perdana Blues Gang yang dilahirkan pada tahun 1979, Any Time Any Day dan kelahiran album sulung Sweet Charity dengan menggunakan nama grup yang ditubuhkan pada tahun 1977 iaitu pada tahun 1979, saya belum wujud di dunia ini.

Lantas untuk mengaku diri sebagai penggemar tegar mereka adalah satu pembohongan besar, kecuali sama seperti kebanyakan orang seusia saya, lagu seperti Mak Siti, Khatulistiwa, Oh Mama Saya Mahu Kahwin atau Apo Nak Dikato milik Blues Gang dan Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah serta Batu dan Zakia juga Datang dan Pergi dari Sweet Charity adalah antara lagu hit mereka yang diketahui.

Justeru, apabila berpeluang menjadi salah seorang saksi generasi kini yang menonton konsert dua band yang memang begitu akrab dalam perjuangan seni mereka itu adalah satu momen yang mengujakan.


ITO masih berbisa degan gaya uniknya setiap kali menyanyi.


Sementelah, stadium pada malam itu dibanjiri lebih 8,000 penonton, yang hampir 90 peratus daripadanya adalah golongan pak cik-mak cik yang satu ketika dahulu menjadikan untaian karya dua band ini sebagai pengisi hiburan hati.

Tepat pukul 9 malam, Blues Gang yang cukup terkenal dengan nuansa tersendiri mereka, blues, menebarkan ‘haruman’ itu dengan persembahan yang tampak cukup menyeronokkan.

Setiap anggota band itu yang diketuai vokalisnya yang juga bermain harmonika Ito Mohd., Julian Mokhtar (gitar), Ghani Datuk Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Jim Madasamy (bass/vokal) dan Shaik Karim (drum/vokal) begitu bersemangat dalam kembali mengimarahkan muzik mereka di atas pentas berskala konsert selepas sekian lama bubar dan bermain di kelab-kelab malam.

Selama lebih sejam, mereka menghiburkan peminat dengan hit-hit seperti Malaya Blues, Jumpo Kawan Lamo, Sakit, Sakit, Sakit, Ku Tetap Menanti, Damai dan Cinta oh Cinta yang mengembalikan nostalgia tersendiri kepada setiap yang hadir.

Malah untuk lagu-lagu seperti Oh Mama Saya Mahu Kahwin, Mak Siti dan tentulah Apo Nak Di kato, band yang mempunyai lapan buah album studio ini telah mengundang seisi stadium untuk berdendang dengan mereka.

Sementara pada lagu Khatulistiwa pula, Ito sempat menukar liriknya kepada 'oh orang kita, 1Malaysia' yang mendapat tepukan gemuruh daripada khalayak.

Usai Blues Gang meninggalkan pentas, Sweet Charity dengan figura yang cukup ikonik, Ramli Sarip tidak menunggu lama untuk membawa seisi stadium larut dengan hipnosis mereka.

Di atas pentas, tanpa perlu pengenalan, cukup dengan dentuman muzik yang padu berserta pencahayaan yang menarik, Ramli bersama ‘pasukannya’, ‘berpesta’ dengan peminatnya seluruh stadium dengan 22 buah lagu tanpa henti!

Dibuka dengan Sejuta Wajah, vokal serak basah Ramli sudah cukup membuat seluruh stadium bergema dengan sorakan dan iringan nyanyian.

Ia kemudian diikuti dengan lagu Kawan Ketawa Kawan Menangis serta lagu-lagu hit seperti Rock & Roll, Ribut, Tahun 2000, Penunggu, Terharu, Jangan Tunggu Lama-lama, Musibah, Batu dan Datang dan Pergi.


SAMBUTAN hangat daripada lebih 8,000 penonton menjadikan suasana persembahan konsert bertambah mengujakan.


Adalah satu kesalahan besar seandainya Sweet Charity tidak mendendangkan rangkaian hit mereka yang cukup luar biasa indah, Kamelia dan Teratai.

Bagaimanapun sebelum menghadiahkan dua hit tersebut secara langsung dengan permainan yang begitu impresif, Sweet Charity terlebih dahulu mendera peminatnya dengan meletakkan dua lagu berhantu tersebut di penghujung persembahan.

Hasilnya, ia telah menjadi encore atau penutup konsert yang begitu mengesankan.

Biar usia setiap anggota band tidak lagi muda, Blues Gang dan Sweet Charity tampil bersahaja dan menampakkan kematangan mereka menyembunyikan kelemahan masing-masing kerana faktor usia.

Lebih menarik apabila persembahan pada malam itu tidak pincang dan mereka berada dalam piawaian cemerlang untuk band otai yang sudah jarang benar untuk dilihat dalam sebuah konsert berskala besar.

Sesuatu yang terkesan juga adalah tentang lirik-lirik di dalam karya mereka. Ia bukan untaian kosong atau bercerita tentang soal picisan hati, tetapi menyentuh tentang sosial dan budaya yang setakat ini tidak banyak diambil berat oleh band-band generasi baharu yang lebih mementingkan soal kemajuan muzik sahaja.

Ternyata penangguhan konsert yang sepatutnya berlangsung pada 9 Julai lalu dan dibawa ke tarih 1 Oktober yang baru meninggalkan kita kurang seminggu adalah penangguhan yang berbaloi.

Konsert 2 Raksasa yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn. Bhd. itu sukses dan tiada tolak bandingnya.

Ia juga membuktikan kenyataan Ramli sebelum ini yang berbunyi: “Konsert ini tidak mungkin bosan kerana pengalaman 40 tahun kami dalam bermuzik.”

Ternyata, orang lama memang ada gaya dan aura yang tidak akan mati begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: