Wednesday, October 5, 2011

Ekin dikuarantin tiga bulan

PASANGAN bahagia Mawi dan Ekin berharap agar kandungan Ekin selamat sehingga ia dilahirkan kelak.


TIADA momen paling menggembirakan buat juara program realiti Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani dan isteri yang dinikahinya pada 20 Disember 2008, Nor'ashikin Rahmat atau Ekin apabila mereka kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata sulung.

Senyuman bahagia sentiasa meleret di bibir kedua-dua mereka ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Astro di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ramai yang menyapa wajah Ekin makin berseri dan badannya sedikit berisi.

Tidak kurang juga ada rakan-rakan artis yang tidak lokek memberikan petua buat Ekin supaya dia melalui kehamilan kali ini dengan selamat dan tenang.

Baik Mawi mahupun Ekin, kedua-dua mereka enggan terlalu kecoh mengenai kehamilan kali ketiga ini selepas melalui pengalaman keguguran kandungan sebanyak dua kali sebelum ini.

Justeru, bagi memastikan kesihatan Ekin dan kandungannya, Ekin telah dihantar untuk menetap bersama ibunya di Johor selama tiga bulan untuk dikuarantin sehingga kandungannya benar-benar kuat.

“Saya sudah ada dua pengalaman keguguran, jadi bila dapat tahu mengandung kali ketiga, bukan saya sahaja tetapi seluruh keluarga mengambil langkah berjaga-jaga. Saya tinggal bersama ibu di kampung selama tiga bulan kerana waktu itu kandungan masih belum kuat.

“Ibu saya juga tidak mahu ambil risiko, jika kandungan sebelum ini, saya jaga diri saya sendiri, ibu hanya datang pada hujung minggu sahaja.

“Namun kali ini, dia benar-benar jaga saya dan pastikan saya benar-benar sihat, sebelum raya baru saya kembali ke rumah di Bangi, Selangor dan ibu saya turut ikut tinggal bersama saya buat sementara waktu. Dia akan menjaga saya sehingga saya selamat bersalin,” kata Ekin yang memberitahu Mawi berualang-alik setiap minggu antara Kuala Lumpur dan Johor sepanjang tempoh kurantin oleh ibunya itu.

Dua kali keguguran sebelum kandungan belum pun mencecah dua bulan, secara tidak langsung membuatkan Mawi dan Ekin fobia kerana bimbang perkara yang sama akan berulang. Kini, kandungannya sudah mencecah usia empat bulan dua minggu.

“Syukur, setakat hari ini semuanya sihat, harap-harap semuanya berjalan lancar sehingga saya bersalin kelak. Walaupun usia kandungan saya sudah boleh dikatakan memasuki fasa yang kuat, saya masih diberi layanan istimewa.

“Saya tidak melakukan sebarang kerja. Kerja saya hanya makan dan tidur, selebihnya Mawi dan pembantu rumah yang uruskan. Dia memang tidak bagi saya buat kerja atau banyak berjalan, kadang-kala saya terlupa yang saya mengandung, dia yang ingatkan saya supaya jangan terlalu aktif,” tutur Ekin yang mengakui seronok apabila mendapat layanan istimewa.

Cerita Ekin lagi sambil Mawi setia duduk di sebelahnya, meskipun dia tidak mengalami sebarang alahan mahupun mengidam sebarang makanan istimewa, Mawi masih melayankan segala permintaannya tanpa banyak soal.

“Saya tidak ada mengidam, alahan pun tidak ada, perkara yang berubah adalah saya makan dua kali ganda, jadi berat badan pun bertambah.

“Orang kata kalau isteri tidak mengalami alahan, suami yang akan jadi galang gantinya, tetapi setakat ini Mawi juga makan dan kesihatannya juga seperti biasa.

“Sebenarnya, pada tiga bulan pertama kandungan, saya mengambil suntikan kuatkan rahim dan mengambil vitamin tambahan sebagai penjagaan bayi dalam kandungan, semuanya atas nasihat doktor,” kata Ekin.

Apabila ditanya soal jantina, kedua-dua mereka memberitahu, mereka tidak kisah sama ada anak mereka lelaki atau perempuan, asalkan bayi itu sihat dan dan sempurna sudah memadai buat mereka berdua.

“Saya tidak kisah perempuan atau lelaki, janji sihat sudah okeylah. Tetapi nanti apabila kandungan sudah cukup untuk melakukan scan, saya akan melakukannya kerana saya tidak sukakan kejutan. Jadi, lebih baik saya tahu jantina awal supaya boleh melakukan persiapan,” kata Ekin lagi.

Sungguhpun begitu teruja untuk menanti ahli keluarga baharu, tegas Mawi, setakat hari ini mereka belum melakukan sebarang persiapan untuk menyambut bayi. Bukan tidak mahu, tetapi mengikut petua orang tua-tua, tidak elok melakukan persiapan terlalu awal untuk bayi sulung.

“Saya ikut petua orang tua-tua yang mengatakan tidak elok kalau kita terlebih seronok dan tidak sabar buat persiapaan. Jadi, tunggulah kandungan mencecah usia tujuh atau lapan bulan, baru kami mula beli barang, sekarang memang tidak beli apa-apa lagi,” luah Mawi.

Memilih untuk melahirkan anak di Johor, kata Ekin dan Mawi adalah lebih mudah di kampung halamannya kerana selepas itu dia akan bersedia untuk berpantang di bawah jagaan ibu Ekin sendiri.

“Belum tahu lagi mahu bersalin di mana, sebab kita bukan tahu tarikh sebenar kelahiran. Tetapi sekarang ini mengikut perbincangan, saya mungkin akan bersalin di Johor. Bukan apa, senang sebab boleh terus balik kampung untuk berpantang.

“Kalau di sini, perjalanan untuk balik kampung agak lama, kalau di kampung, jarak hospital dengan rumah tidak begitu jauh, jadi memudahkan semua perkara,” balasnya yang mengakui telah naik berat badan sebanyak enam kilogram.

Album baharu Mawi

Meskipun sedang sibuk menjaga isterinya yang sedang hamil, Mawi yang sudah lama menyepi bakal muncul dengan lagu baharu kini sedang dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk album terkininya.

Sambungnya, album baharunya itu nanti akan bergenre pop rock. Malah, dia telahpun meminta tiga buah lagu daripada komposer dan penyanyi M. Nasir serta sebuah lagu daripada seorang komposer baharu.

“Buat masa ini saya belum masuk studio lagi kerana sedang memilih lagu yang benar-benar sesuai untuk dijadikan single.

“Saya memilih untuk tampil dengan genre lagu pop rock tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan elemen nusantara yang sudah sebati dengan lagu-lagu saya.

“Jika tidak ada aral melintang mungkin bulan Disember depan, lagu single terbaharu itu akan berkumandang di radio,” ujar Mawi.

Kurang publisiti, tidak bermakna Mawi semakin kurang popular. Katanya, jadual kerjanya masih penuh dan dia masih sibuk memenuhi undangan nyanyian.

Cuma kini, dia memperlahankan sedikit aktiviti seninya bagi memberi tumpuan sepenuhnya buat isteri tercinta yang sedang berbadan dua.

“Saya masih lagi menerima undangan nyanyian, saya juga sibuk dengan syarikat produksi saya sendiri. Buat masa terdekat ini, tidak ada sebarang projek yang akan berjalan, mungkin tahun depan syarikat produksi saya akan kembali sibuk," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: