Friday, October 21, 2011

Kenapa Rozita?

Rozita Che Wan dan Ally Iskandar bakal bergandingan buat kali pertama sebagai pengacara.
Rozita Che Wan dan Ally Iskandar bakal bergandingan buat kali pertama sebagai pengacara.
Terima tawaran sebab sudah lama kawan Ally Iskandar

MAMPUKAH aktres sensasi, jelita dan popular, Rozita Che Wan, memikul tanggungjawab sebagai hos Anugerah Skrin (ASK) 2011 yang bakal berlangsung 4 November depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur?

Kemampuannya sebagai pengacara belum terbukti, namun ibu kepada dua anak bujang itu cukup berani apabila menyahut cabaran besar yang disandarkan ke bahunya.
Tatkala namanya diumumkan sebagai gandingan Ally Iskandar mengacarakan majlis terbabit, khabarnya ramai yang agak terperanjat. Tidak kurang yang berpendapat, Rozita belum layak untuk mengendalikan sebuah acara besar yang bakal disiarkan secara langsung. Apatah lagi pada malam berkenaan, seseorang pengacara tidak boleh terlalu bergantung kepada skrip. Supaya tidak kelihatan janggal, hosnya perlu mempunyai keupayaan untuk turut menambah bicara secara spontan. Mampukah Rozita berbuat demikian?

Bagi wanita berhati waja ini, dia tidak pedulikan kata-kata orang. Kalau dia boleh berlakon tanpa bimbingan sesiapa dan bermula dengan pengalaman sifar, dia juga yakin mampu menggalas tugas sebagai pengacara. Lagipun dia percaya, keserasian yang wujud antara dirinya dan Ally dapat menghidupkan acara berprestij itu.

Mengakui mengambil sedikit masa untuk memberikan kata putus, Rozita memberitahu, dia menerima tawaran itu selepas diyakinkan Ally dirinya mampu memikul tanggungjawab berkenaan.

“Ally berjanji akan membantu saya. Bila dia terangkan kepada saya bahawa tidak semua pelakon mendapat peluang seperti ini, hati saya terus terbuka untuk terima. Saya pun kenalah buktikan, kata-kata yang mempertikaikan kemampuan saya tidak berasas.
“Saya kena buang karakter yang sering dibawakan dalam drama, sebaliknya cuba menjadi diri sendiri pada malam itu. Namun apa yang paling saya bimbangkan ialah jika tersasul sewaktu mengacara. Saya juga bimbang jika saya berdebar secara berlebihan, kerana tak mahu penonton melihat reaksi wajah saya ketika itu,” katanya yang sudah mula menelaah lakaran skrip pertama yang diberikan.

Ujar wanita ini, tidak mudah untuk memuaskan hati semua orang. Walau sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik, dia yakin pasti ada kritikan yang akan menyusul di kemudian hari.

Namun dia sebolehnya cuba bersikap positif apabila tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata negatif yang bakal dilemparkan kepadanya. Wanita ini menuntut agar peminat memberinya sedikit ruang kebebasan untuk dia mencuba satu bidang baru.

“Sudah lebih lima tahun saya berlakon, mungkin sudah tiba masa saya cuba satu bidang yang baru pula. Sebelum ini saya pernah menerima tawaran mengendalikan Festival Filem Malaysia (FFM) tahun lalu, tetapi pada waktu itu saya belum bersedia.

“Menyedari peluang sebegini tidak akan datang buat kali kedua, saya nekad untuk menerima saja tawaran ini. Saya tidak mahu menganggap tanggungjawab ini sebagai tekanan. Jika kita menganggap semua benda sebagai tekanan, ia akan mempengaruhi keputusan kita. Jadi, saya meminta peminat supaya memberikan kebebasan kepada saya untuk buat keputusan ini.

“Saya juga tidak berasakan populariti dan kontroversi menjadi sebab TV3 memilih saya. Saya terima tawaran ini juga disebabkan Ally. Kami sudah lama berkawan baik dan kami mempunyai keserasian. Saya percaya dengan bantuan dari Ally, saya mampu menjalankan tugas ini dengan baik. Selain itu saya juga boleh belajar ketika sesi latihan yang bakal diadakan nanti,” katanya yang tidak bimbang dengan kutukan orang ramai.

Sementara itu, jelas Ally pula, persahabatan yang sudah lama terjalin memberi kelebihan kepada mereka untuk mencari keserasian. Pada malam itu, dia akan memastikan penyampaiannya setara dengan Rozita agar tidak membayangi kemampuan aktres sensasi itu.

“Pada malam itu, saya bukan saja akan membentuk dirinya, tetapi saya juga akan cuba ikut rentaknya. Saya mahu penonton melihat corak pengacaraan kami setara. Saya akan cuba mengelak daripada kelihatan canggung. Inilah masanya untuk kami membawakan kelainan,” katanya.

Kualiti drama meningkat

SEMENTARA itu, kemuncak ASK 2011 kian dirasakan dengan pengumuman 17 calon bagi kategori drama, 10 drama rantaian, tujuh drama komedi dan 29 filem yang layak bertanding, kelmarin.

Pada kali ini, anugerah yang diperkenalkan pada 1994 itu memilih tema Glamor Keemasan sebagai lambang magis industri drama tanah air yang bukan saja dimeriahkan dengan kehadiran pelapis baru berbakat tetapi juga peningkatan kualiti drama diterbitkan.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Nurul Aini Abu Bakar berkata, ketika mula-mula diperkenalkan ASK hanya mengiktiraf drama terbitan TV3, namun sejak penyertaan dibuka kepada stesen televisyen lain pada 2005, anugerah itu mula menjadi penanda aras kepada syarikat produksi untuk melahirkan lebih banyak produk yang baik.

“Kita mahu memotivasikan rumah penerbitan menghasilkan drama terbaik yang berkualiti. Malah kita dapat melihat perkembangan positif industri drama tempatan apabila ramai penerbit berlumba-lumba menghasilkan drama berkualiti.

“Tahun ini contohnya, daripada 17 drama yang terpilih dari 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011, kebanyakannya menunjukkan peningkatan secara menyuruh,” kata Nurul Aini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Sementara itu, mengulas kategori filem pula, dia berkata, semua filem yang disiarkan pada tarikh yang dinyatakan layak untuk bertanding. Bagaimanapun dua filem iaitu Dalam Botol dan Dua Alam menarik diri daripada anugerah terbabit.

Katanya, jawatankuasa ASK akur dengan keputusan diambil penerbit kedua filem berkenaan. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghalang keputusan yang diambil.

Monopoli filem seram

FILEM seram nampaknya terus menguasai carta apabila menduduki senarai teratas pencalonan bagi kategori filem. Daripada 29 filem bertanding, 12 daripadanya berunsurkan seram termasuk seram komedi.

Metrowealth Movies Production milik David Teo juga sekali lagi muncul syarikat penerbitan yang menyaksikan penyertaan terbanyak, selepas berbuat demikian dalam Festival Filem Malaysia (FFM) 24.

Bagaimanapun Ahmad Izham menyangkal mereka menyokong penghasilan filem berunsur seram. Sebaliknya, kelayakan filem seram menyertai ASK 2011 ialah refleksi kepada pasaran industri filem tempatan.

“Kalau melihat kepada permintaan industri filem tanah air, kita dapat tengok dengan jelas filem seram paling banyak pengikutnya. Sebagai badan media, kami cuba bersikap telus dengan memberi ruang kepada semua genre filem untuk bertanding.

“Apa yang kita lihat ialah gambaran kepada industri filem tanah air, bukan bermaksud kami sengaja hendak menggalakkan penghasilan lebih banyak filem seram. Sebaliknya itulah fenomena yang berlaku kepada industri filem sekarang,” katanya.

Mengenai pemilihan Rozita sebagai pengacara bersama pula, dia yakin pelakon itu mampu mengalas tanggungjawabnya selaku hos dengan baik berdasarkan kepada rakaman uji bakat yang diadakan. Walaupun tidak mempunyai pengalaman, namun Rozita dikatakan paling menyerlah berbanding tiga lagi calon yang diujibakat.

“Kita sudah melihat kepada rakaman uji bakat yang diadakan. Apa yang mengejutkan Rozita mampu mengacara dengan baik. ASK memang anugerah yang berprestij, namun setiap tahun kita cuba mencari kelainan bagi memeriahkan lagi penganjuran acara itu.

“Kalau kita meletakkan pengacara yang memang berpengalaman, mungkin penonton tidak nampak kelainannya. Tetapi dengan menampilkan aktres sebagai pengacara, setidak-tidaknya penonton akan dapat melihat keistimewaan anugerah ini. Lagipun objektif ASK itu sendiri adalah untuk memberi pengiktirafan kepada golongan artis," kata Izham.

Bersesuaian dengan tema Glamor Keemasan, konsep persembahan pada malam anugerah juga banyak menjurus kepada pelapis baru. Penerbitnya, Hamsiah Biri berkata, senarai artis yang bakal membuat persembahan akan menampilkan wajah segar termasuk Black, Elecoldxhod, Zizan, Altimet, Najwa Latif, Awi Rafael, Nashrin, Kilafairy, Nur Fathia dan Wawa Zainal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: