Monday, October 24, 2011

Nevermind Imbau Kegemilangan Muzik Nirvana

ALBUM: Nevermind

ARTIS: Nirvana

EDARAN: Univeral Music Malaysia

PESONA dan kredibiliti legenda rock popular Amerika Syarikat, Nirvana tidak perlu diperkenalkan lagi.

Walaupun hanya sempat menghasilkan tiga album studio saja iaitu Bleach (1989), Nevermind (1991) dan In Utero (1993) sebelum kematian penyanyi utama yang juga gitarisnya, Kurt Cobain, impak muzik yang diperjuangkan Nirvana cukup berbekas dalam jiwa penggemar genre grunge dan rock alternatif.

Album kedua mereka, Nevermind yang dipasarkan pada 24 September 1991 terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia dan disifatkan sebagai album paling berjaya dan digilai ramai.

Selain empat lagu single yang dipertaruhkan kepada umum iaitu Smells Like Teen Spirit, Come As You Are, Lithium dan In Bloom, lapan lagi trek dalam album ini juga menghiburkan dan dapat mengimbau era kegemilangan Nirvana di awal dekad 90-an.

Dengarkan saja lagu-lagu rancak seperti Breed, Territorial Pissings, Stay Away dan On A Plain yang kaya dengan elemen gitar dan dram atau lagu-lagu slow rock yang mengasyikkan seperti Polly dan Something In The Way. Kepuasan menikmati album terbitan Butch Vig ini menjanjikan nilai tersendiri.

Buat peminat tegar kumpulan yang berasal dari Aberdeen, Washington ini, album khas yang memuatkan 12 trek ini telah berada di pasaran sejak September lalu dengan harga RM39.90.

Selain album tersebut, peminat juga boleh mendapatkan album 4 CD/1 DVD Super Deluxe Edition, Nevermind 20th Anniversary 1 CD Remaster, 2 CD Deluxe Edition, Gatefold Vinyl (4-LP), Live At Paramount DVD dan disk Blu Ray.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: