Monday, October 24, 2011

Bahagia tidak terkata

HERO MUDA...Tomok bakal mengeggarkan pentas lakonan menerusi filem Mantera.
HERO MUDA...Tomok bakal mengeggarkan pentas lakonan menerusi filem Mantera.

ORANGNYA sederhana dengan susuk tubuh kurus melidi. Tuturnya juga tidak lantang. Begitulah gambaran Shah Indrawan Ismail atau popular dengan sapaan Tomok.

Mula mencipta nama menerusi kumpulan New Boyz lebih sedekad lalu hingga menjadi kegilaan remaja ketika itu, kemudian diangkat sebagai juara program realiti TV, One In A Million 2 (OIAM2), kini Tomok terus merencana perjalanan seninya agar tidak hanyut.

  • Foto

    BUAH HATI...isterinya, Siti Rahayu Abas menjadi penyokong nombor satu di belakang.

  • Foto

    BUAH HATI...isterinya, Siti Rahayu Abas menjadi penyokong nombor satu di belakang.

  • Foto

    SYUKUR...rezeki Tomok makin mencurah sejak berkahwin.

Ternyata anak muda berusia 27 tahun ini sudah jauh lebih matang dengan status dirinya sudah menjadi suami selepas berkahwin dengan Siti Rahayu Abas pada 1 Julai lalu.

Bertemu dengannya pada petang Khamis lalu, Tomok hadir seorang diri namun sudah bersedia berkongsi seribu satu perkembangan terbaru. Belum sempat topik kerjayanya disingkap, persoalan mengenai kehidupan peribadinya pula menjadi pembuka cerita.


Sepanjang mengenali anak kelahiran Kuala Lumpur yang tidak lekang memberikan senyuman ini, Tomok masih remaja yang punya personaliti ceria.


“Saya rasa semuanya terurus dan lengkap. Meskipun berkahwin pada usia muda, saya tidak langsung rasa rugi atau terpaksa melupakan zaman berseronok terlalu awal kerana ikatan perkahwinan ini terlalu indah dan melangkaui imaginasi saya sendiri.

“Setiap hari selepas bergelar suami, saya berasa berbeza dan lebih bermakna berbanding ketika zaman bujang. Mujur isteri begitu memahami dan tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya baik dalam soal peribadi mahupun kerjaya.

“Tidak sekadar isteri yang menjaga hal ehwal keluarga dan makan pakai saya, malah isteri juga saya umpamakan seperti sahabat karib yang menjadi tempat saya meluahkan apa saja.

“Jika memikirkan soal peminat akan lari dan berkurangan kerana sudah berkahwin, ia hanya satu stigma dan saya tidak percaya sekelumit pun mengenainya.

“Peminat saya hari ini ialah mereka yang mengikuti perkembangan saya sejak dulu. Mereka matang dan membesar bersama saya dan saya yakin mereka akan kekal bersama saya walaupun kini sudah menjadi suami,” katanya.

Kerjaya seni Tomok kini menyerlah. Bukan sekadar tampil dengan album solo, Tomok menampilkan 12 lagu termasuk Berlari, Bagai Bidadari, Kisah Kita dan Merentas Masa, anak keempat daripada enam beradik ini bakal mengecapi kegemilangan dalam seni lakonan pula.

Tomok yang baru pulang dari Istanbul, Turki bagi menjalani penggambaran filem terbarunya, Istanbul Aku Datang, menganggap semuanya sudah tertulis buatnya.

Katanya, kerjaya bertambah baik dan rezeki juga datang mencurah-curah berkat semangat dan rezeki mendirikan masjid.

Paling menjadi fokusnya sekarang dan mengundang seribu satu perasaan bimbang apabila filem sulung lakonannya, Mantera yang bakal menjengah pawagam, tahun depan.

“Ini adalah satu lagi pencapaian peribadi saya sebagai anak seni apabila berpeluang menerajui watak utama bagi filem hebat seperti Mantera. Mana tidaknya, ia adalah percubaan pertama saya dan filem ini adalah sebuah karya yang begitu tinggi kos pembikinannya, selain menjalani penggambaran di luar negara termasuk Russia.

“Kononnya filem ini menceritakan perihal pelajar robotik yang berdepan dengan satu kejadian yang pelik hingga menarik dirinya sekali terjerumus dalam satu senario yang sungguh luar biasa.

“Bayangkan, karya anak tempatan sendiri sudah mampu menggarap sebuah plot cerita berteknologi tinggi dengan kecanggihan pembikinan yang berkualiti.

“Sejak awal lagi ketika meneliti skripnya, saya sudah tertarik dan berharap agar terpilih bagi memegang watak Azman. Maklumlah ia sebuah filem yang punya ‘jiwa’ seakan-akan Iron Man dan Transformers yang sememangnya menjadi kegemaran saya.

“Kemudian disulam pula dengan elemen drama dan mainan emosi yang sempurna dan mampu mengikat perhatian penonton. Apabila melihat hasilnya, saya sendiri bangga dan tidak sabar untuk ditayangkan kepada peminat,” katanya.

Memegang watak Azman dalam filem bergenre drama dan aksi teknologi tinggi ini, Mantera mengisahkan perjalanan seorang pemuda bersama gadis yang akhirnya menambat hatinya, Dina lakonan Shikin Kamal yang berkongsi minat sama iaitu lapangan robotik dan pemasangan peralatan robot.

Mereka berdua berjaya membina motosikal berkuasa tinggi yang asasnya adalah peralatan canggih robotik. Entah di mana silapnya, Azman terikat dengan kuasa hebat ciptaannya sendiri hingga menyebabkan jasadnya bertukar menjadi robot.

Mantera yang diterbitkan FlareStudio mengisahkan pergolakan dua kumpulan rahsia yang menguasai dunia dari sebalik tabir iaitu Alliance of Light dan Dark Legions.

Dark Legions melalui syarikat Weston Tech membangunkan senjata rahsia, Mantera iaitu singkatan ‘Man Transformable Exo-Robotic Armor’ yang juga sistem motosikal dan sarung tangan nano dan boleh berubah menjadi baju perisai robotik.

Bagaimanapun, ketua pereka Mantera iaitu Dr Natasha yang menyedari niat jahat ketuanya cuba untuk mensabotaj dan memusnahkan sistem Mantera itu.

Dia menghilangkan diri bersama kertas kerja Mantera. Namun sisa dan cebisan Mantera secara tidak sengaja dihantar kepada pelajar IT di Malaysia iaitu Azman lakonan Tomok lalu bermulalah era ‘superpower’ Azman.

Satu lagi rezeki baru Tomok ialah dipilih menjadi ikon kempen syarikat minuman antarabangsa, Coke.

Katanya, selain menjadi jurucakap, Tomok juga berpeluang berduet bersama kumpulan popular dari Britain yang juga terbabit dalam kempen sama iaitu One Night Only.

Setakat ini, Coke menyediakan beberapa perancangan buat saya termasuk merakamkan lagu dan klip video di London, pertengahan bulan ini serta bersedia untuk mengadakan konsert besar pada Disember nanti.



PROFIL:

Nama penuh: Shah Indrawan Ismail
Tarikh lahir: 17 Mei 1984
Umur: 27 tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak keempat daripada enam beradik
Status: Suami kepada Siti Rahayu Abas
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan jurucakap produk

Album bersama New Boyz: Sejarah Mungkin Berulang (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2003), The Best Of New Boyz (2004), Bermula Satu Evolusi (2005) dan Semula Padaku (2007)

Album solo: Tomok (2011)
Drama VCD: Pulau Inspirasi, Meraung
Filem: Istanbul Aku Datang, Mantera
Jurucakap produk: Coke
Pencapaian: Juara One in a Million 2 (OIAM2)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: