Monday, October 10, 2011

Mitsubishi Sport VGT Kuasa Tanpa Batasan

Mitsubishi Sport VGT menyediakan enjin diesel 2.5 liter yang lebih ekonomi.

MITSUBISHI Motors Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi memperkenalkan model baru Mitsubishi Pajero Sport VGT.

Dalam usahanya untuk terus mengukuhkan barisan SUV, Pajero Sport VGT adalah varian terbaru SUV tujuh kerusi yang memenangi anugerah, dan pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 2009.

Direka bersama enjin diesel 2.5 liter Common Rail Mitsubishi terbukti mantap dan lebih ekonomi kini dilengkapi dengan pengurusan kuasa enjin baru yang merangkumi Variable Geometry Turbo (VGT), mendorong kuasa maksimum dan paras kuasa kilas, masing-masingnya 178PS dan 350Nm.

Teknologi VGT menggunakan bilah kipas berubah-ubah bagi mengawal aliran ekzos terhadap bilah turbin, memastikan penyampaian terus-menerus udara segar tambahan kepada enjin untuk output dan prestasi optimum.

Kuasa kilas maksimum Pajero Sport VGT boleh dicapai secara maksimum dari 1,800 hingga 3,500 rpm, memastikan pemecutan lebih kuat dan lebih stabil.

Kecekapan pengurusan enjin juga dipertingkatkan untuk kuasa yang lebih baik dan kelancaran bahan api.

Bahagian pemandu dan penumpang lebih luas dan selesa.

Enjin VGT baru yang bertenaga ini juga memiliki kotak gear baru yang lebih selesa dan memaparkan transmisi automatik 5-kelajuan baru dengan Mod Sport, satu nisbah ke depan lebih berbanding transmisi dalam Pajero Sport GS.

Ia sekali gus memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik selain daripada keseronokan dalam pemanduan, dibantu oleh pedal penukar magnesium pada kemudi roda.

Seperti sedia maklum, jenama Mitsubishi Motors berada dalam kelasnya tersendiri dan merupakan pemenang kategori pengeluar paling berjaya dalam sejarah sukan permotoran Rali Dakar, dan warisan prestasi dan kecergasan dibina ke dalam Pajero Sport.

Kualiti kenderaan ini dipertingkatkan dalam Pajero Sport VGT, menyediakan sarung kulit kerusi mewah yang direka baru bagi kesemua tiga baris kerusinya, selain sistem hiburan paparan sentuh warna penuh 2-DIN dengan navigasi GPS sebagai peralatan standard.

Pajero Sport VGT juga dipasang dengan sistem 4WD Super Select Mitsubishi Motors bagi membolehkan ia melalui permukaan yang paling sukar. Sistem inovatif ini memberi pemandu pilihan untuk memilih mod pemanduan (2H, 4H, 4HLc, 4LLc) bagi pelbagai keadaan, sama ada untuk memaksimumkan penjimatan bahan api di atas jalan raya, atau untuk daya cengkaman maksimum di atas permukaan yang mencabar.

Selain rekaan enjin yang lebih baik dibina, kenderaan ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan termasuk beg udara berkembar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Edaran kuasa-Brek Elektronik (EBD), Pembeza Had Terbabas (LSD) Hibrid dan pedal brek keselamatan. Ia turut merangkumi kawalan cruise, kawalan suhu automatik dan kamera semasa mengundur.

Sehingga kini Mitsubishi Motors Malaysia mengunjurkan jualan lebih daripada 200 unit Pajero Sport yang merupakan pertambahan bilangan sebanyak 50 peratus berbanding Tahun Kewangan 2010 (April-Mac). Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tetsuya Oda, keselesaan menaiki kabin tujuh-kerusi adalah satu daripada kekuatan utamanya, iaitu luas dan serba boleh.

“Pajero Sport telah mencatat kejayaan besar sejak diperkenalkan di Malaysia. Sehingga kini, ia dimiliki lebih daripada 3,000 pemilik. Menawarkan enjin lebih berkuasa yang baru, teknologi maju dan rupa lebih classy model utama 4WD Mitsubishi, varian baru Pajero Sport ini bakal meluaskan lagi tarikan Pajero Sport.

“Kenderaan ini merupakan salah satu daripada yang terbaik dalam kelasnya, merangkumi saiz yang bertepatan bagi keluarga yang bertambah dan pada masa yang sama, memberi prestasi berkualiti serta ciri-ciri keselamatan yang boleh dipercayai,” kata Oda.

Selain itu, jenama Mitsubishi Motors memiliki sejarah yang panjang dalam sukan motor, termasuk kejayaan memecah rekod tujuh kali juara berturut-turut Rali Dakar pada 2007. Ia telah meraih keseluruhan 12 kejuaraan yang tiada tandingan dalam tempoh 25 tahun, satu rekod yang digambarkan dalam prestasi dan kualiti kenderaan-kenderaan Mitsubishi Motors.

Pajero Sport VGT akan dijual bersama Pajero Sport GS 4WD dan Pajero Sport GL 2WD, menawarkan pilihan lebih luas kepada pelanggan.

Boleh diperolehi dalam empat warna pilihan iaitu Black Mica, Cool Silver, White Pearl dan Quartz Brown Metallic serta dijual pada harga RM171,980 atas jalan termasuk insurans.

Pembeli akan menikmati waranti tiga tahun dan pakej dua tahun penyenggaraan percuma untuk pengalaman pemilikan bebas karenah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: