Monday, October 10, 2011

Cabaran babak ranjang

SEDIA GEGAR PANGGUNG...barisan pelakon KLIP 3GP bersama pengarahnya Aidilfitri (tengah) yang bakal menemui peminat pada 13 Oktober ini.
SEDIA GEGAR PANGGUNG...barisan pelakon KLIP 3GP bersama pengarahnya Aidilfitri (tengah) yang bakal menemui peminat pada 13 Oktober ini.

APA rasanya jika kita melihat rakaman aksi terlampau seseorang yang kita kenali dalam telefon bimbit?

Tentu ada yang terkedu dan tergamam manakala yang menjadi mangsa pula akan terus traumatik.

  • Foto

    BINTANGI... Sabhi dan Adeline.

  • Foto

  • Foto

    GANAS...satu adegan lakonan Mimie dalam filem KLIP 3GP.

Hari ini banyak rakaman aksi terlampau, ganas dan bersifat paranormal dirakam dalam telefon bimbit dan seterusnya disebarkan secara meluas melalui Internet.

Disebabkan teknologi 3GP yang canggih sekarang, tidak kurang yang cuba menjadikannya satu bisnes bawah tanah secara sindiket bagi mengaut untung.


Inilah kisah benar yang menjadi paparan dalam sebuah filem tempatan bercorak ‘psycho-thriller’ yang mendebarkan berjudul KLIP 3GP.


Karya arahan Aidilfitri Mohd Yunos terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) ini akan mula menemui penonton pada 13 Oktober ini.

Apa yang menarik, filem berkonsep empat dalam satu dengan elemen ‘gritty’ ini menggabungkan barisan pelakon, model dan penyanyi yang rata-ratanya masih dianggap hijau di layar perak, namun bakat mereka usah dipandang remeh.

Selain watak utama, Eddie lakonan Zahiril Adzim sebagai jutawan Internet, filem sepanjang sejam 15 minit ini turut dibintangi anggota kumpulan hip-hop terkenal, One Nation Emcees serta Sabhi Saddi bersama beberapa pelakon baru termasuk Amanda Misbun, Faralyana Idris, Tasha Shila, Sara Ali, Adeline Tsen dan Fikhree Bakar.

Anggota seksi One Nation Emcees, Mimie diketengahkan untuk watak Maya, gadis yang traumatik dan psiko selepas teman lelaki, Sunny (Fikhree Bakar)
mengugut untuk menyebar rakaman aksi ghairah mereka di Internet.

“Bukan senang memberikan komitmen kepada KLIP 3GP kerana jadual persembahan saya bersama rakan One Nation Emcees (Jojo dan Zaidi) memang ketat.

“Saya sebenarnya menolak tawaran berlakon sebanyak tiga kali tapi akhirnya bersetuju selepas mendapatkan pandangan pengurus. Kebetulan saya juga inginkan satu watak hitam. Bagi menyokong filem ini ada tiga lagu One Nation Emcees iaitu Psiko, Jika (duet bersama Lah Ahmad) dan Syukur diselitkan.

“Cabaran baru? Tentulah berlakon babak ranjang. Saya dan Fikhree cuba memberikan yang terbaik mengikut kehendak skrip dan pada masa yang sama, sedia menerima kritikan. Saya berlakon bukan sebab nak kejar glamor. Malah, fokus utama saya tetap dalam nyanyian,” ujar Mimie kepada Rap dalam satu sesi fotografi khas di Balai Berita, Jumaat lalu.

Fikhree yang sering membawa watak pembantu dalam pelbagai drama dan telemovie pula berkata: “Tidak sabar menunggu aksi pertama saya di panggung menerusi KLIP 3GP. Filem ini membuatkan jantung berdegup apatah lagi cuba membawa watak jahat.

“Mengugut seseorang dengan rakaman telefon bimbit terutamanya Maya adalah kisah benar yang berlaku sekarang. “Ramai orang menjadi mangsa dan berharap filem ini dapat memberi peringatan kepada kita. Pergerakan kita sentiasa terdedah kepada rakaman orang yang berniat jahat. Kalau tidak bernasib baik, sesiapa saja boleh menjadi mangsa dan ini mencetuskan huru-hara dalam kehidupan.”

Bagi pengarah KLIP 3GP, Aidilfitri Mohd Yunos, filem berkenaan berbeza berbanding apa biasa disaksikan di pawagam akhir-akhir ini.

“Inspirasi KLIP 3GP dicetuskan daripada kisah benar berlaku dalam masyarakat moden. Penggunaan format video dalam telefon bimbit yang canggih membolehkan apa saja perlakuan dirakamkan pada bila-bila masa.

“Dalam aspek lain, ada pihak menyalahgunakan rakaman itu untuk tujuan ghairah bersama pasangan atau memeras ugut orang lain dengan tujuan tertentu. Lebih buruk kerana ia antara cara terbaru mencetuskan konflik terhadap manusia.

“Bukan itu saja, zaman sekarang penggunaan telefon ini bukan sekadar digunakan oleh orang dewasa, tapi membabitkan pelajar sekolah. Ramai ibu-bapa mungkin tidak tahu apa rakaman yang ada dalam kamera anak mereka. Ini antara kesan buruk penggunaan telefon format video,” jelasnya.

Dari segi aspek pemilihan pelakon pula, Aidilfitri berkata ia memang kena dengan watak yang dicipta.

“Sewaktu penggambaran di sekitar Johor Bahru pada 2009, tiada siapa yang mengenali mereka. Sekarang ada antara mereka sudah menempa nama melalui TV, menjadi model iklan, rakaman album dan menjayakan persembahan pentas. Ini masa yang paling sesuai untuk saya menonjolkan bakat lakonan mereka.

“Saya harap filem ini akan mendapat reaksi yang hebat daripada peminat filem di negara kita,” katanya dalam nada lega kerana hanya satu babak saja dipotong Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).



Sinopsis Klip 3GP

EDDIE pada usia sekitar 20-an sudah menikmati kejayaan menerusi perniagaannya di Internet.

Dia memiliki hampir semuanya - kacak, mewah dan ramai teman wanita.

Namun tanpa disedari sesiapa, Eddie sebenarnya meraih keuntungan daripada perniagaan membeli dan menjual klip pornografi dan sensasi di Internet.

Maya Akhtar pula seorang eksekutif yang komited terhadap kerjayanya. Malangnya, dia menjadi mangsa ugutan teman lelakinya, Sunny yang memiliki rakaman video hubungan intim mereka.

Lebih mengejutkan lagi, perbuatan Sunny ini disokong isterinya sendiri Rita kerana inilah cara mereka mengaut untung.

Dengan memperdayakan wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut, mereka mampu kaya.

Suria, Mina dan Zakiah pula tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan pada hujung minggu di ibu kota. Tanpa disangka, malam itu berubah menjadi suatu peristiwa yang menyeramkan apabila mendapati diri mereka diburu sesuatu yang mengerikan.

Sementara itu, Sandra pelajar sekolah yang menjadi mangsa deraan seksual Jefri.
Lebih dari itu, Sandra dirogol beramai-ramai oleh satu geng motosikal yang dianggotai Jefri termasuk abang kandung Sandra sendiri, Burn.

Babak perkosaan mereka itu turut dirakamkan geng ganas itu melalui kamera telefon bimbit Jefri. Apakah yang terjadi seterusnya kepada mangsa dalam filem ini? Jawapannya ada di pawagam mulai 13 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: