Monday, October 10, 2011

Mewah, Unik Gaya Hidup Kondusif

Taman terapung atau Floating Garden mewujudkan persekitaran teraputik untuk keseimbangan minda dan jiwa.

KESEMPURNAAN gabungan elemen lokasi, konsep mewah dan keunikan tema reka bentuk memecah monopoli projek kediaman ultra mewah berskala besar yang meningkatkan kepadatan dalam pasaran hartanah khususnya sekitar Lembah Klang pada ketika ini.

The Z Residence di Bandar Kinrara, Puchong walaupun menampilkan konsep seni bina, kemasan moden dan kontemporari mewah namun berjaya menarik minat pembeli apabila menawarkan kadar harga mampu milik antara RM435,888 dan RM650,000 seunit.

Menerusi projek terbarunya itu, Trinity Group Sdn Bhd (Trinity) memperjelaskan konsep kondominium masa kini dengan menonjolkan kesempurnaan reka bentuk dan ketepatan fungsi dari aspek seni bina, kemudahan dan persekitaran kondusif mengikut keperluan gaya hidup urban.

Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group Sdn Bhd, Datuk Neoh Soo Keat berkata, dalam menawarkan kediaman berkonsep mewah, The Z Residence menggabungkan unsur-unsur unik untuk memberi kebebasan penataan ruang pada harga mampu milik.

Menurut beliau, meskipun terletak di tengah-tengah kemudahan akses kepada laluan ekspres seperti Damansara-Puchong, Shah Alam, Bukit Jalil dan KL-Putrajaya Expressway namun lokasi The Z Residence tidak kurang strategik sebagai ‘persembunyian’ daripada kesibukan kota.

Jelasnya, ruang kediaman Blok D yang berkeluasan antara 96 dan 130 meter persegi juga memberikan keselesaan secukupnya dengan kemasan teliti rekabentuk kontemporari mewah bagi merealisasikan gaya ekslusif impian ramai pembeli rumah.

Keluasan rekabentuk The Z Residence memberi kebebasan kreatif kepada pemiliknya untuk menata ruang mengikut citarasa tersendiri.

“The Z Residence merupakan projek kami yang paling bercita-cita tinggi setakat ini, dari segi saiz dan nilainya kepada pemilik rumah. Kami menawarkan ciri-ciri eksklusif untuk mempromosikan gaya hidup mewah pada harga berpatutan.

“Antara kemudahan unik The Z Residence termasuk taman terapung, kolam renang ‘infiniti’ sepanjang hampir 55 meter dan sky lounge’ berpanorama,” katanya pada pelancaran jualan fasa akhir Blok D The Z Residence di Bandar Kinrara, Puchong baru-baru ini.

The Z Residence terdiri daripada empat blok kondominium setinggi 26 dan 27 tingkat dengan sebanyak 1,136 unit kediaman sesuai sebagai penempatan pasangan baru berkahwin, eksekutif muda dan ibu bapa yang mencari kediaman sesuai untuk anak-anak mereka di masa depan.

Keunikan ciri-ciri rekabentuk dan pemilihan bahan-bahan mesra alam untuk memelihara privasi dan melindungi keselamatan penghuni juga merupakan tarikan utama projek terkini Trinity Group itu.

Antara ciri menonjol adalah tingkap double glaze setinggi hampir 3 meter yang memberikan insulasi bunyi untuk melindungi privasi penghuni selain berfungsi sebagai penyejuk kediaman apabila berperanan memantulkan haba daripada panahan matahari.

Persekitaran mesra alam serba kondusif The Z Residence pula merupakan cetusan idea arkitek landskap tempatan yang memenangi anugerah bagi rekabentuk konsep kediaman bandar sihat dengan memperuntukkan 50 peratus daripada keseluruhan projek bagi tujuan penghijauan sekitar.

Untuk maklumat lanjut, layari www.trinitygroup.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: