Saturday, October 8, 2011

Ekonomi negara dijangka berkembang hingga 6 peratus

Ekonomi negara dijangka berkembang lima hingga enam peratus pada tahun depan, yang akan dipacu oleh permintaan domestik dengan sektor swasta memainkan peranan lebih penting, manakala sektor awam terus menyokong pertumbuhan dengan perbelanjaan modal lebih baik.

Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan 2010/2011, yang dikeluarkan semalam, menyatakan unjuran itu turut mengambil kira pertumbuhan ekonomi dunia sederhana dan kegiatan perdagangan sesama serantau yang kekal kukuh serta pemulihan eksport elektrik dan elektronik dan harga komoditi teguh.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua berkembang empat peratus daripada pertumbuhan disemak semula 4.9 peratus pada suku tahun pertama.

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pada pertengahan Ogos yang kerajaan menjangka ekonomi negara akan berkembang lima hingga enam peratus peratus pada tahun ini.

“Permintaan domestik, terutamanya perbelanjaan sektor swasta dijangka memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan ekonomi pada 2012,” kata laporan itu.

Pelaburan swasta dijangka mengekalkan momentum kukuh dengan pertumbuhan 15.9 peratus yang disokong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan dan perlaksanaan projek permulaan (EPP) yang rancak.

Pada tahun depan, perbelanjaan awam dijangka meningkat 4.7 peratus dengan pelaburan awam berkembang 7.0 peratus.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan dijangka kekal 6.5 peratus pada 2012, berbanding 6.4 peratus pada tahun ini, yang dipacu subsektor perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans serta komunikasi.

Selaras perkembangan itu, sumbangan sektor perkhidmatan dijangka meningkat 58.9 peratus daripada KDNK.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: