Wednesday, October 26, 2011

Malaysia bakal jadi ekonomi digital



Malaysia berada di landasan betul ke arah menjadi sebuah ekonomi digital menjelang 2020 susulan permintaan kukuh bagi teknologi baharu, kata Nielsen, penyedia analisis dan maklumat global utama.

Pengarah Perkhidmatan Pelanggan, Penyelidikan Khusus Nielsen Malaysia, Luca Griseri berkata, teknologi baru dapat sambutan tinggi ketika rakyat Malaysia bersedia bagi perubahan yang ditunjukkan dalam Laporan Pengguna Digital Malaysia 2011.

Menurutnya, Program Transformasi Digital Malaysia akan mengubah tingkah laku pengguna

“Laporan itu mendedahkan bahawa kadar pembelian telefon pintar dan komputer tablet meningkat pesat di Malaysia. Justeru, industri perlu memastikan akses mudah bagi peranti ini.

“Pemilikan telefon pintar dijangka berganda dalam tempoh 12 bulan akan datang mencapai 89 peratus daripada 48 peratus ketika ini, manakala komputer tablet dijangka mencecah 75 peratus daripada 18 peratus ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran laporan itu di Kuala Lumpur.

Griseri berkata, bagi memastikan kejayaan program transformasi digital, peserta telekomunikasi dan kerajaan perlu saling bekerjasama bagi menyediakan prasarana dan kapasiti rangkaian untuk membolehkan rakyat menikmati peranti dan teknologi baharu.

Menurutnya, Malaysia masih ketinggalan di belakang Singapura dan Thailand dari segi penembusan Internet dan penggunaan teknologi baru berikutan kekurangan prasarana dan isu-isu geografi kerana Malaysia kebanyakannya dilingkungi hutan.

Beliau berkata, perbelanjaan pengiklanan dalam talian dijangka meningkat memandangkan peningkatan permintaan bagi komputer tablet dan telefon pintar, serta pengguna menghabiskan lebih banyak masa dalam talian.

Laporan itu menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa dalam talian hampir 20 jam seminggu.

Griseri berkata, penting bagi media tradisional seperti televisyen dan radio untuk bersepadu dengan media dalam talian bagi memastikan kejayaan industri digital.

Laporan Pengguna Digital Malaysia 2011 mengkaji aliran teknologi dan Internet dalam pola penggunaan dan pembelian pada masa depan di pasaran Malaysia.

Dalam kaji selidik yang dikendalikan pada Jun dan Julai 2011 itu, sejumlah 1,321 temu bual dijalankan di kalangan pengguna Malaysia berusia 15 tahun ke atas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: